Dengan kes keganasan di rumah semakin meningkat di Singapura, seorang mangsa keganasan keluarga tampil ke hadapan untuk mengongsi kisah beliau. Diana (bukan nama sebenar) mengenali suaminya sebagai seorang yang penyayang dan penyabar. Namun, setelah melahirkan anak pertamanya, segalanya berubah. Ini kisah bagaimana beliau berjaya keluar dari perangkap keganasan tersebut.
Suami Mula Tengking Dan Hilang Kesabaran

Diana telah setuju untuk ditemuduga bagi sebuah video online, dengan syarat nama dan mukanya disembunyikan. Dengan harapan perkongsian ini boleh membantu wanita lain, kisah beliau bermula apabila beliau perhatikan bagaimana sikap suaminya mula berubah sedikit demi sedikit.
Suaminya cepat hilang kesabaran dan berkasar dengannya. Dalam satu insiden itu, Diana teringat bagaimana suaminya menjatuhkan televisyen berhampiran dengannya.
“Dia kata pada saya – baik kau mati jer,” tambah Diana ketika mengimbas kembali waktu itu.
Selain itu, Diana mendapat tahu bahawa suami beliau sering keluar minum dan berada dalam keadaan mabuk bersama rakan-rakannya. Apabila Diana ingin menyiasat tentang tingkah laku suaminya, beliau ditampar. Keganasan atas Diana berbentuk kata-kata kasar, gangguan emosi dan seksual.
Diana mengaku, “Ada sesuatu dalam hati saya kata ‘this is wrong’ tapi saya tak berani untuk menyatakan kepada sesiapa pun.”
Gagal Mendapat Pertolongan Keluarga

Disebabkan keganasan yang berlarutan, Diana terdesak untuk minta pertolongan. Namun, perasaannya bercampur aduk.
“Kalau saya bilang keluarga saya, mesti mereka tak percaya. Kalau saya bilang kawan, nanti buka aib pula,” jelas Diana.
Apabila Diana akhirnya membuat keputusan untuk berbincang bersama keluarga, mereka tidak mempercayai kata-katanya. Malah, mereka menanya Diana jika beliau ada salah silap terhadap suaminya yang menjadi punca keganasan itu.
Walaupun ahli keluarga tidak mempercayainya, anak-anak Diana memahami keadaannya. Diana menjelaskan tentang keganasan yang sedang berlaku dan menunjukkan kesan lebam di badannya kepada mereka. Anak sulung Diana memberitahunya bahawa mereka sendiri dengar tengkingan ayah mereka dan percaya bahawa apa yang dikatakan Diana itu benar.
Mendapatkan Bantuan Yang Diperlukan

Demi masa depan dan keselamatan anak-anak, Diana mengambil keputusan untuk minta bantuan seorang diri. Diana meminta penceraian Fasakh melalui Mahkamah Syariah.
Beliau juga ke poliklinik untuk melakukan pemeriksaan badan di mana tanda-tanda keganasan boleh dikenal pasti. Tambahan pula, Diana juga membuat laporan polis dan mendapatkan Personal Protection Order (PPO). Pada waktu itu juga, Diana dapat tahu bahawa PPO itu memerlukan bayaran serendah $1 sahaja.
Dengan perpisahan itu, Diana kuatkan semangat untuk berdikari dan meminta bantuan daripada badan-badan tersedia.
“Kita bukan nampak lemah tapi untuk membangunkan diri, kita perlu (minta bantuan),” Diana berpesan.
Selain Diana, Masih Ada Mangsa Lain Yang Perlu Sokongan
Untuk mendengar kisah penuh Diana dan nasihat pakar, orang ramai boleh menonton temu bual itu di video berikut.
Di Singapura, terdapat 209 siasatan atas kes keganasan di rumah pada tahun 2019. Kes keganasan di Singapura dijangka semakin meningkat. Kita perlu memainkan peranan untuk #tengoktengok dan berikan sokongan kepada sesiapa yang mengalami atau disyak mengalami keganasan keluarga.
Jika anda mengenali sesiapa yang memerlukan bantuan, hubungi antara talian bantuan berikut:
Polis (Kecemasan)
999/ SMS 71999
National CARE Hotline
1800-202-6868
ComCare Call Hotline
1800-222-000
Big Love Child Protection Specialist Centre
6445 0400
HEART @ Fei Yue Child Protection Specialist Centre
6819 9170
PAVE Integrated Services for Individual and Family Protection Specialist Centre
6555 0390
Project StART
64761482
TRANS SAFE Centre
6449 9088
Community Psychology Hub Online Counseling
Untuk maklumat lanjut:
www.msf.gov.sg/breakthesilence
This article is written by our writer. Feel free to share.