Singapura Menunjukkan Penghargaan Kepada Pakar Kesihatan Kita

Hal Ehwal Teh-Kini

Sejak Singapura dilanda virus COVID-19, ramai pakar kesihatan sibuk bertugas untuk bantu mengawal dan mengatasi virus ini. Beberapa syarikat telah ke hadapan untuk memberi tanda penghargaan kepada pekerja-pekerja kesihatan supaya mereka terus bersemangat dalam perjuangan ini. 

 

1. Khidmat GrabCare

Sumber: grab.com.sg

Khidmat GrabCare ditawarkan untuk pekerja jagaan kesihatan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Hospital Tan Tock Seng (TTSH). Menurut Grab, khidmat ini bertujuan untuk meringankan beban pekerja-pekerja yang mungkin mengalami masalah mendapat pengangkutan kerana isu virus COVID-19. 

Bermula pada 14 Februari, pekerja kesihatan boleh menempah khidmat ini dengan memilih ikon GrabCare di dalam aplikasi Grab. Sekitar 2,000 pemandu Grab sudah mendaftar untuk menawarkan khidmat ini.

 

2. Makanan Percuma

Sumber: Curry Times dan Old Chang Kee

Disebabkan jadual mereka yang ketat sepanjang hari, ada di kalangan pakar kesihatan kita tidak dapat meluangkan masa secukupnya untuk makan dan rehat. Syarikat Old Chang Kee dan Curry Times pula mengumumkan bahawa mereka akan memberikan satu epok-epok serta sup ayam dan sayur secara percuma. Para pekerja kesihatan hanya perlu menunjukkan kad ID mereka untuk menikmati tawaran ini. 

 

3. Dana Tabah

Sumber: comchest.sg/thecouragefund

Dana Tabah, ataupun lebih dikenali sebagai Courage Fund, ditubuhkan pada 17 tahun lalu ketika penularan wabak SARS. Sumbangan dahulu telah diagihkan untuk memberi sokongan kepada pakar kesihatan dan pesakit-pesakit SARS. 
Kini, Dana Tabah akan diuruskan oleh Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).  Sumbangan yang diterima akan bantu pesakit, pekerja kesihatan dan keluarga mereka. Dana ini telah meraih $550,000 dengan sumbangan dari Yayasan Harapan CapitaLand dan Cabaran Presiden. Orang ramai juga boleh memberi sumbangan masing-masing melalui lelaman ini.

 

4. Nota Dari Singapura

Sumber: The Straits Times 

Kata-kata dorongan oleh orang awam juga boleh menceriakan hari pakar kesihatan kita. Dimulakan oleh StandUpFor.SG, inisiatif ini menggalakkan orang ramai untuk menulis kata-kata dorongan buat wira-wira kami. Setelah menulis nota-nota ini, orang ramai boleh memetik dan muatnaikkan gambar di Facebook menerusi hashtag #braveheartsg ataupun e-mel ke braveheartsg2020@gmail.com

Gambar-gambar akan diberikan kepada pekerja-pekerja di institusi kesihatan merata Singapura. Setakat ini, inisiatif ini telah meraih lebih daripada 800 respons.  

 

Dengan itu, Menteri Sekitaran dan Sumber Air serta Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, juga telah menyuarakan penghargaan beliau kepada pekerja penjagaan kesihatan. Beliau mengongsi dalam satu catatan Facebook bahawa mereka  “sedang bertungkus lumus bertarung nyawa setiap hari untuk merawat pesakit virus korona COVID-19.” Maka, kami “amat terhutang budi atas khidmat dan pengorbanan” mereka.

TehTarik.sg berharap orang ramai akan terus beri sokongan kepada wira-wira yang berada di barisan hadapan. Semoga sumbangan yang diberikan dapat menceriakan pekerja penjagaan kesihatan di Singapura dan bersama, kita dapat mengatasi virus ini.

 

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments