Wang Bulanan Untuk Ibu Bapa – Anak Jadi ATM Ke?

Sembang-sembang je

Tanggungjawab seorang anak adalah untuk menjaga ibu bapa, termasuk memberikan mereka duit bulanan. Tetapi, berapa banyak wang yang harus diberi dan apakah fikiran ibu bapa warga Singapura kita?

 

Menurut satu tinjauan Dollars And Sense Singapore, 75% ibu bapa di Singapura mengharapkan wang bulanan dari anak-anak mereka. Hampir setengah (43.8%) ibu bapa di Singapura pula berikan indikasi bahawa wang bulanan yang diberi perlu berada dalam rangkaian $200 hingga $400 sebulan dan ramai antara mereka setuju bahawa jumlah wang bulanan ini perlu ditetapkan.

 

Ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan:

 

#1 Gaji

Ada yang mempunyai gaji yang lebih tinggi dan mampu beri jumlah wang bulanan yang lebih tinggi. Ada yang gajinya tidak seberapa tetapi masih ingin berikan wang kepada ibu bapa mereka juga. Yang penting, anak tidak lupa dan masih ingin bantu. (Boleh lah tanya anak tu gajinya berapa supaya tak minta berlebihan dan saling memahami tapi kalau anak taknak kongsi gajinya berapa, jangan paksa pulak…)

 

#2 Adik-Beradik

Kalau ada tiga anak, bukan semua gaji mereka sama rata. Antara adik-beradik, cuba bawa berbincang tentang wang bulanan untuk ibu bapa dan pastikan mereka tidak diabaikan. (Kakak bayar bil rumah, adik bayar duit pasar, abang beri duit belanja ke…) Bagi mereka yang mempunyai anak tunggal, anak itu pasti akan pikul tanggungjawab membiayai hidup orang tuanya. Mungkin bulan ini dia beri $200 tetapi bulan depan dia beri $500 pula?

 

#3 Ibu Bapa Bekerja

Tahap ibu bapa bergantung kepada wang bulanan anak mereka ini juga berbeza jika ibu bapa masih bekerja. (Kalau jumlah keseluruhan gaji ibu bapa mencecah $10,000, nasib lah anak tu…) Selagi ibu bapa itu mampu berdikari dari segi kewangan, teruskan sahaja. Jika boleh hidup senang tanpa wang bulanan, biar anak itu beri seberapa mampu.

 

Bab soal duit ini memang perit. TehTarik pula ingin tekankan bahawa wang bulanan yang diberikan ini perlu diberikan dengan ikhlas. Anak itu juga berhak dan bertanggungjawab untuk menjaga kewangannya sendiri. Pihak ibu bapa pula harus memahami dan tidak anggap anak mereka sebagai ATM sehingga anaknya tidak mampu tanggung perbelanjaan asas hidupnya sendiri. TehTarik percaya bahawa dalam hal ini, tiada jumlah wang yang betul atau salah, asalkan niat anaknya itu murni.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments