SENTAP! WA CAKAP SAMA LU, GENG

Hal Ehwal Teh-Kini

Berita palsu masih disebarkan dan menjadi percakapan ramai hingga ke hari ini walaupun Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA) telah diluluskan.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad telah menegaskan pentingnya usaha sama masyarakat untuk menghentikan penyebaran berita palsu yang membimbangkan ini. So, please eh…

Sumber: Berita Harian Singapura

Tidak lama lalu, berita tentang pemergian Ustaz Pasuni Maulan, seorang Naib Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan majlis tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang berusia 74 tahun telah tersebar luas dalam media sosial. Namun berita tersebut telah segera dikesan dan dinafikan oleh keluarga beliau sendiri. Berita palsu sedemikian akan hanya menyebabkan kekeliruan dan tekanan kepada keluarga beliau yang sama sekali tidak perlu.

Namun, pisang tetap berbuah dua kali. Berita yang tersebar hujung minggu lalu pula lebih membimbangkan terutama sekali di kalangan para remaja dan ibu bapa mereka.

Sumber: The Straits Times

Pesanan yang dipercayai berasal dari aplikasi Instagram InstaStory telah memberi amaran akan terjadinya rusuhan antara beberapa kumpulan samseng remaja di Bukit Panjang dan beberapa tempat lain, kerana mereka akan “melancarkan serangan sempadan”. Beberapa nama kumpulan samseng telah disebut dalam pesanan tersebut.

Ada juga “laporan” bersertakan gambar yang menunjukkan seorang mangsa telah dipukul secara rambang. Remaja-remaja Melayu digesa agar usah berkeliaran di beberapa kawasan di Singapura untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pesanan-pesanan tersebut yang membimbangkan ramai ibu bapa telah dilaporkan kepada pihak polis yang segera menjalankan siasatan.

Sumber: Singapore Police Force Facebook Page

Menurut sumber rasmi, pihak polis telah mengesahkan bahawa tiada rusuhan atau laporan tentang pergaduhan antara kumpulan samseng telah berlaku seperti mana yang telah ditularkan di media sosial. Pihak polis juga berpesan agar segera melaporkan penghantar asal berita palsu tersebut dengan membuat laporan menerusi lelaman mereka atau menghubungi talian 1-800-255-0000.

Secara kebetulan, ada pertandingan dikir barat di Woodlands hujung minggu lalu. Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap  Kesihatan), Encik Amrin Amin juga telah membuat kenyataan menerusi lelaman Facebook agar remaja menyertai kumpulan-kumpulan yang lebih mendatangkan faedah kepada masyarakat, budaya dan bangsa.

 

 

Sumber: Amrin Amin Facebook Page

“Berita palsu seperti ini amat menyedihkan kerana orang-orang yang tidak bersalah seperti keluarga dan kawan-kawan menjadi mangsa kebimbangan akan keselamatan mereka.”

Memang benar, dengan pesanan yang menakutkan seperti ini, pihak ibu bapa tentunya akan berasa khuatir jika benar-benar terjadinya peristiwa yang tidak diingini. Jika perkara ini dibiarkan tanpa pengawasan, sesal kemudian tidak berguna.

Kumpulan-kumpulan samseng selalunya tidak akan membuat kenyataan berani seperti menyebarkan maklumat tentang berlakunya keganasan di mana-mana kawasan secara terbuka. Mereka tahu akibat tindakan polis yang akan segera membuat siasatan dan tindakan lanjut jika perlu. Mereka juga peka akan terdapatnya ribuan kamera litar tertutup – CCTV – yang telah dipasang di serata kawasan perumahan, yang akan memudahkan pihak polis membuat penangkapan.

Maka, kita harus sentiasa peka akan setiap berita yang kita terima menerusi mesej WhatApp. Kita harus sentiasa semak dan selidik akan kesahihan berita tersebut, lebih-lebih lagi jika ia disampaikan secara “forwarded message”.

Sabar, selepas membacanya. Tanyakan siapa yang pertama kali menghantarnya. Dapatkan kepastian daripada usul-usul lain. Akhirnya, laporkan kepada pihak tertentu jika berita itu membimbangkan.

Media sosial ini amat berguna jika kita tahu akan faedahnya. Namun, jika kita menggunakannya dengan tidak bertanggungjawab, tanpa berfikir panjang akan akibat perbuatan kita, maka terganggu lah kenteteraman orang awam.

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments