Tiada Jalan Pintas Untuk Setiap Pengendali, Tukang Masak Dan Pembantu Dapur

Hal Ehwal Teh-Kini

Pegawai-pegawai Agensi Sekitaran Nasional (NEA) telah membuat 88,000 pemeriksaan di serata Singapura tahun lalu, merangkumi 39,000 pengendali makanan yang berlesen.

Tahun ini sahaja, sebanyak 84 perkhidmatan pengendali makanan telah digantung lesen mereka setelah didenda lebih 12 mata demerit. 

Syarat-syarat pengendalian makanan yang telah ditetapkan oleh NEA dan Kementerian Kesihatan (MOH) begitu ketat, rapi dan terperinci, namun kes-kes keracunan makanan tetap berlaku.

 

Kes keracunan makanan pada 9 November lalu di restoran Spize cawangan River Valley sehingga menyebabkan kematian seorang pelanggan telah menyebabkan lesen restoran tersebut ditarik balik serta merta. Tindakan mahkamah juga akan menyusuli mencerminkan betapa serius Pihak NEA dan MOH mengambil berat tentang pengendalian dan penyediaan makanan di Singapura.

Hasil siasatan oleh NEA dan MOH telah menunjukkan pelbagai jenis kesalahan serius di kawasan restoran yang menyimpan dan menyediakan makanan sehingga berlakunya pencemaran bakteria dalam makanan.

Bakteria Salmonela didapati punca pencemaran makanan sehingga ke tahap berbahaya yang boleh mengakibatkan kematian.

Setakat sehingga 9 November, sebanyak 49 kes disahkan terkena radang perut dan usus (gastroenteritis) dan lagi 21 kes sudah dimasukkan ke hospital.

 

Berikutan kes tersebut, ada satu lagi kes pada 23 November yang melibatkan seramai 190 orang  mengalami tanda-tanda keracunan makanan yang serupa, kali ini makanan yang disediakan oleh Tung Lok Catering. Walaupun tiada pelanggan yang dimasukkan ke hospital, NEA dan MOH telah menggantung lesen pengendali tersebut.

Tung Lok Catering merupakan antara pengendali makanan Cina yang terkenal di Singapura.

 

Kes ketiga berlaku pada 26 November 2018, tidak lama selepas kejadian tersebut. Kali ini melibatkan seramai 131 orang kanak-kanak tadika serta guru-guru mereka jatuh sakit dengan tanda-tanda keracunan makanan yang serupa.

Kali ini, ia melibatkan pengendali makanan di Bedok North St 5,  FoodTalk Caterer & Manufacturer. Tiada laporan mangsa dikejarkan ke hospital.

 

Kes terbaru berlaku pada 5 Disember, di sebuah majlis perkahwinan di Mandarin Hotel Ballroom. Seramai 175 orang mangsa turut mengalami tanda-tanda keracunan makanan yang serupa.

NEA, MOH dan Penguasa Pertanian Makanan dan Ternakan (AVA) sedang terus melakukan siasatan. Setiap kes keracunan makanan tidak berkaitan antara satu sama lain sejauh ini.

Kesemua kes keracunan makanan mengesahkan penularan wabak gastroenteritis – keradangan di bahagian dalaman perut dan usus yang menyebabkan mangsa muntah-muntah dan mengalami cirit-birit.

Berdasarkan kes-kes ini, kita tidak boleh mengambil ringan terhadap penyediaan makanan oleh mana-mana pengendali makanan, biarpun dari hotel mewah ataupun restoran terkenal.

Namun, malang memang tidak berbau, kerana kita akan hanya mendapat kesan buruknya setelah menikmati hidangan yang disajikan.

Ia juga seharusnya menyedarkan kita sebagai pelanggan agar berwaspada sekiranya kita nampak tanda-tanda penyediaan makanan yang tidak bersih di restoran-restoran maupun makanan yang dibungkus.

Sebagai pelanggan, kita sentiasa perlu berwaspada untuk segera melaporkan kes-kes keracunan kepada NEA dan MOH di talian 1800-2255632(NEA)atau 1800-2254122 (MOH).

Sebagai pengendali perkhidmatan makanan pula, mereka harus peka untuk menjaga tahap kebersihan yang terbaik demi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Tiada jalan pintas untuk setiap pengendali, tukang masak dan pembantu dapur dengan alasan untuk menjimatkan masa atau tenaga sehingga membahayakan kesihatan umum. Ini merupakan tanggungjawab semua pihak kerana kes keracunan makanan seperti ini adalah kerana kecuaian manusia.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments