Tanggungjawab Berat Bagi Pemimpin 4G PAP

Hal Ehwal Teh-Kini

Barisan pemimpin generasi keempat (4G) yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) kelihatan semakin jelas menyusuli Konvensyen yang berlangsung di Singapore Expo baru-baru ini.

Sebilangan pemimpin 4G telah dipilih ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) – badan pembuat keputusan tertinggi PAP – dan sebilangan pemimpin mapan mengundur diri memberi laluan kepada yang lebih muda.

Sumber Imej: CNA

12 anggota CEC dipilih dari kalangan calon yang menerima undi tertinggi dari kalangan anggota teras PAP dan akan menganggotai jawatankuasa tertinggi PAP itu selama dua tahun mulai tahun depan. Lagi dua calon yang menerima undian ke-13 dan ke-14 yang tertinggi akan dilantik masuk ke CEC.

Tiga pemimpin 4G yang disebut-sebut berpotensi menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong apabila beliau mengundurkan diri kelak telah dipilih masuk ke CEC. Menteri Kewangan Heng Swee Keat, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing dan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung merupakan antara 12 orang anggota yang dipilih masuk ke CEC oleh kader PAP yang berjumlah sekitar 2,000 anggota.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang  K Shanmugam serta Menteri Kesihatan Gan Kim Yong merupakan antara anggota yang lebih kanan yang kekal di CEC.

Pemimpin 4G lain yang dipilih oleh kader ke CEC, badan pembuat keputusan tertinggi parti itu ialah:

  • Kebudayaan, Masyarakat dan Pemuda Grace Fu;
  • Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli;
  • Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan;
  • Menteri di Pejabat Perdana Menteri Ng Chee Meng;
  • Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah, dan
  • Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin
  • Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen dan Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo (dilantik masuk ke CEC setelah menerima undian ke-13 and ke-14 paling tinggi di pilihan dalaman parti)

Lima anggota mapan PAP telah mengundur diri daripada CEC parti – bagi memberi laluan kepada anggota yang lebih muda. Mereka yang mengundurkan diri ialah Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan; Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean dan Encik Tharman Shanmugaratnam; serta mantan menteri Kabinet Dr Yaacob Ibrahim dan Encik Lim Swee Say.

Presiden Halimah Yacob, yang merupakan anggota CEC yang telah dipilih sebelum ini, pada Ogos 2017 meletak jawatan dari parti untuk bertanding sebagai calon Presiden Terpilih.

CEC yang baru itu akan bertemu dalam beberapa minggu untuk memilih pemegang jawatan yang baru. Encik Lee dijangka kekal sebagai Setiausaha Agung atau ketua PAP namun apa yang dinanti-nantikan ialah calon yang bakal dipilih sebagai penolong setiausaha agung. Lazimnya calon yang dipilih sebagai penolong setiausaha agung berpotensi dipilih sebagai Perdana Menteri kelak.

BABAK BARU DALAM SEJARAH

Pemilihan barisan pemimpin 4G menandakan babak baru dalam sejarah peralihan kepimpinan PAP.

Pemimpin generasi pertama diketuai Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew semasa zaman awal pembangunan negara.

Pada 1990, barisan pemimpin generasi kedua yang dipimpin mantan perdana menteri, kini Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, pula mengambil alih teraju kepimpinan.

Pada 2004 Encik Goh menyerahkan teraju kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan pasukan pemimpin generasi ketiga pula.

ANGGOTA MELAYU DALAM TERAJU KEMPIMPINAN PAP

Dilihat dari sudut penyertaan anggota Melayu dalam teraju kepimpinan PAP, Allahyarham Encik Othman Wok merupakan antara anggota barisan pemimpin generasi pertama.

Mantan menteri Ahmad Mattar pula merupakan anggota generasi kedua. Mantan menteri dan mantan Speaker Parlimen Encik Abdullah Tarmugi tergolong dalam barisan pemimpin generasi kedua sementara mantan menteri Dr Yaacob Ibrahim telah memainkan peranan dalam barisan pemimpin generasi ketiga.

Kini giliran Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli sebagai anggota pemimpin 4G untuk mewakili suara Melayu-Islam dalam dasar PAP di masa depan.

PEMIMPIN 4G PERLU BERSIAP UNTUK MASA DEPAN

Menyusuli pemilihan CEC baru-baru ini, barisan pemimpin 4G perlu bekerjasama, berikhtiar dan merancang arah tuju parti demi mempersiap bagi pilihan raya umum yang perlu diadadakan sebelum April 2021 – memberi masa sekitar dua tahun bagi pemimpin 4G membuat persiapan bagi perjalanan yang bakal menentukan masa depan Singapura.

Di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik sejagat, pemimpin 4G mempunyai tugas mencabar memenangi hati dan minda pemgundi, mengembeling tenaga rakyat supaya Singapura dapat terus mengharungi masa-masa mencabar di masa depan.

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments