Minggu Serumpun Budaya merupakan minggu istimewa yang menggalak masyarakat kita meneroka dan menghargai seni serta budaya Melayu bakat-bakat tanah air. Diadakan selama sembilan hari secara online, penonton boleh menyaksikan pelbagai persembahan hebat seperti silat, dikir barat, tarian Melayu dan lain-lain lagi!
Minggu Serumpun Budaya ini telah membuka tirainya sejak Jumaat lalu (4 September) dan akan berterusan hingga acara penutupnya pada hari Sabtu ini (12 September).
Dianjurkan oleh Wisma Geylang Serai (WGS), sebuah program online selama sembilan episod berturut-turut sedang disiarkan setiap hari dari jam 8.30 malam hingga 9.15 malam melalui Facebook dan Youtube WGS. Bersama hos-hos, Hafidz Rahman dan Awal’liyah Jaafar, orang ramai boleh menghayati dan mempelajari lebih tentang budaya Melayu kita.

Pihak WGS juga telah bekerjasama dengan enam agensi pemerintah, sepuluh sekolah, lima pusat masyarakat dan sebelas penaja untuk menghidupkan minggu ini.

Dalam serumpun bak serai
Dalam sehimpun tak lerai
Bersatu dari berbagai
Berpadu tiada bercerai
Berikut adalah pantun yang disampaikan oleh Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman. Berkongsi di Facebook, Dr Maliki mengatakan bahawa acara ini sesuai untuk diikuti semua lapisan masyarakat.
Beliau juga mengajak masyarakat untuk turut serta dalam kemeriahan minggu ini dengan membuat kuih tradisional, menonton wayang kulit dan sebagainya. Acara online ini juga merupakan satu wadah yang baik untuk mengongsi pengetahuan dan pengalaman antara dua generasi berbeza.
“Saya pasti ia dapat memberi manfaat buat anak-anak kita sedang mereka berehat semasa cuti sekolah September ini,” tambah Dr Maliki, yang juga memainkan watak Datuk Bendahara dalam setiap episod.
Untuk mengetahui lebih lanjut ataupun tonton episod-episod Minggu Serumpun Budaya, lungsuri ke Facebook page Wisma Geylang Serai.