Berita

“PADA MULANYA, ANAK-ANAK SAYA KURANG SELESA MELUANGKAN MASA DENGAN IBU MEREKA SENDIRI” – Luahan Seorang Bapa Tunggal

Tanggungjawab ibu bapa bukan mudah, lebih-lebih lagi jika mereka telah berpisah. Namun kesukaran dan penat lelah yang dialami tidak...

· 2 min read >

Tanggungjawab ibu bapa bukan mudah, lebih-lebih lagi jika mereka telah berpisah. Namun kesukaran dan penat lelah yang dialami tidak menjadi hal bila kebahagiaan anak-anak terjaga dengan kerjasama ibu bapa atau lebih dikenali sebagai co-parenting. Begitu lah pendirian Encik Adam (bukan nama sebenar), seorang bapa tunggal kepada tiga orang anak.

Perpisahan Yang Tidak Boleh Dielakkan

Ketika dalam proses penceraian, Adam terpaksa terus giat bekerja serta memainkan peranan membesarkan anak-anaknya, lebih-lebih lagi setelah mereka diletakkan di bawah jagaannya. Sebelum ini, Adam dan anak-anaknya tinggal bersama ibu kepada bekas isterinya. Apabila penceraian berlaku, Adam dan anak-anaknya terpaksa keluar dari rumah. Anak-anaknya juga telah kehilangan kepercayaan dan menjauhkan diri daripada ibu kandung mereka. 

Adam dan anak-anaknya berpindah daripada sebuah hotel ke hotel yang lain sejak kehilangan tempat tinggal mereka. Setelah mendapat tahu situasi keluarga Adam, kakaknya mengajak mereka menetap di rumahnya. Adam menghadapi kesukaran untuk membiayai segala yuran mahkamah dan perbelanjaan keluarganya. Walaupun dalam keadaan yang sangat terdesak, beliau tetap ingin pastikan anak-anaknya diberi makanan dan telefon bimbit untuk mereka menghubunginya di tempat kerja.

“Saya yakin kami berdua sebenarnya tidak mahu penceraian berlaku. Namun, ia merupakan perpisahan yang tidak boleh dielakkan,” Adam berkongsi. 

Sepanjang perkahwinan mereka, Adam dan bekas isterinya telah berdepan dengan pelbagai perselisihan faham. Ini termasuk berbagai pertengkaran di rumah. Selama 10 tahun, mereka sudah berusaha untuk mempertahankan rumahtangga mereka. Namun, pada dua tahun lalu, mereka membuat keputusan untuk kebajikan anak-anak mereka.

Membina Kepercayaan Anak-Anak Kepada Bekas Isteri 

Walaupun sudah berpisah, Adam akui bahawa bekas isterinya tetap ibu kepada anak-anaknya. Oleh itu, Adam tidak menghalang bekas isterinya untuk terus menjalin hubungan dengan mereka.

“Pada mulanya, anak-anak saya enggan untuk meluangkan masa bersama bekas isteri saya. Tetapi, saya menjelaskan bahawa mereka harus cuba membina hubungan dengan ibu mereka untuk masa depan,” Adam menjelaskan. Dengan penjelasan Adam, anak-anaknya mula mempercayai dan meluangkan masa dengan ibu kandung mereka. Antara cara ibu mereka meluangkan masa bersama anak-anaknya termasuk pergi ke panggung wayang dan keluar untuk membeli belah. 

Bagi Adam, anak-anaknya boleh juga menyumbang menjaga ibu mereka satu hari nanti bila dia lanjut usia. Adam juga memesan agar anak-anaknya memberikan sumbangan wang belanja bulanan apabila mereka sudah bekerja kerana ibu merekalah yang melahirkan mereka. 

Lama-kelamaan, Adam mendapati anak-anaknya mula merasa selesa dengan ibu mereka. Anak-anaknya akan menceritakan pengalaman bersama ibu mereka selepas pulang ke rumah. Adam harap anak-anaknya akan terus membina kemesraan bersama ibu kandung mereka.

Walaupun Berpisah, Mereka Membesarkan Anak-Anak Bersama 

Penceraian bukanlah halangan bagi ibu bapa untuk membesarkan anak-anak mereka bersama. Setiap anak memerlukan kasih sayang ibu bapa. Dengan itu, walaupun sudah bercerai, kehadiran ibu bapa dan keharmonian rumah tangga masih lagi boleh dicapai walau ia berubah wajah dan bentuk.

“Walaupun mereka masih muda, kanak-kanak memahami situasi penceraian. Kanak-kanak ini mempunyai perasaan juga. Oleh itu, kita memainkan peranan penting untuk menjadi tiang sokongan buat mereka dari segi emosi dan minda pada waktu-waktu sukar. Yang penting, kita masih mendukung tanggungjawab ibu bapa dan selagi boleh, kita pentingkan masa depan anak-anak kita,” luahan Adam. 

Kini, Adam mempunyai rumahnya sendiri dan sering meluangkan masa bersama anak-anaknya bila tidak bekerja. Satu perkara yang Adam tekankan kepada anak-anaknya adalah kepentingan menunaikan ibadah-ibadah yang wajib. Mengutamakan pendidikan agama serta sering solat berjemaah dan mengaji bersama mereka merupakan sesuatu yang beliau ingin terus galakkan. 

Kini, Adam menerima khidmat kaunseling daripada PPIS As-Salaam, sebuah agensi khusus bantuan penceraian, atau dikenali sebagai Divorce Support Specialist Agency (DSSA) serta mendapat sokongan daripada keluarga. Dengan khidmat ini, Adam dapat membina kehidupan baru bersama anak-anaknya.  

Jika anda ingin ketahui bagaimana untuk menyokong keluarga dalam keadaan yang sama, daftarlah ke webinar PPIS As-Salaam “I’m Ok (Am I?)” – Children of Divorce and Their Environment pada 19 Februari 2021. Orang ramai boleh mendaftar melalui link ini

Sarankan juga kepada kenalan-kenalan anda yang perlukan informasi ini.

This article is written by our writer. Feel free to share.

Comments

comments

Related post

Apa Itu Yoga? Dan 5 Pose Yoga Anda Boleh Cuba

in Berita
  ·   1 min read

Vaksin COVID-19: 5 Perkara Anda Perlu Tahu

in Berita
  ·   2 min read