Tak Lama Lagi Saya Nak Kahwin. Jadi Isteri Mesti Kerja… Atau Tidak?

Aku Nikahkan Kau!, Sembang-sembang je

Keadaan di Singapura ini semakin lama akan menjadi semakin sesak dengan ekonomi yang tidak menentu. Barangan harga pula semakin lama semakin melonjak. Bagi sang suami, ini akan membuatkan mereka semakin payah untuk menguruskan kewangan rumahtangga terutama sekali jika anak-anak pula berderet.

Tetapi, TehTarik tidak akan berbincang tentang isu anak untuk artikel ini, kerana ramai di kalangan pasangan muda mungkin tidak sedari betapa pentingnya untuk kedua suami dan isteri bekerja sebelum isu anak mula timbul dan TehTarik telah mengenal pasti tiga sebab penting mengapa isteri juga terpaksa bekerja di Singapura:

1.      Harga Rumah Naik (Resale atau BTO, Harga Naik!)

Setiap pasangan inginkan rumah yang selesa. Kadangkala, harapan kita yang menggunung tinggi yang inginkan flat 5-bilik atau pun 4-bilik tidak setaraf dengan gaji yang diterima si suami. Bagi sang suami, terasa agak berat untuk menanggung kesemua pembayaran dan perbelanjaan rumah jika isteri tidak bantu bersama. Lebih-lebih lagi jika isteri teringin rumah idamannya bagaikan mahligai dari syurga.

Memang benar nafkah dari segi tempat perlindungan harus disediakan oleh suami, tetapi si isteri harus peka dengan kemampuan suami. Belum lagi bab bil internet, telefon, air, tong sampah, cukai, barangan dapur dan sebagainya.

Keadaan ini akan berbeza jika saiz rumah anda lebih kecil yang pembelanjaan anda dapat dihadkan mengikut keperluan. Jadi bincang suami isteri sebelum berumahtangga perkara ini.

2.      Sediakan Kewangan untuk Persaraan lebih dari Pelancongan

Ada di antara pasangan muda agak berpuas hati dengan keselesaan dan pekerjaan yang ada. Trend anak-anak muda untuk melancong dan ‘shopping’ semakin menjadi-jadi hendaknya. Jika lihat pada golongan yang lebih berani, mereka sanggup berhenti bekerja untuk nikmati pelancongan dalam jangka panjang hanya kerana ingin bersukaria dahulu.

Tidak kira yang belum ataupun yang sudah berkahwin, trend melancong dan ‘shopping’ ini menjadi kian hangat. Dalam sebuah kajian oleh Nielsen terbukti bahawa golongan milenia mempunyai daya pembelanjaan yang agak tinggi dan hebat. Mungkin mereka ingin memperjuangkan pengalaman ‘YOLO’ atau You Only Live Once dan leka untuk mengetepi wang simpanan untuk jangka panjang.

Kami sarankan pasangan muda hari ini teliti dan berhati-hati dalam isu kewangan jangka panjang kerana ekonomi, pekerjaan dan masa depan yang tidak menentu dan sukar dijangkakan. Eloklah jika pasangan muda kita mulakan wang simpangan dari sekarang sebagai suami isteri bersama dan jangan ambil sambil lewa dengan keselesaan dan pekerjaan yang ada. Ini bukan sahaja tanggungjawab suami tetapi kenikmatan rumahtangga akan terasa apabila anda bekerjasama dalam memastikan keharmonian jangka panjang terjamin.

3.      Jaminan Bagi Diri Si Isteri

Pernah dengar frasa ini ‘Husband’s money, is my money. My money is MY money…”? Ada sesetengah wanita terlalu memberi tekanan kepada ideologi ini. Memang tidak ada salahnya tetapi pastikan duit anda sebagai seorang isteri dapat memberi jaminan untuk apa-apa kemalangan atau perkara yang tidak diingini berlaku, contohnya, penyakit kronik, penceraian atau sebagainya jika suami tidak mampu menanggungnya atas sebab-sebab munasabah.

Bagi suami yang memahami tanggungjawabnya sebagai penyedia nafkah, mereka tidak akan mempersoalkan hal kewangan anda. Setiap matawang yang anda berikan suami lebih mulia jika ia diberikan dari keikhlasan hati anda sendiri. Ini juga telah diterangkan dalam video kongsian Ustaz Shahib di lelaman Facebooknya jika anda masih belum menonton.

Yang pasti, tujuan untuk wanita bekerja ialah untuk memberi kestabilan diri sebagai seorang wanita sekiranya anda memerlukannya ketika keadaan terdesak atau anda terpaksa hidup berdikari. Tidak salah isteri membantu jika dia mahu dan mungkin ini yang diperlukan untuk hidup dengan selesa di Singapura. Tetapi, ini tidak bermakna sang suami mengambil ringan hal ini dan tidak berusaha untuk meningkatkan diri dan gaji kerana tanggungjawab nafkah tetap berada di bahu suami.

TehTarik harap pasangan muda kita akan memikirkan tentang persiapan mereka dalam memulakan rumahtangga dari awal agar tidak melanda kesempitan yang menyebabkan salah satu pihak merana dengan rasa penuh bebanan.

Bagi sang isteri, perancangan awal dalam mengekalkan perkerjaan dan terus bekerja sangat penting memandangkan Singapura tergolong dari negara dan bandar termahal di dunia.

Sebagai pasangan, sang suami harus berterus terang akan status kewangan dirinya dan sang isteri juga harus memahami dan sediakan segala payung sebelum hujan.

TehTarik alu-alukan pandangan anda.

 

This article is written by our writer. Feel free to share.

Comments