VERS Akan Beri Peluang Lebih Ramai Penduduk Berpindah Ke Flat Baru

Hal Ehwal Teh-Kini

Kebelakangan ini, isu nilai flat HDB yang semakin mencapai tempoh pajakan menjadi keprihatinan rakyat.

 

Flat HDB mempunyai tempoh pajakan 99 tahun, warga prihatin nilai flat akan merosot semakin hampir usia flat itu kepada tempoh pajakannya. Sedang lebih banyak estet HDB menua, lebih banyak flat akan mencapai penghujung pajakan mereka.

 

Justeru penduduk ingin tahu apakah yang akan berlaku apabila flat mencapai tempoh pajakannya. Adakah flat yang semakin menua masih bernilai? Apakah pilihan yang ada bagi penduduk?

 

Dalam Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi penjelasan mengapa tempoh pajakan dihadkan kepada 99 tahun.

 

Beliau berkata 99 tahun sebenarnya tempoh yang agak lama.

 

Katakan anda beli flat HDB baru ketika anda berusia 30-an tahun. Di akhir 99 tahun, usia anda akan mencapai lebih 130 tahun – anda mungkin tidak perlukan flat itu lagi. Jika anda mempunyai anak, mereka juga mungkin sudah tua hampir seusia flat tersebut.

 

Bagaimana pula dengan flat jualan semula? Flat paling tua menurut Encik Lee kini berusia hampir 52 tahun – masih ada baki 47 tahun dalam tempoh pajakan. Hanya segelintir pemilik flat HDB akan hidup melebihi tempoh pajakan flat. Anggaran HDB, keadaan ini  hanya akan berlaku kepada 2 peratus isi rumah, termasuk mereka yang membeli flat jualan semula.

 

Andainya pemilik perlu memulangkan flat kepada HDB di akhir tempoh pajakan, Encik Lee memberi jaminan pemerintah akan membantu warga mendapatkan flat baru – bergantung kepada keperluan dan kemampuan warga.

 

Bagaimana pula dengan penduduk yang mahu berpindah daripada flat lama ke flat yang lebih baru?

 

Buat masa ini pemerintah memang sudah mempunyai program yang memberi nafas baru kepada kejiranan yang lebih tua dan memberi peluang isi rumah berpindah ke flat yang lebih baru.

 

Program sedia ada ini diberi nama SERS – Skim Pembangunan Semula Terpilih Bersama (Selective En bloc Redevelopment Scheme). Di bawah program yang dilancarkan pada 1995 ini, pemerintah mengambil semula flat yang telah dijual di kawasan yang mempunyai nilai pembangunan. HDB mengenal pasti kawasan yang dipilih bagi SERS dan penduduk tidak berpeluang mengundi bagi SERS.

 

Di bawah SERS, pemilik flat akan diberi pampasan yang menarik dan diberi bantuan mencari kediaman gantian. Pemilik flat yang dikenal pasti bagi Sers mempunyai peluang berpindah ke flat baru di kawasan yang mempunyai kemudahan moden.

 

Seberapa boleh, pemerintah mengusahakan agar flat gantian itu terletak di kawasan yang berhampiran dengan flat lama supaya memberi peluang penduduk terus hidup di kawasan yang sama.

 

Namun buat masa ini hanya segelintir penduduk berpeluang memanfaatkan SERS. Dianggarkan hanya 5 peratus flat layak bagi SERS.

 

VERS

 

Bagi majoriti pemilik flat yang tidak dipilih bagi SERS, Perdana Menteri mengumumkan berita baik bagi golongan tersebut.

 

Pemerintah akan memperkenalkan VERS – Skim Pembangunan Semua Awal Secara Sukarela (Voluntary Early Redevelopment Scheme). Di bawah VERS penduduk mempunyai pilihan menerima tawaran pemerintah mengambil balik flat mereka. Mereka yang memilih untuk menerima tawaran itu akan menerima pampasan dan boleh menggunakannya untuk membeli flat baru.  Namun pampasan yang ditawarkan di bawah VERS tidak akan setinggi SERS.

 

Skim ini akan dilaksanakan dalam masa 20 tahun mendatang bagi flat yang berusia 70 tahun.

 

Jika penduduk memilih tidak menyertai skim itu, mereka boleh kekal di flat masing-masing hingga tempoh pajakan tamat.

 

Manfaat bagi VERS amat menyeluruh. Skim ini memastikan pembangunan semula estet yang lebih tua secara teratur dan bertahap.

 

Lebih ramai penduduk bakal  mempunyai pilihan berpindah ke flat baru dengan kejiranan yang penuh dengan kemudahan moden.

 

Pendek kata, ia  juga mencerminkan perancangan jangka panjang pemerintah menangani keprihatinan warga berhubung isu perumahan yang mencabar lagi kompleks.

 

 

 

Skim Pembangunan Semula Terpilih Bersama (SERS)

  • Terhad kepada kejiranan yang mempunyai nilai pembangunan yang belum dimanfaat sepenuhnya
  • Pemerintah mewajibkan langkah mengambil semula flat dengan menawarkan pampasan yang lebih menarik

 

Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (VERS)

  • Akan diperkenalkan dalam masa sekitar 20 tahun
  • Ditujukan bagi flat berusia 70 tahun dan lebih tua, sebelum pajakan tamat
  • Pastikan pembaharuan semula kejiranan secara bertahap dan teratur
  • Pemilik berpeluang mengundi menerima tawaran pemerintah membeli balik flat mereka
  • Pampasan akan ditawarkan namun tidak setinggi pampasan di bawah SERS

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments