Minggu lepas, berita seorang pekerja Tangs yang diminta membuka tudungnya menjadi viral seluruh Singapura hingga ia menerima perhatian Presiden Halimah kita sendiri. Ramai yang tertanya – Mengapa ketidakadilan ini masih wujud di negara ini? Artikel ini senaraikan apa yang telah berlaku.
Peraturan: “Pekerja tidak dibenarkan memakai hiasan kepala berkaitan dengan agama (religious headgear)”
Pada 29 Julai, Puan Chin, pemilik syarikat Anastasia By Raine, mengongsikan pengalaman beliau dan pekerjanya di Facebook. Beliau telah membuat persetujuan dengan Tangs, sebuah gedung beli-belah yang dikenali ramai di Singapura, untuk mengendalikan gerai ‘pop up’ selama tiga minggu di situ. Menurut Facebook post ini, beliau telah mengalami “diskriminasi yang sangat tidak adil”.
Kejadian ini bermula apabila pekerja sambilannya, Nurin Jazlina Mahbob, ditugaskan di situ. Setelah memulakan tugasnya hampir 10 minit sahaja, Nurin diminta membuka tudungnya. Mereka menambah bahawa peraturan itu dikenakan untuk kekalkan sikap profesionalisme dalam gedung beli-belah tersebut.
Antara peraturan lain yang dikenakan pekerja Tangs juga:
- Pekerja hanya boleh memakai kemeja dan seluar hitam
- Rambut tidak boleh diwarnakan dan harus diikat
- Pekerja hanya boleh masuk menggunakan pintu masuk khas buat pekerja
- Pekerja tidak dibenarkan makan ketika bertugas dan hanya boleh minum air putih
- Pekerja tidak boleh duduk ketika bertugas
- Jika ingin menggunakan telefon bimbit, pekerja harus ke bilik stor
Menurut Puan Chin, peraturan-peraturan ini tidak pernah diberitahu. Puan Chin mendedahkan bahawa pihak Tangs juga memintanya untuk mewarnakan rambutnya hitam jika ingin terus beroperasi di situ.
Menurut sumber rasmi, Puan Chin berkata, “Saya tidak faham (mengapa tindakan ini diambil). Saya menanya apa kaitan tudung dan profesionalisme? Memakai tudung tidak bermakna seseorang itu tidak bersikap profesional.”
Sejak Facebook post tersebut menjadi viral, Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan yang Adil (TAFEP) mula menyiasat isu ini.
“Diskriminasi tiada tempat di Singapura” – Presiden Halimah Yacob
Menyentuh tentang insiden ini, Presiden Halimah Yacob mengeluarkan sebuah kenyataan di Facebook. Beliau menegaskan bahawa diskriminasi walaupun dalam apa jua bentuk sekalipun tiada tempat dalam masyarakat dan tempat kerja.
“Orang ramai sepatutnya dinilai berdasarkan merit dan keupayaan mereka semata-mata dan juga kebolehan mereka untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan dan bukannya perkara lain,” kata Puan Halimah.
Isu ini juga telah menarik perhatian Menteri Negara Kanan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Encik Zaqy Mohamad.
Encik Zaqy berpendapat bahawa tempat kerja adalah ruang bersama yang penting di mana orang ramai berinteraksi dan bekerja bersama tanpa mengira latar belakang budaya, agama atau kaum mereka. Para majikan juga harus bertimbang rasa dan terapkan sifat inklusif.
Tambahan pula, Encik Zaqy menegaskan bahawa ia amat penting untuk majikan memberi tahu tentang dasar pakaian secara jelas terhadap para pekerja dan pihak-pihak yang berkaitan.
“Secara umumnya pakaian yang berunsur keagamaan harus dibenarkan di tempat kerja kecuali majikan mempunyai peraturan pakaian seragam atau kod pakaian yang sesuai dengan corak pekerjaan atau kerana alasan operasi dan keselamatan,” kata Encik Zaqy.
Ini Bukan Kali Pertama
Kes Puan Chin bukan kes diskriminasi pertama yang dikongsi di media sosial. Diskriminasi terhadap pemakaian hijab pernah diketengahkan sebelum ini.
Sebuah platform di Instagram, @minorityvoices, juga pernah mengongsi pengalaman Puan Anisah. Puan Anisah menceritakan bahawa beliau sedang mencari pekerjaan di dalam sektor khidmat sosial. Walaupun dipanggil untuk temuduga, beliau sering diminta menanggalkan tudungnya jika ingin bekerja dalam syarikat-syarikat itu.
Selain Anisah, Encik Parvitar Singh juga mengongsikan pengalaman beliau ketika mencari kerja. Apabila beliau menerima panggilan bahawa beliau bakal mendapat jawatan, beliau ditanya sama ada beliau boleh menanggalkan turbannya. Sebagai seorang penganut agama Sikh, beliau menjelaskan bahawa perkara itu tidak boleh dilakukan. Walaupun pernah berkhidmat bersama tentera udara, beliau masih mengalami diskriminasi.
Tangs Mengubah Peraturan Untuk Benarkan Pekerja Memakai Tudung
Kini, Tangs telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan membenarkan para pekerja untuk memakai hiasan kepala berkaitan agama (termasuk tudung) mulai 21 Ogos 2020.
“Kami telah mengambil tindakan ini untuk menghormati semua pekerja dan syarikat-syarikat yang berhubung dengan kami,” kata Tangs.
Walaupun isu ini sudah diperbualkan, kejadian ini menjadi pengajaran bagi masyarakat kita, termasuk pihak majikan lain di luar sana.
This article is written by our writer. Feel free to share.