Berita

Saga OKLETSGO: Dari Permulaan Hingga Sekarang

Pada hujung minggu lalu, banyak desas-desus telah viral di media sosial mengenai personaliti trio tempatan terkenal – OKLETSGO. Artikel...

· 3 min read >

Pada hujung minggu lalu, banyak desas-desus telah viral di media sosial mengenai personaliti trio tempatan terkenal – OKLETSGO. Artikel ini akan cuba meleraikan garis masa (timeline) yang telah berlaku dan memberi rumusan secara kesuluruhannya. 

SIAPA OKLETSGO?

OKLETSGO terkenal sebagai saluran podcast di tangga nombor satu di carta podcast tempatan Spotify yang mula menimba populariti sejak tahun lepas. Mereka memperkenalkan diri mereka dengan gaya perbualan tanpa batas dan menegakkan kebebasan untuk menerbit kandungan tersendiri. Ia disampaikan oleh personaliti trio: Dzar Ismail, Dyn Norahim dan Raja Razie – kesemuanya bekas DJ radio tempatan yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 5 tahun (atau lebih) dalam industri media Melayu Singapura. 

Mereka telah mengundang pelbagai tetamu untuk membincang secara terbuka tentang pelbagai isu hangat – dari subjek taboo yang jarang diperbualkan hingga ke isu masyarakat. Antara tetamu yang diundang termasuk: Kumar (pelawak), Dee Kosh (personaliti Youtube), pekerja seks dan seseorang bekas penganut agama Islam. Dilabel sebagai kandungan “explicit”, lebih 250 episod podcast telah diterbitkan dengan rekod mencecah lebih sejuta streams secara keseluruhan dan 100,000 pendengar bagi setiap episod. 

Kini, podcast mereka dihujani kecaman netizen atas terbitan kandungan yang dianggap lucah dan merendahkan martabat kaum wanita. 

KOMEN NINA LESTARI VIRAL DI MEDIA SOSIAL

Pada 11 Jun, seorang netizen, Nina Lestari, mengongsi pandangan beliau melalui Facebook post OLG tentang cara mereka mengetengahkan kaum wanita di dalam episod-episod podcast mereka. Nina Lestari memberi gambaran contoh lucah dan menanya peminat OLG jika ini cara yang boleh diterima. Komen beliau kemudian dimuatnaikkan ke wadah Twitter yang menimbulkan perbualan hangat di kedua-dua wadah media sosial.

Dalam tweet yang sudah diturunkan, Raja Razie membalas:

Dalam tweetnya, Raja Razie membuat andaian bahawa Nina Lestari mempunyai banyak pengalaman (dalam seks) untuk mengongsi pandangannya sebegitu.

Selepas itu, Nina Lestari memuatnaikkan status di lelaman Facebooknya untuk memberi keterangan. Status Facebook Nina Lestari juga kini telah diturunkan. Beliau mengongsi bahawa Raja Razie telah menjemputnya sebagai tetamu OLG. Namun, Nina menolak undangan tersebut

Dengan lebih 1,000 shares dan komen, Nina menekankan bahawa kata-kata kesat atau sebagainya yang memperlekehkan wanita serta gurauan lucah tentang wanita harus tegas ditolak kerana ia boleh menimbulkan masalah lebih besar jika dibiarkan. Tujuan status Facebooknya adalah untuk memberi maklum balas kepada pihak OLG yang telah berjaya menerbitkan kandungan buat ramai pendengar atas usaha dan kerja keras mereka.

Sejak itu, netizen telah menggunakan pelbagai wadah media sosial untuk meluahkan pandangan masing-masing. Ada juga yang mula mencari dan mengongsi contoh kritikan wanita yang telah diterbitkan di dalam episod-episod lama OLG. 

Sumber: Hype & Stuff

Dalam episod “Help! Kawan Anak I Gelarkan I MILF”, pada time code 10 minit 30 saat,  salah seorang daripada trio itu mengongsi bahawa beliau lebih suka “bums and legs” (punggung dan kaki) daripada dada wanita. Pada time code 22 minit dalam episod yang sama, salah seorang hos mengongsi pengalamannya dengan seorang wanita sambil memberi keterangan terperinci tentang pakaian wanita yang membuat mereka rasa teruja. 

Komen-komen serupa juga diberikan dalam episod “Fantasies”, di mana hos-hos mengongsi senario terperinci untuk ‘video lucah’ idaman mereka. Perkataan-perkataan lucah seperti “pantat jack” dan “jilat” digunakan dalam perkongsian mereka. 

Ini hanya beberapa contoh yang telah diketengahkan.

PANDANGAN NETIZEN BERBELAH BAGI

Facebook status dan komen-komen Nina Lestari telah mencetus reaksi hebat oleh para netizen. Ada yang mengongsi pengalaman mereka dan ada yang memuji usaha Nina Lestari untuk memperjuangkan isu wanita:

Namun, ada juga pandangan sebaliknya yang dikongsi peminat-peminat OLG (juga lebih dikenali sebagai “Blood”). Mereka tetap menyokong dan mempertahankan saluran podcast itu.

OLG KELUARKAN KENYATAAN DAN PODCAST BARU

Setelah isu ini menarik perhatian ramai, OLG telah pun mengeluarkan satu kenyataan dan sebuah rakaman podcast untuk memberikan pendirian mereka terhadap isu tersebut.

Menurut kenyataan Facebook pada 13 Jun ini, OLG mengumumkan bahawa mereka ketahui tentang perasaan tidak puas hati oleh netizen tentang gaya kandungan mereka diterbitkan. Mereka menghargai maklum balas yang ada dan mengaku bahawa mereka masih ada ruang untuk memperbaiki diri. Mereka akan terus komited kepada gaya kandungan secara terbuka dan mengucapkan terima kasih atas maklum balas diterima.

Pada masa yang sama, sebuah petikan skrin dari kumpulan Telegram OKLETSGO juga sedang menular yang mempersoalkan keikhlasan kenyataan kemaafan trio ini. 

Menurut petikan skrin itu, Raja Razie telah memberitahu pengikut kumpulan Telegram tersebut bahawa ada post mohon maaf yang telah ditulis oleh pembantu peribadinya. Namun beliau mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai rasa ingin meminta maaf.

Pada pagi 15 Jun, OLG mengeluarkan rakaman podcast pula. Di dalam podcast itu, mereka mengingati para pendengar bahawa mereka bukan “mainstream media” (saluran media utama) dan kandungan mereka tidak harus “diambil secara serius”. Di dalam rakaman itu, seorang daripada mereka mengaitkan isu hangat ini sebagai satu “serangan yang dirancang”.

Mereka meminta orang ramai untuk menjauhkan diri daripada membalas komen-komen online supaya isu ini boleh berakhir. Mereka tekad untuk menerbitkan kandungan pada masa akan datang.

PRESIDEN NEGARA SINGAPURA MENGGESA OLG UNTUK MEMOHON MAAF

Individu-individu yang dikenali ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat telah tampil ke hadapan untuk menyuarakan pandangan mereka, termasuk Presiden Singapura Puan Halimah Yacob yang telah mengeluarkan catatan di Facebooknya pada pagi 15 Jun juga.

Menurut catatannya, Presiden Halimah tegas bahawa kaum wanita bukanlah objek untuk dijadikan bahan jenaka, diejek dan diinjak, dan tiada sesiapa mempunyai hak untuk berbuat demikian kepada mereka.

Beliau telah menerima banyak kiriman e-mel daripada mereka yang amat prihatin dan bimbang akan nilai-nilai yang disebarkan dalam kalangan golongan muda. Beliau mengakhiri catatan tersebut dan menggesa OLG untuk membuat permohonan maaf secara ikhlas atas segala kata-kata mereka yang menyinggung perasaan, memalukan dan misoginistik terhadap wanita dalam podcast mereka mengenai golongan wanita.

Menyusuli catatan tersebut, OLG telah pun ke hadapan sekali lagi untuk membalas kenyataan tersebut dah memberi mohon maaf secara terbuka. 

Mereka mengucapkan terima kasih kepada Presiden Halimah Yacob dan semua individu dan persatuan dihormati yang telah bersuara bagi pihak mereka yang tersinggung atas isu hangat ini. OLG memohon maaf kepada semua dan mengakui bahawa mereka harus membuat penyesuaian dan memperbaiki diri mereka.

MENGAMBIL LANGKAH KE HADAPAN

Satu perkara penting admin telah renungkan adalah sikap bertanggungjawab (accountability!) terhadap penerbitan kandungan. Tak kira kalau kita personaliti terkenal di carta tempatan ataupun seorang pengguna media sosial biasa dengan 10 followers sahaja, kita harus menilai diri sendiri dan bertanggungjawab atas tindakan dan pilihan kita. Kita terima maklum balas membina secara terbuka. 

Mungkin satu hari, isu ini akan juga terlerai dan kita mengambil langkah ke hadapan dengan mindset positif. Jadikan insiden ini sebuah pengajaran – kita harus sentiasa menghormati sesiapa saja dan membangun sebagai satu masyarakat. Semoga generasi akan datang boleh mengatakan bahawa kita lah generasi yang berani bersuara atas niat baik tanpa kata-kata kesat, mengabaikan adab dan nilai kita sebagai orang Melayu/Islam.

This article is written by our writer. Feel free to share.

Comments

comments

Related post

5 Tips Untuk Jaga Rambut Buat Hijabi Sisters

in Berita
  ·   1 min read

Apa Itu Yoga? Dan 5 Pose Yoga Anda Boleh Cuba

in Berita
  ·   1 min read