SG-MY: Harga Air Dijual Kepada Singapura Tak Masuk Akal?

Hal Ehwal Teh-Kini

Pada awal bulan Jun, Malaysia mula mempertimbangkan keputusan untuk batalkan projek kereta api HSR KL-Singapura. Kini, mereka ingin bawa berbincang tentang kos air yang dijual kepada Singapura pula.

 

Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata, “Saya rasa tidak masuk akal untuk jual air pada harga 3 sen setiap seribu gelen. Ini bukan satu masalah pada tahun 1990-an atau 1930-an. Tetapi sekarang, apa yang boleh kita beli dengan 3 sen? Tidak ada apa-apa.” Perdana Menteri berusia 92 tahun itu juga ingin semak semula perjanjian air antara Singapura dan Malaysia yang akan berakhir pada 2061 lalu Malaysia akan buat bentangan baru.

 

Dr Mahathir dedahkan bahawa pihaknya belum maklumkan apa-apa kepada Singapura tentang keputusan mereka mengenai projek HSR dan juga perjanjian air ini. “Kadang kala kami sebenarnya mengeluarkan kenyataan tanpa memuktamadkan prosesnya. Apabila kami ingin membuat keputusan, kami tidak menunggu untuk memberitahu Singapura, kami terus umumkan. Jelas mereka ingin tahu, dan kami akan umumkan bila tiba waktunya,” jelasnya.

 

Ditanya bila Singapura akan dimaklumkan, beliau berkata: “Ia bukan sesuatu yang perlu dilakukan segera. Kita ada banyak masalah lain yang harus diberikan tumpuan.”

 

Menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) selepas pengumuman Dr Mahathir mengenai isu perjanjian air ini, kedua-dua negara terlibat mesti “mematuhi sepenuhnya” syarat-syarat Perjanjian Air 1962 dan Perjanjian Pemisahan 1965.

 

Pada bulan Januari, PM Lee dan mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah mengesahkan pentingnya melaksanakan langkah-langkah untuk pastikan bekalan air berterusan dan mencukupi dari Sungai Johor. Termaktub dalam perjanjian berkenaan, Singapura diberi hak penuh dan eksklusif untuk diberikan maksimum 250 juta gelen (mgd) air setiap hari dari Sungai Johor. Johor pula berhak untuk membeli air yang diproses daripada jumlah yang sama seperti sehingga 2 peratus air yang diambil oleh Singapura, pada sebarang hari atau sekitar 5 mgd jika Singapura menggunakan jumlah air maksimum dari Sungai Johor.

 

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata Perjanjian Air 1962 “tidak boleh dipertikaikan” bagi Singapura. “Ia sudah dimuktamadkan oleh pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia di bawah Perjanjian Pemisahan 1965, yang disimpan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations),” katanya.

 

Air yang diimport memenuhi separuh keperluan air Singapura. Selain itu, Singapura bergantung kepada saluran air daripada kawasan tadahan tempatan, air NEWater dan air laut dinyahgaramkan.

 

Sumber: CNA

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments