Berita

“JIKA SAYA TERUS MENJADI ISTERINYA, PASTI SAYA AKAN MATI.” – Kisah Wanita Berjaya Diselamatkan Daripada Keganasan Keluarga

Dengan laporan tentang kes-kes keganasan di rumah yang semakin meningkat pada waktu-waktu sukar ini, Farhana* mengongsi sejarah keluarganya untuk...

· 3 min read >

Dengan laporan tentang kes-kes keganasan di rumah yang semakin meningkat pada waktu-waktu sukar ini, Farhana* mengongsi sejarah keluarganya untuk memberi kekuatan dan dorongan kepada wanita lain yang mungkin senasib dengannya. Farhana berharap mereka yang teraniaya juga boleh keluar daripada ‘penjara’ rumah mereka. Inilah kisah Farhana, seorang wanita cukup tabah meskipun telah berdepan dengan keganasan keluarga sejak umurnya 6 tahun lagi.

HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI

Farhana mula menceritakan tentang bapanya, seorang yang panas baran. Pada usia yang muda, beliau melihat ibunya didera dan dicekik oleh bapanya. Beliau cuba menolong ibunya tetapi beliau ditolak ke tepi. Sering kali beliau menjadi saksi tangisan ibunya.

Sebagai seorang anak tunggal, Farhana juga tidak dikecualikan daripada penderaan bapanya. Di rumah, setiap kesilapan kecil (seperti air cawan yang tertumpah secara tidak sengaja) akan dibalas dengan sebatan rotan. Farhana dan ibunya mengalami kesan lebam di kepala, tangan dan muka mereka. Beliau mengeluh apabila memberitahu itu bukan satu-satunya objek yang digunakan bapanya. 

Apabila ditanya apa yang telah berlaku, beliau menjawab, “You tahu galah gantung jemur baju? Saya pernah dihentak di kepala dengan galah… Ada sesekali saya berbual dengannya semasa dia sedang mencukur rambut apabila dia naik angin.. Dia gunakan shaver itu di…” Farhana terhenti kata-katanya dan hanya mampu membuat gerakan tangan seperti mengguris tangannya sendiri, memberi gambaran pedih tentang peristiwa itu.

Farhana sebak terkenang saat bapanya memujuk beliau dengan membeli makanan kegemarannya sebagai tanda kasih sayang. Kini, beliau mengaku perasaan kasih sayang itu tidak wujud lagi kerana beliau masih boleh ingat rasa sakit pada masa lalu.

Disebabkan usia yang muda dan keganasan yang sering berlaku, Farhana sangkakan bahawa tingkah laku bapanya merupakan sesuatu perkara yang normal. Rahsia keluarganya disimpan sendiri dan keganasan itu berakhir apabila ibunya membuat keputusan untuk berpisah dengan bapanya. 

“HINGGA SEKARANG, SAYA SUSAH PERCAYAKAN LELAKI” 

Sejarah berulang lagi apabila beliau mendirikan rumahtangga dan cuba mempertahankannya selama 10 tahun. Bekas suami Farhana juga sering bergaduh dengannya dan keganasan yang pernah dialami berterusan di tangan bekas suaminya. Beliau didera secara fizikal dan juga mental.

Kami bertanya jika ada sebarang tanda-tanda keganasan sebelum perkahwinan mereka lalu Farhana menjawab, “Sebelum berkahwin dia dah jalan tangan sebenarnya. Tetapi fikiran saya… Kita selalu fikir manusia boleh berubah kan? Tetapi dia langsung tidak berubah. Dia semakin teruk hari demi hari.”

Beliau teringat bagaimana bekas suami beliau memukul, menumbuk dan memijak perutnya. Pernah sesekali muka dan kepalanya dihentak dengan pencanai (rolling pin) dan penutup kipas berdiri (standing fan cover).

Selain penderaan fizikal, Farhana juga dikurung secara mental apabila suaminya tidak mengizinkannya keluar bekerja –   dengan alasan kerana pendapatan Farhana lebih tinggi daripada suaminya. 

“Dia suruh saya hentikan apa sahaja yang saya suka lakukan. Segala minat saya (seperti membuat kek), dia halang. Dia tidak menyokong usaha saya walaupun dirinya sendiri tidak ada kewangan stabil,” tambah Farhana lagi.

Farhana, juga kini seorang ibu, kesal atas peristiwa yang telah berlaku kerana anak-anaknya juga menjadi sasaran keganasan bekas suaminya. Beliau mengaku bahawa sejarah berulang berkali-kali kerana bekas suaminya juga didera oleh bapanya ketika dia kecil lagi. Kini perkara yang sama berlaku dalam keluarganya. 

Akhirnya, Farhana membuat keputusan untuk mengubah nasibnya.

MEMBINA HIDUP BARU

Beliau mengimbas kembali hari terakhir beliau melihat bekas suaminya, “Pada masa itu, saya rasa seperti saya pasti akan mati. Saya tidak mahu mati. Saya tidak mahu mati di tangan suami saya…” 

Farhana kirimkan pesanan kepada jirannya secara senyap-senyap dan meminta bantuan. Jirannya pula menghubungi pegawai sosial untuk menyelamatkan Farhana dari rumah lalu dibawa ke rumah tumpangan wanita Casa Raudha Women Home (CRWH), sebuah badan amal yang menyediakan perlindungan dan khidmat bantuan seperti kaunseling dan peningkatan kemahiran bagi para mangsa.

Di CRWH, mereka mendorong Farhana untuk mengejar minat membuat kek dengan mendaftar diri dalam kursus menghias kek. Farhana diberi sokongan tanpa putus hingga beliau berjaya menyertai program internship luar negara di Amerika Syarikat dan berpeluang bekerja dengan kedai kek popular di Singapura, Konditori. 

Kini, Farhana seorang wanita yang yakin dengan dirinya sendiri dan beliau juga membantu wanita-wanita yang senasib dengannya. Beliau sering kembali ke CRWH sebagai seorang sukarelawan dan memberi kata perangsang kepada wanita lain di CRWH.

JASA JIRAN TETANGGA DAN MASYARAKAT

Farhana menerangkan pelbagai sebab yang mungkin menghalang seorang mangsa keganasan daripada bersuara – takut apa akan berlaku jika mereka meminta bantuan, takut jika pendera mereka akan melakukan sesuatu, tekanan untuk membuka aib keluarga sendiri, rasa bersalah, rasa malu dan macam-macam lagi.

Akhirnya, Farhana terhutang budi kepada ibunya, jirannya dan semua yang telah menyokongnya, termasuk pegawai-pegawai CRWH. Beliau menekankan bahawa masyarakat boleh memainkan peranan untuk selamatkan mangsa lain yang belum lagi tampil meminta bantuan. 

Beliau menasihati wanita lain untuk kuatkan hati dan jangan berputus asa. Tambahnya lagi, “Masyarakat kita menunjukkan saya bahawa gagal sekali tidak bermakna kita akan gagal seumur hidup.”

Berikut adalah senarai talian bantuan bagi mereka yang memerlukan:

Polis (Kecemasan)
999/ SMS 71999

National CARE Hotline

1800-202-6868

ComCare Call Hotline

1800-222-000

Big Love Child Protection Specialist Centre

6445 0400

HEART @ Fei Yue Child Protection Specialist Centre

6819 9170

PAVE Integrated Services for Individual and Family Protection Specialist Centre

6555 0390

Project StART

64761482

TRANS SAFE Centre

6449 9088

Community Psychology Hub Online Counseling

www.cphonlinecounseling.sg

Untuk maklumat lanjut:

www.msf.gov.sg/breakthesilence

Kongsikan artikel ini dan sama-sama kita #tengoktengok untuk membantu mangsa keganasan keluarga yang memerlukan.

This article is written by our writer. Feel free to share.

Comments

comments

Related post