For You Wedding Services Lesap Dengan $108,000 Deposit Pelanggan

Hal Ehwal Teh-Kini

Agak ironi, tidak lama dahulu For You Wedding Services (FYWS)  pernah membantu sepasang pengantin apabila firma perkahwinan yang mereka tempah menghilangkan diri. Kini For You Wedding Services sendiri yang ‘MIA’ (menghilangkan diri) dan meninggalkan pelanggan mereka terbuntu beberapa hari sebelum majlis itu dijadualkan berlangsung.

 

Pemeriksaan TehTarik.SG menunjukkan FYWS didapati telah mengirimkan pesanan WhatsApp memohon maaf kepada mempelai yang telah menempah khidmat firma itu kerana tidak dapat menjalankan majlis perkahwinan pelanggan itu.

 

 

FYWS memberi sebab keadaan kewangan firma itu hingga ‘tiada dana’ bagi meneruskan khidmat mereka.

 

Menurut imbas layar mesej WhatsApp yang diperolehi TehTarik.SG FYWS berkata syarikat itu ‘terpedaya oleh pembekal mereka yang melonjakkan harga barangan pasar sejak Disember lalu.

 

“Juga ada masalah di mana majlis selesai tetapi masih ada tunggakan daripada pihak pengantin dan juga masalah yang lain timbul luar kawalan pihak kami dan juga tidak dapat dana rolling oleh kerana ramai yang cancel package setelah viral di sosial media pada Feb tahun ini..” sebut mesej yang dikirimkan oleh Pengarah FYWS Encik Idham Salehuddien.

 

Idham meneruskan mesejnya dengan memohon maaf tidak dapat melaksanakan majlis yang telah ditempah itu.

 

Beliau berkata:

“Kami telah mencuba sedaya upaya untuk mendapat kelulusan pinjaman dana dari semua bank yang berkelulusan SME tetapi kami gagal memperolehinya.
“Sekali lagi saya mewakili syarikat kami memohon ampun dan maaf atas musibah ini yang tidak memberi kami peluang menjalankan tanggungjawab kami yang telah diamanahkan,” kata Encik Idham.

 

Usaha TehTarik.SG menghubungi Encik Idham bagi mendapatkan komen beliau tentang isu itu tidak berhasil. Panggilan telefon ke nombor telefonnya pula menunjukkan talian itu tidak lagi digunakan. TehTarik.SG juga telah meninggalkan beberapa pesanan mesej kepada FYWS.

 

Kunjungan TehTarik.SG ke laman FYWS di Facebook menunjukkan status firma itu kini ‘Tutup’. TehTarik.SG sedia memberi peluang Encik Idham dan FYWS menerangkan duduk perkara dan mengongsi kisah mereka.

 

Turut menjadi ironi, tidak lama dahulu FYWS pernah menerima banyak pujian atas khidmat yang sediakan dengan beberapa mempelai meluahkan penghargaan dan terima kasih. Beberapa pelanggan berkata firma itu telah menunaikan segala yang dijanjikan dan khidmat mereka ‘melebihi jangkaan’.

 

Namun masalah mula menimpa firma itu apabila ia menerima reviu negatif di Facebook Februari tahun lalu  – yang kemudiannya menjadi viral. Dalam kiriman tersebut seorang pelanggan membuat aduan FYWS tidak membuat perancangan bagi majlis perkahwinan yang telah dijadualkan. Pelanggan yang memperkenalkan dirinya sebagai Cik Erli Elfira berkata beliau dan suaminya telah membayar deposit $3,600, selain itu deposit $500 bagi hiasan majlis dan $460 bagi cetakan kad undangan juga hangus. Beliau turut menyenaraikan setiap janji dan perkhidmatan FYWS yang gagal dilaksanakan. Kiriman di media sosial itu mencetuskan beberapa lagi reviu yang negatif bagi FYWS daripada beberapa pelanggan lain yang kurang berpuas hati dengan khidmat firma itu.

 

Pada 31 Julai 2018, Persatuan Pengguna Singapura (Case) telah mengeluarkan nasihat pengguna tentang For You Wedding Services Pte Ltd.

 

Dari 22 hingga 30 Julai 2018, Case telah menerima enam aduan berhubung penutupan syarikat For You Wedding Pte Ltd/ For You Wedding Services

 

Berdasarkan aduan pengguna, syarikat itu secara tiba-tiba membatalkan kontrak pakej perkahwinan yang telah ditempat pelanggan dan kini tidak dapat melaksanakannya. Maklum balas pengguna menunjukkan para pelanggan secara keseluruhan telah membayar wang pendahuluan berjumlah kira-kira $ 108,000 untuk pakej perkahwinan mereka.

 

Menurut Case alamat pejabat berdaftar For You Wedding Pte Ltd ialah 31 Woodlands Close # 08-33 Woodlands Horizon Singapura 737855. Modal berbayar syarikat itu ialah $1.

 

Pengguna yang terjejas dalam pertikaian yang tidak dapat diselesaikan dengan syarikat itu boleh mendapatkan bantuan Case (telefon: 6100 0315, laman web: www.case.org.sg).

 

Sementara itu, kami ingin menggalakkan pengguna membeli insurans perkahwinan yang meliputi perniagaan yang ditutup. Ini akan memastikan deposit mereka dilindungi jika firma perkahwinan ditutup dengan tiba-tiba.

 

Pengguna juga harus melakukan penyelidikan sendiri sama ada firma perkahwinan mempunyai rekod yang baik. Pengguna juga harus mengurangkan pembayaran deposit mereka sebanyak mungkin dan elak daripada membuat pembayaran penuh terlebih dahulu kepada syarikat.

 

Untuk panduan mendapatkan khidmat firma perkahwinan, sila kunjungi lelaman CASE.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments