Undang-undang Tangani Berita Palsu Yang Jejas Kepentingan Awam

Hal Ehwal Teh-Kini

Media sosial, ruang siber kian dibanjiri bahan palsu – banyak yang berpotensi mengapi-apikan kemarahan penduduk.

 

Ada yang sekadar disebarkan akibat kejahilan dan ada juga yang sengaja disebarkan dengan niat yang jahat – mahu menghasut kebencian, memecah belahkan masyarakat, menggangu kepentingan awam.

 

Isu itu perlu ditangani dengan segara.

 

Lebih utama adalah menangani perbuatan menyebar berita palsu dengan sengaja yang boleh menjejas kepentingan awam.

 

Misalnya menyebarkan berita palsu kononnya sebuah restoran popular yang diiktiraf halal ada menjual daging babi atau menguar-uarkan berita angin yang melaga-lagakan satu kaum dengan kaum lain.

 

Kejadian sedemikian pernah berlaku.

 

Pada 2015, berita palsu disebarkan kononnya pemuzik Thaipusam diperintahkan supaya berhenti memainkan instrumen mereka selepas keluarga Filipina mengadu tentang bunyi bising.

 

Gambar ‘hoax’ mengenai Punggol Waterway Terraces

Pada 2016, sebuah bumbung bangunan ‘dikhabarkan’ runtuh di Punggol Waterway Terraces.

 

Pada 2018, seseorang melaporkan bahawa gerai halal di Jurong East menjual perut babi.

 

Bahaya berita palsu yang disengajakan ke atas kepentingan awam tidak dapat dinafikan, lebih-lebih lagi bagi negara kecil yang berbilang bangsa seperti Singapura.

 

Atas dasar itulah pemerintah baru-baru ini mengusulkan undang-undang tegas bagi menangani isu tersebut.

 

Di bawah rang undang-undang Perlindungan terhadap Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, pemerintah menyarankan supaya mereka yang dengan sengaja menyebarkan berita palsu yang boleh menjejas kepentingan awam boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

 

Jika undang-undang itu diluluskan Parlimen, platform internet termasuk laman media sosial seperti Facebook juga dikehendaki bertindak pantas menghadkan penyebaran kepalsuan dengan memaparkan pembetulan di sisi bahan palsu yang telah disiarkan atau memadamkan bahan palsu itu. Mereka yang gagal mematuhi arahan pembetulan boleh denda sehingga $1 juta.

 

Namun, sejak undang-undang itu dibentangkan ramai warga yang lebih suka mempertikaikan sama ada langkah itu boleh menjejas kebebasan bersuara dan kuasa yang diberikan kepada menteri untuk mentakrifkan apa yang dimaksudkan bahan palsu.

 

Ada segelintir yang nampaknya tidak berpuas hati biarpun Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam sebelum itu telah memberi jaminan pemerintah bertujuan menangani perbuatan menyebarkan berita palsu dengan sengaja yang boleh menjejaskan kepentingan awam.

 

Pemerintah juga telah berulang kali menjelaskan undang-undang itu tidak akan menjejas kebebasan bersuara atau kritikan wajar terhadap pemerintah.

 

Bagi warga yang mungkin belum faham berikut rumusan undang-undang baru itu.

 

Dua syarat perlu dipenuhi sebelum pihak berkuasa boleh mengambil tindakan ke atas seseorang yang didakwa menyebarkan berita palsu.

 

Syarat pertama – bahan yang dikeluarkan adalah palsu dari sudut faktanya. Pandangan, pendapat, sindiran atau parodi, atau kritikan terhadap pemerintah, tidak kira betapa buruk tidak termasuk dalam erti kata bahan palsu.

 

Syarat kedua adalah bahan palsu yang disebarkan secara sengaja itu boleh menjejas kepentingan awam – misalnya boleh menyebabkan kecemasan awam, huru-hara atau persengketaan antara kaum.

 

Berdasarkan syarat yang ketat itu, warga yang bimbang tentang kebebasan bersuara tidak perlu gusar.
Ini kerana tiada individu yang patut diberi kebebasan menyebarkan sesuatu yang palsu yang boleh mengganggu kepentingan awam.

 

Warga yang prihatin akan kuasa yang diberikan kepada menteri mengenai erti kata bahan palsu juga tidak perlu bimbang.

 

Ini kerana kuasa menteri juga ada batasannya.

 

Andainya ada sesiapa yang mahu mencabar keputusan menteri, mereka mempunyai saluran mahkamah untuk berbuat demikian.

 

Encik Shanmugam juga telah memberi jaminan, pemerintah akan menyediakan saluran yang mudah dan berdasarkan kos yang dimampui, supaya warga boleh mengemukakan rayuan di mahkamah jika mereka mahu mencabar keputusan menteri.

 

Menteri juga perlu melapor kepada Parlimen. Anggota Parlimen serta pihak pembangkang boleh mengemukakan persoalan berhubung keputusan menteri dan menteri berkenaan perlu mempertahankan keputusannya di Parlimen.

 

Akhir sekali Menteri juga perlu bertanggungjawab kepada para pengundi. Majoriti warga Singapura telah memilih pemerintah untuk membuat keputusan yang wajar. Jika menteri menyalah gunakan kuasanya, para pengundi berhak memilih wakil baru.

 

Tenyata undang-undang yang diusulkan pemerintah itu merupakan langkah berhati-hati lagi seimbang.

 

Ia bertujuan menangani sebarang bahan palsu yang disengajakan dan yang boleh menjejas kepentingan awam.

 

Ia tidak berniat mengekang hak warga memberi pandangan atau kritikan wajar kepada pemerintah.

 

Ia juga memastikan pegawai yang menguatkuasakan undang-undang itu dikenakan pemantauan mahkamah, Parlimen dan pengundi.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments