SG-MY: Kenapa Harga Air Dijual Sukar Diubah Dan Makan Masa?

Hal Ehwal Teh-Kini

Hujung bulan Jun lalu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah katakan bahawa harga air dijual dari Malaysia ke Singapura “tidak masuk akal”. Kini, kerajaan Johor ingin naikkan harga jualan air mentahnya kepada Singapura. Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata harga baru itu mungkin sama dengan harga jualan air mentah kepada Melaka, RM0.50 (SGD $0.17) bagi setiap seribu gelen.

 

Pada masa ini, Malaysia menjual air pada harga 3 sen (SGD $0.01) setiap seribu gelen dan membekalkan 250 juta gelen air mentah kepada Singapura setiap hari. Malaysia juga membeli semula air dirawat pada harga RM0.50 (SGD $0.17) bagi setiap seribu gelen.

 

APA KITA PERLU TAHU TENTANG PERJANJIAN ANTARA DUA NEGARA INI?

 

(Sumber: gov.sg)

 

Perjanjian Air 1962 – Singapura berhak dibekalkan sebanyak 250 juta gelen air Sungai Johor setiap hari pada harga 3 sen setiap seribu gelen. Johor pula berhak membeli sebanyak 2% jumlah air yang dibeli Singapura yang telah dirawat, dengan syarat Singapura diizinkan mengeluarkan jumlah air tersebut. Johor boleh membeli sebanyak 5 juta gelen air setiap hari.

 

Proses air dirawat di Singapura (Sumber: PUB)

 

Johor berhak membeli air dirawat pada harga 50 sen setiap seribu gelen air. Harga ini munasabah kerana ia hanya separuh daripada harga sebenar untuk merawat air itu di Singapura. Atas permintaan Malaysia, Singapura telah bekalkan jumlah air dirawat yang lebih tinggi daripada apa yang tertera di dalam Perjanjian Air 1962. Ini dilakukan secara sukarela. Singapura telah bekalkan 16 juta gelen air dirawat setiap hari, kadang kala jumlah air dinaikkan hingga 22 juta gelen air.

 

Perjanjian Air 1962 ini telah dipersetujui di bawah Perjanjian Perpisahan 1965 yang didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations). Maknanya? Kedua-dua negara perlu patuhi syarat dalam Perjanjian Air 1962 tersebut. Sebarang pencabulan terhadap perjanjian itu akan menjejas Perjanjian Perpisahan, yang menjadi dasar kewujudan Singapura sebagai sebuah negara berdaulat. Singapura dan Malaysia tidak boleh mengubah syarat-syarat perjanjian secara sepihak.

 

SEMAKAN PERJANJIAN

 

Perjanjian Air 1962 ini sebenarnya diberikan kelonggaran untuk disemak harganya selepas 25 tahun, pada tahun 1987. Malaysia berhak membuat semakan tetapi mereka tidak lakukan apa-apa semakan. Kini, Singapura dan Malaysia tidak boleh mengubah harga air itu secara sendiri.

 

Memandangkan Malaysia tidak jalankan semakan pada 1987, Singapura mengambil langkah yang juga mendatangkan faedah kepada Malaysia. Antara langkah yang diambil ialah pembinaan Kolam Air Linggiu yang menjana lebih bekalan air kepada Sungai Johor. Lebih SGD $300 juta dibelanjakan untuk pembinaan itu.

 

Kedua-dua negara ini juga telah mengesahkan semula syarat-syarat Perjanjian Air 1962 itu pada Januari 2018 di Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-8.

 

Air adalah satu keperluan hidup dan permintaan air akan semakin meningkat tahun demi tahun. Sebagai warga negara Singapura ataupun Malaysia, pilihan yang terbaik buat sementara ini ialah untuk mengamalkan tabiat untuk jimatkan air dan kita nantikan sahaja langkah seterusnya dari pihak pemimpin.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments