Usaha Mengubah Penggunaan Plastik Sedangkan Warga Sudah Terbiasa

Hal Ehwal Teh-Kini

Bahan plastik sudah menjadi sebahagian daripada kegunaan harian masa kini daripada baju ke peralatan rumah hingga ke industri namun dengan timbunan sisa plastik yang semakin menggunung dan sifat bahan itu yang sukar luput, kesan plastik kepada alam sekitaran kian menjadi kebimbangan.

National Geographic menganggarkan sebanyak 448 million ton plastik dihasilkan pada 2015 dan sebahagian besar bahan yang dihasilkan itu hanya digunakan sekali dan tidak dikitar semula.

Menurut Majlis Sekitaran Singapura (SEC) pula,  penduduk negara ini menggunakan sekitar tiga billion beg plastik pada 2011.

Walaupun sejumlah 822,200 ton sisa plastik dihasilkan pada tahun lalu, hanya 7 peratus dikitar semula. Daripada 762,700 ton baki sisa plastik, beg plastik membentuk kira-kira seperlima daripadanya, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). Beg plastik yang tidak dikitar semula, sama ada biodegradabel atau tidak, semuanya dibakar.

Langkah membakar sisa plastik juga mempunyai kesan negatif kepada alam sekitaran. Asap daripada pembakaran sampah boleh mencemar udara dan abu hasil pembakaran perlu di buang di tempat pembuangan yang sesuai.

Singapura bukan satu-satunya negara yang menghadapi isu sisa bahan plastik. Jepun juga menghadapi masalah sisa plastik yang semakin menggunung. Ini lebih-lebih lagi setelah China mengenakan larangan mengimport bahan sisa dari luar negara – ekoran perlaksanaan dasar mesra alam negara itu. Sebelum larangan itu, Jepun mengeksport sekitar 1.5 ton sisa plastik setiap tahun, kebanyakannya ke China.

Portugal pula telah mengeluarkan resolusi melarang institusi kerajaan menggunakan botol, beg dan pinggan mangkuk plastik.

Cara menangani isu itu memerlukan pendekatan menyeluruh dan pelbagai pihak, menjangkau pemerintah, pihak swasta dan individu.

Sebagai contoh Pelan Induk Singapura Mampan 2015 telah melakar visi negara dan rancangan ke arah Negara Sisa Sifar. Antara matlamat pelan itu ialah mencapai 70 peratus kadar kitaran semula secara menyeluruh.

Pemerintah telah melaksanakan pelbagai langkah demi mengurangkan sisa plastik. Premis yang besar seperti hotel dan pusat beli belah dikehendaki mengirimkan maklumat mengenai pembuangan sampah dan usaha kitaran serta rancangan mengurangkan sisa sejak 2015.

Pemerintah juga menawarkan Dana 3R bagi menggalak inisiatif kitaran semula dan mengurangkan sisa.

Langkah lain termasuk usaha pihak berkuasa melarang penggunaan perkakas guna buang di pusat penjaja baru seperti  Yishun Park, Pasir Ris Central, dan Our Tampines Hub.

Langkah mengurangkan sisa plastik juga semakin menerima perhatian pihak swasta. Restoran makanan segera seperti KFC dan Burger King telah berhenti daripada memberikan straw minuman dan penutup plastik cawan minuman kepada pelanggan mereka. Begitu juga dengan restoran di bawah firma Japan Foods Holdings yang mempunyai 50 restoran di bawah 14 jenama seperti Ajisen Ramen dan Menya Musashi.

Satu lagi usaha yang perlu ditekankan ialah langkah mengitar semula bahan plastik serta meneroka mempelbagaikan penggunaan bahan tersebut supaya kita dapat mengurangkan pembuangan sisa.

Pusat Pembangunan Kanak-Kanak PPIS di Jurong misalnya mengajar murid-murid cara membuat pakaian daripada bahan kitar semula. Tidak kurang juga usaha di peringkat akar umbi dan individu dalam mengurangkan sisa dan meningkatkan usaha kitar semula.

Namun mampukah segala usaha mengitar semula dan mengurangkan penggunaan plastik boleh berkesan sedangkan warga sudah kebiasaan menggunakan bahan tersebut dalam kehidupan harian.

Mungkin jawapannya ialah mengenakan kos bagi penggunaan plastik. Sebagai contoh media tempatan baru-baru ini melaporkan empat pasar raya utama – FairPrice, Dairy Farm Group, Prime Supermarket dan Shen Siong – sedang merancang melaksanakan bayaran bagi beg plastik pada kadar lima hingga 10 sen.

Bagi anda yang pernah melawati negara-negara Eropah seperti Finland, langkah ini sudah menjadi kebiasaan – pelanggan di sana sering kelihatan membawa beg sendiri untuk mengisi barangan yang dibeli.

Namun di Singapura, pengguna kelihatan belum bersedia menerima kos bagi penggunaan beg plastik. Biarpun demikian, melihat kadar penggunaan bahan plastik dalam kehidupan harian, langkah mengenakan kos bagi penggunaan beg plastik hanya mungkin boleh mengurangkan kadar sisa bahan itu – ia tidak akan menghapuskan sama sekali plastik daripada kehidupan kita.

Sedang kita berusaha mengurangkan penggunaan plastik, terdapat juga kepentingan meningkatkan usaha penyelidikan dan pengembangan (R&D) mencari bahan yang boleh menggantikan plastik.

Jika tidak kita mungkin terpaksa menerima hakikat sekitaran yang dipenuhi sisa plastik.

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments