Wisma Geylang Serai Menarik Perhatian Orang Ramai Semenjak Dirasmikan

Hal Ehwal Teh-Kini

Ramai antara kita mungkin mengenali Geylang Serai sebagai sebuah kawasan yang penuh dengan elemen tradisi Orang Melayu – sama ada anda berjalan di pusat membeli-belah seperti Joo Chiat Complex, ataupun menerokai Bazaar Ramadhan yang riuh-rendah setiap tahun.

 

Tidak disangkakan, Geylang Serai yang pada dahulunya merupakan sebuah pusat perdangangan selama abad ke-19, kini dikenali sebagai tempat yang hot untuk semua warga Singapura, tidak kira usia.

 

Kepada mereka, terutama sekali warga emas Singapura, yang telah lama menanamkan identiti mereka dalam kekayaan sejarah Geylang Serai, perkembangan baharu seperti Wisma Geylang Serai pasti menyeronokkan.

 

Wisma Geylang Serai, yang berdekatan dengan Darul Arqam Singapore dan Pasar Geylang Serai, merupakan sebuah hab yang terbuka kepada awam. Semenjak dirasmikan, Wisma Geylang Serai telah menarik perhatian orang ramai – sama ada mereka yang ingin berteduh daripada cuaca yang panas, atau ingin memuaskan kelaparan.

 

Apa yang lebih seronok, Wisma Geylang Serai juga merupakan “rumah” kepada KURNIA@WGS, sebuah hab yang merangkumi lapan badan Melayu/Islam yang bertujuan untuk memenuhi keperluan masyarakat Melayu Singapura.

 

Pada Ahad yang lalu, 7 April 2019, Wisma Geylang Serai mengadakan sambutan Hari Masyarakat, di mana kelapan-lapan badan khidmat sosial turun padang untuk berkongsi lebih lanjut tentang khidmat-khidmat yang mereka tawarkan. Acara ini juga dihadiri tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman.

 

“Apa yang kami adakan hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada anggota masyarakat kita, kerana kita sering mengenal Geylang Serai sebagai satu tempat untuk mereka pergi pasar sahaja. “Kedua, mereka berfikir WGS hanya untuk datang berhibur, mengikuti rancangan-rancangan yang dianjurkan. Tapi pada setiap hari – dari Isnin hingga Ahad – kita mempunyai khidmat-khidmat yang disediakan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) kita dan juga bukan MNO.”

 

Sehaluan dengan kenyataan Dr Maliki, Hari Masyarakat telah mencerminkan identiti baru Geylang Serai. Salah satu daripada segmen yang diadakan ialah ceramah perumahan, yang dianjurkan Berita Harian. Bersama konsultan hartanah Encik Nizam Adli dan Cik Neeza Ali, para hadirin amat beruntung kerana dapat menimba ilmu berguna mengenai isu perumahan.

 

Hari Masyarakat WGS juga menampilkan Ustazah Liyana Musfirah, yang dengan besar hati menyampaikan ceramah motivasi. Hadirin yang menghadiri segmen ini mesti teruja mendengar ceramah Ustazah yang mengingatkan semua untuk selalu tabahkan hati dan kuatkan semangat dalam menghadapi masalah kehidupan.

 

Persembahan dari Didi & Friends, Spinal Chord dan juga The Rhythm Boys turut menghiburkan semua hadirin yang berada di kawasan Event Space itu, tidak mengira usia.

 

Memang benar… Geylang Serai sekarang bukan sahaja tempat shopping untuk persiapan Hari Raya. Ia bukan sahaja tempat kita mengingati masa silam. Kini, Geylang Serai diberi nafas yang baru, untuk generasi yang akan datang.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments