Berita

SENTAP! MELAYU, BUKAN MELAYU?

Mungkin anda sudah terbaca sebuah rencana mengenai seorang Melayu yang menceceh panjang lebar tentang dirinya yang tidak dianggap sebagai...

· 2 min read >

Mungkin anda sudah terbaca sebuah rencana mengenai seorang Melayu yang menceceh panjang lebar tentang dirinya yang tidak dianggap sebagai seorang Melayu di Singapura. 

Rencana berbahasa Inggeris itu, lebih kurang sepanjang 3000 perkataaan, telah disiarkan di lelaman RiceMedia baru-baru ini. Sekelip mata, ia menjadi bahan perbincangan hangat. Ramai yang tak sanggup membacanya kerana terlalu panjang, malah ramai yang menyampah hanya setelah membaca beberapa perenggan awal.

“Simpanlah kebodohan itu sedikit untuk hari esok” – pesan seorang netizen.

Kesimpulannya, beliau telah membuat beberapa kenyataan tentang diri beliau sebagai seorang berbangsa Melayu yang “bukan bishe-bishe” di Singapura.

 

1- Kemewahan

Kehidupannya yang serba mewah, sekaligus menganggap dirinya lebih ‘atas’ daripada kebanyakan kawan-kawannya, malahan saudara-maranya sendiri. Ibunya seorang pegawai atasan sebuah bank, manakala bapanya pula seorang pesara yang pernah bekerja sebagai seorang pegawai atasan di sebuah syarikat perkapalan yang sibuk merentas dunia.

Beliau secara santai menceritakan betapa beliau hidup tanpa perlu memikirkan tentang perihal masalah kewangan. Banyak barang seperti televisyen, perabot atau baju kurungnya telah diberikan kepada sepupu-sepupunya. Beliau hairan mengapa saudara-maranya masih sanggup menerima barangan terpakai, yang dianggap sudah lama, lapuk dan tidak berharga lagi.

Bersedekahlah, berdermalah seikhlas hati. Kenyataan seperti itu amat tidak diperlukan, malah hanya mengundang kebencian. Sikap angkuh seperti ini yang kurang selesa diterima masyarakat umum.

 

2- Bahasa

Beliau lebih banyak menggunakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu, alasannya akibat lebih bercampur dengan kawan-kawan sekolahnya yang bukan Melayu. Menurutnya, beliau telah mendapat pendidikan yang lebih baik, lalu bersekolah menengah “specialised”di mana “hanya segelintir murid Melayu boleh dikira sebelah tangan sahaja.” Lantas dengan keputusan GCE ‘O’ yang cemerlang, beliau melanjutkan pelajarannya di sebuah politeknik, dengan mengambil kursus perfileman, yang juga hanya ada segelintir pelajar Melayu.

Sepanjang pendidikannya, beliau hanya bercampur dengan bangsa Cina atasan, malah beliau rasakan dirinya lebih seperti seorang Cina daripada Melayu.

Hakikatnya, ramai wargamaya juga melalui pengalaman yang serupa, tetapi mereka tidak sekalipun pernah menganggap diri mereka seperti seorang bangsa asing, malah mereka dengan mudah sahaja beralih bahasa Melayu dan Inggeris mengikut kehendak masa dan keadaan.

Sekilas lalu, beliau ada menyatakan bahawa beliau berasa malu kerana tidak boleh berbahasa Melayu dengan fasih, bukan kerana tidak mencuba, tetapi kerana kurangnya pendidikan dan penuturan di rumah. Secara langsung, beliau menyatakan bukan salah beliau, tetapi tanggungjawab ibubapanya.

Eh?

Peribahasa “seperti kacang lupakan kulit” mungkin amat sesuai dengan diri penulis, namun “inti belacan tak mungkin ada kacang” juga lebih tepat rasanya.

 

3- Status sosio ekonomi

Selama ini, beliau merasakan dirinya lebih “atas” berlatarbelakangkan kemewahan yang ada. Beliau membesar dengan pengaruh barat, menonton dan mendengar hiburan barat lantas berfikiran seperti mereka. Dikelilingi kawan-kawan Cina yang setaraf dengannya, beliau merasakan dirinya sebagai salah satu antara mereka. 

Tidak seperti masyarakat Melayu yang biasanya dikaitkan dengan permainan bolasepak, menonton filem-filem Melayu atau mendengar hiburan Melayu. Perabot IKEA pun dijadikan bahan perbezaan, apatah lagi dengan kehidupan sebuah keluarga masyarakat biasa di dalam sebuah unit HDB yang serba sempit.

Malah beliau tanpa segan silu menyatakan bahawa “segalanya tentang Melayu adalah persamaan dengan keadaan yang sederhana.”

Dengan sikapnya yang tidak mahu bercampur dengan bangsanya sendiri, hanya kerana jalur fikiran yang berbeza, merupakan satu alasan yang sangat lemah sekali. Secara umumnya, wargamaya meluat dengan sikapnya yang tidak mahu menunjukkan usaha untuk lebih mengenali budaya sendiri hanya kerana perbezaan status dan pemikiran.

 

Hakikatnya, bukan hanya beliau seorang yang dibesarkan dalam keluarga mewah / serba mencukupi, mendapat pendidikan yang terbaik atau bergaul sesama bangsa yang lain. Malah, mungkin ada lebih ramai individu yang sama pemikiran sepertinya. TehTarik.sg faham pandangan individu berbeza tetapi kami berharap minda masyarakat kita akan lebih terbuka pada masa akan datang.

Apa guna berkain batik,
kalau tidak dengan sujinya
Apa guna pendidikan terbaik
kalau sempit akal mindanya.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments

comments

Related post

GE2020: Apa Korang Perlu Tahu Tentang Mengundi

in Berita
  ·   1 min read