Yishun

Sembang-sembang je

Sejak kebelakangan ini, ada yang memberi pandangan negatif tentang kawasan Yishun di laman sosial. Memang betul, banyak berita buruk yang terjadi di Yishun – pembunuhan, kes dera kucing, kes perbuatan lucah dan macam-macam lagi. Ada yang cepat berprasangka, kononnya kawasan itu tidak membawa nasib baik, sehingga menakut-nakutkan penduduk-penduduk di sana, dan orang lain supaya mengelak tempat itu.

Jangan lah ada pemikiran yang sebegini yer…
Kesian orang-orang Yishun kena label begini.

Mari kita lihat perkara ini secara rasional.  Berita-berita di Yishun hanya mendapat perhatian yang lebih berbanding dengan kawasan lain di Singapura. Pastinya, tiada ‘keistimewaan’ atau faktor yang tertentu tentang Yishun yang menyebabkan kejadian-kejadian ini berlaku. Kaitan di antara ‘berita buruk’ dan ‘Yishun’ adalah sekadar kebetulan. (Atau sekadar hiburan sosial media? Hmmm…) Punca kejadian bergantung kepada kes-kes masing-masih, dan tiada kaitan dengan Yishun (tempat ini tak bersalah langsung!)

Dan daripada kita mencari keburukan kawasan ini, kan lagi baik kita sebarkan tentang kenangan-kenangan manis dan tempat-tempat menarik? Yishun dahulunya lebih dikenali sebagai daerah Nee Soon. Yishun terdiri daripada beberapa kampung, antaranya, Nee Soon Village, Chong Pang Village, Bah Soon Bah Village, Kampong Telok Soo dan lain-lain. Ternyata, ramai penduduk di Nee Soon tergolong daripada masyarakat Hokkien dan Teochew. Masyarakat Melayu juga ada di daerah ini, tetapi menurut beberapa kajian, hanya segelintir sahaja. Ada yang menetap di kawasan Sungei Seletar, dengan adanya peluang perkebunan atau perikanan. Ada juga yang menetap di Kampong Jalan Mata Ayer (kawasan Sembawang Road) dan sama-sama membina sebuah masjid iaitu Masjid Ahmad Ibrahim. Sehingga kini, masjid ini masih mengekalkan suasana perkampungan. 

Kini, tiada lagi perumahan kampung di Yishun. Sayang, tetapi masyarakat perlu bergerak mengikut arus permodenan. Jika anda inginkan tempat untuk bersiar-siar bersama keluarga di kawasan Yishun, anda boleh lah ke Lower Seletar Reservoir Park. Pemandangannya tenang dan berbagai kemudahan tersedia untuk kanak-kanak dan ibu bapa beriadah!

 

This article is written by our writer. Feel free to share.

Comments