Berita, Lepak & Relax

Tips Persiapan Umrah

Pada musim cuti sekolah ini, ramai daripada kami telah merancang untuk menunaikan ibadah Umrah. Jika anda salah seorang yang...

· 3 min read >

Pada musim cuti sekolah ini, ramai daripada kami telah merancang untuk menunaikan ibadah Umrah. Jika anda salah seorang yang sangat bernasib baik dan telah diundang untuk menjadi tetamu Allah, artikel ini akan membantu anda dalam persiapan ibadah Umrah. Artikel ini juga dibahagikan kepada tiga bahagian – persiapan fizikal, mental dan rohani.

Persiapan Fizikal

Sumber: About Islam

1. Membina stamina

Menunaikan ibadah Umrah melibatkan banyak pergerakan dan berjalan. Di tanah suci Makkah, anda akan berjalan dari hotel penginapan ke asjidil Haram untuk setiap waktu Fardhu, untuk melakukan Tawaf, sa’i, untuk mencari ruang solat dalam Masjidil Haram dan apabila membeli-belah untuk cenderahati. 

Tawaf sahaja sepanjang 1.4 km hingga 4.1 km, bergantung kepada keadaan dan tingkat berapa anda pergi. Sa’i pula sepanjang 2.8 km, antara Bukit Safa dan Marwah. 

Kami sangat menggalakkan anda untuk membuat persiapan fizikal yang secukupnya sebelum menunaikan ibadah Umrah. Banyakkan berjalan di sekitar kawasan kejiranan anda dan jaga pemakanan anda sebelum berangkat. 

Sumber: BBC

2. Dapatkan vaksin

Salah catu perkara penting sebelum anda berangkat adalah untuk mendapatkan vaksin. Dengan jumlah 2 juta jemaah yang menunaikan ibadah Umrah pada hujung tahun, Kementerian Kesihatan pihak Saudi berwaspada tentang perihal kesihatan untuk mengelak penyakit berjangkit. Beberapa jenis vaksin diwajibkan sebelum anda menunaikan Umrah seperti vaksin meningococcal manakala vaksin lain yang tidak wajib juga sangat digalakkan (BCG yang anda ambil ketika di sekolah rendah tidak dikira ya…).

Sumber: An-Nidaa Academy

3. Berpakaian sesuai

Pakaian anda haruslah sesuai mengikut musim di sana. Pada musim panas (Mei – Okt), suhu antara 28 hingga 45 darjah Celcius, manakala pada musim sejuk (Dec – Feb), suhu antara 17 hingga 33 darjah Celcius. Terdapat beberapa jenis kain ihram untuk musim panas dan sejuk, jadi pastikan anda dapatkan kain ihram yang sesuai. 

Kami sarankan agar anda membawa dan menggunakan kasut yang selesa. Jika anda tidak mempunyai kasut yang sesuai, belilah yang baru di Singapura dan gunakan untuk berjalan atau bersenam sebelum anda ke sana supaya dapat biasakan diri dengan kasut itu. 

Bagi kaum lelaki, semasa anda dalam Ihram, bahagian pergelangan kaki dan depan kaki anda perlu didedahkan. Oleh itu, sepasang sandal yang rata dan lembut amat sesuai. Sandal jenis ini sesuai sekali untuk anda gunakan untuk berjalan dan lebih mudah dibawa ke mana-mana. 

4. Barang keperluan 

Bagi memastikan perjalanan anda selesa dan mudah, semak senarai barang keperluan anda, termasuk perubatan asas (First Aid Kit). Anda juga boleh menyediakan botol spray kecil supaya mudah untuk mengambil wudhu’ jika anda tidak larat untuk berjalan ke tempat mengambil wudhu’. Bagi pengetahuan anda, kawasan mengambil wudhu’ terletak di tempat masuk Masjidil Haram. 

Kalau anda pergi pada musim panas, anda boleh juga menyediakan kipas mudah alih (portable fan). Portable charger untuk telefon bimbit anda juga penting. Jangan lupa juga international power adapter!

Persiapan Mental

Sumber: National Public Radio (USA)

5. Cara berkomunikasi

Orang di sana boleh berbahasa Melayu dan Inggeris, walaupun mereka kurang fasih. Mereka juga boleh bercakap dalam bahasa-bahasa lain juga kerana sering terdedah kepada budaya berbeza dari seluruh dunia. Jangan terperanjat apabila anda mendengar penjual yang melelong dalam bahasa Melayu. 

Jika anda ingin dapatkan bantuan untuk arah tuju, kami sarankan agar anda tanya lebih dari satu orang supaya lebih jelas dan boleh dipercayai. 

6. Perbezaan budaya

Anda juga akan mempelajari lebih tentang cara hidup orang Arab yang menetap di sana. Mereka biasanya tidur pada siang hari dan lebih aktif pada waktu malam, terutamanya pada musim sejuk. Inilah salah satu sebab mengapa banyak kedai tidak buka pada siang hari. Jam operasi kedai-kedai juga lebih panjang pada hujung minggu, iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu.

Kalau di Singapura, anda sudah biasa beratur, jangan terperanjat bila mengalami budaya yang berbeza di sana. Anda boleh jangkakan queue panjang dan juga ditolak semasa beratur. Anda harus banyak bersabar!

Sumber: NDTV Food  

7. Mencuba makanan Arab

Apabila berada di sana, cubalah pelbagai jenis makanan dan minuman yang tidak biasa anda dapat di sini. Jika anda gemar minum kopi, terdapat pelbagai jenis Kopi Arab dan ia biasanya disajikan dengan kurma manis. Jangan terperanjat kalau cawan teh anda kecil. Ini merupakan tanda penghormatan kepada tetamu supaya mereka dapat menikmati setiap minuman panas berkali-kali. 

Bagi makanan pula, anda boleh mencuba Ruz Mandi (Nasi Mandi). Ia biasanya dihidangkan dengan daging atau ayam yang dimasak dengan cara-cara berlainan. Hidangan di sana juga agak besar. Satu hidangan mungkin cukup untuk dua orang. 

8. Bersedia menghadapi mazhab lain

Semasa melakukan ibadah Umrah, anda pasti akan menghadapi orang yang mengikuti pelbagai pemikiran atau mazhab yang berlainan. Buka hati dan minda anda apabila melihat orang mengamalkan agama Islam dengan cara yang berbeza. Sebagai contoh, imam di Masjidil Haram tidak membaca doa Qunut semasa solat Subuh. Usah risau, anda boleh membuat doa sendiri selepas itu sambil menghadap pandangan terbaik, iaitu Kaa’bah.

Persiapan Rohani

Sumber: Deenspiration

9. Buat kerja rumah

Sebulan sebelum anda menunaikan ibadah Umrah, anda sangat digalakkan untuk menghadiri kursus persediaan yang ditawarkan oleh pusat-pusat Islam atau mengikuti kelas yang disediakan oleh agensi rombongan khusus bagi Umrah. Inilah peluang anda untuk bertanya jika kurang pasti.

Anda boleh juga membaca tentang kisah-kisah Nabi supaya lebih memahami sejarah yang membentuk dan mengatur cara kehidupan orang Islam. Jika anda tidak minat membaca, terdapat ceramah online yang anda boleh dengar dan tonton. 

10. Mendengar bacaan Quran & zikir

Bacaan surah para imam Makkah amat menyentuh jiwa. Mereka memegang kedudukan yang terhormat, dengan tanggungjawab yang begitu besar. Siapa tahu, anda mungkin bernasib baik untuk salam mereka selepas itu?  

Sebagai persiapan, anda boleh biasakan diri dengan mendengar bacaan al-Quran dan bacaan zikir sebelum dan semasa perjalanan anda. 

Sumber: INC

11. Perjalanan rohani

Sebelum anda berangkat, anda mungkin ingin menyelesaikan sebarang perselisihan faham yang ada, dan saling bermaaf-maafan agar dapat mendapat Umrah yang mabrur. (Bermaaf-maafan ini bukan pada Hari Raya sahaja tau!)

Anda boleh menyiapkan jurnal peribadi anda sendiri, lengkap dengan doa-doa, dalam bahasa yang anda selesa. Tuliskan doa yang anda ingin panjatkan dan jangan lupa doa untuk ibu-bapa, saudara-mara dan rakan-rakan.

12. Bersabar & bertaqwa

Akhir sekali, banyak bersabar. Akan terjadi banyak peristiwa di mana anda akan berasa tercabar. Oleh itu pupuk rasa sabar dalam diri anda. Senyum dan sabar selalu. 

Semoga Allah memberi peluang kepada kami semua untuk menjadi tetamuNya di tanah suciNya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup kami. Semoga mendapat Umrah yang mabrur!

Sumber: Havehalalwilltravel

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments

comments

Related post

GE2020: Apa Korang Perlu Tahu Tentang Mengundi

in Berita
  ·   1 min read