SENTAP! Video Wawancara Tentang Jurang Kelas Mengundang Banyak Kritikan

Hal Ehwal Teh-Kini

“Perbezaan pendapatan” merupakan isu utama di kalangan masyarakat zaman sekarang jika dibandingkan dengan bangsa atau agama. Itu lah yang dikatakan dari video terbitan CNA Insider berikut:

 

HOW KIDS SEE CLASS DIFFERENCES | REGARDLESS OF CLASS | CNA Insider

"Rich people treat poor people badly…they don’t really know what it’s like to be poor." When do we start to be aware of class differences? #RegardlessOfClass found it to be as young as 9.Hear some uncomfortable conversations with students from different tracks and income groups.

Posted by CNA Insider on Monday, 1 October 2018

 

Video ini dimulakan dengan sesi wawancara dengan kanak-kanak berusia 9-11 tahun. Seperti yang dijangkakan, mereka menjawab secara spontan, barangan alat tulis berjenama misalnya, mencerminkan kaya atau miskin seseorang pelajar itu.

 

Ada yang mengatakan bahawa mereka telah dipesan ibu bapa mereka untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat kerjaya yang berpendapatan lumayan. Jika mereka gagal, mereka akan hanya mendapat pekerjaan sebagai pembersih jalanan dan sebagainya.

 

Seperti dijangkakan, terdapat perbezaan pendapat di kalangan remaja yang berusia 15-17 tahun. 6 orang remaja ini adalah pelajar-pelajar dari pelbagai sekolah menengah di Singapura.

 

“Apakah harapan ibubapa terhadap pelajaran kamu?”

“Apakah harapan kamu terhadap diri sendiri?”

 

Sekilas pandang, jawapan-jawapan yang diterima mencerminkan tahap pelajaran mereka, dan juga mungkin dapat dibayangkan tahap kehidupan keluarga mereka.

 

CNA telah menampilkan dua orang remaja Melayu yang mewakili pelajar Normal Teknikal. Ada seorang pelajar Cina yang mewakili Normal Akademik, manakala dua orang lagi dan seorang berbangsa India menyertai ‘Integrated Program’. Program ini merupakan pembelajaran akademik selama 6 tahun untuk persiapan peperiksaan GCE peringkat A, tanpa menduduki peperiksaan GCE peringkat O*.

 

Masyarakat Melayu, secara umumnya naik angin dengan pemilihan CNA untuk wawancara ini. Pendekatan stereotaip seperti ini amat berat sebelah.

“Apakah (budak) Melayu sahaja yang masuk Normal Teknikal?”

“Asal Normal Stream je, Melayu. Asal Melayu je Normal stream.”

“(Budak) Melayu tak ada yang dapat A*, A1 ke? Tak ada pelajar Melayu yang cemerlang, ke?”

 

Mungkin terdapat perbezaan jika pemilihan remaja / pelajar lebih “adil”. Ada pelajar Cina dari aliran Normal Akademik dan Teknikal, dan ada juga pelajar cemerlang mewakili masyarakat Melayu.

 

Mungkin seharusnya dibuat dua wawancara berasingan, satu khas untuk pelajar cemerlang manakala pelajar biasa di segmen berikutnya.

 

Mungkin wawancara ini sengaja dilakukan untuk mencetus kesedaran masyarakat umum, atau sengaja mengundang kontroversi sebagai bahan untuk “membawang” di kalangan masyarakat Netizen. Tentunya ada banyak lagi kemungkinan yang tidak tercatat di sini.

 

Namun yang jelas setiap jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajar ini secara jujur dan berterus-terang di hadapan kamera. Tentunya, pertuturan pelajar-pelajar aliran Normal tidak sefasih yang lain. Maklum balas yang mereka berikan juga meragut emosi penonton.

 

Malah penonton lebih prihatin dengan emosi pelajar-pelajar aliran Normal ini mungkin kerana mereka sendiri merupakan bekas pelajar aliran Normal atau melalui pengalaman yang serupa semasa di sekolah menengah dahulu, yang kini telah membuktikan bahawa mereka boleh berdiri sama tinggi dengan pelajar-pelajar lain di alam dewasa kelak.

 

Klip video yang singkat ini bukan sahaja memaparkan keadaan sebenar jurang yang luas di kalangan remaja, malah ia mencerminkan ketidakadilan dalam sistem meritokrasi. Tentunya, jika seseorang pelajar itu berlatarbelakangkan sebuah keluarga yang berkemampuan, dia tidak ada masalah untuk mendaki hingga ke puncak menara gading. Sebaliknya, jika keluarga itu sekadar kais pagi makan pagi, harapan dalam pencapaian mereka hanya sekadar cukup-cukup makan sahaja. Mereka seperti tidak mempunyai wawasan yang jauh dan positif terhadap kehidupan mereka.

 

“Saya mendapati lebih sukar untuk berkawan dengan pelajar lain yang tidak sealiran dengan saya,” jelas Maniyar Kareena Tushar. “…kerana kegiatan-kegiatan di sekolah saya jarang membenarkan kami berinteraksi dengan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah kejiranan.”

 

Beliau dibalas dengan kenyataan bersama oleh Muhd Sufa Aniq, Muhd Nadiy Razin dan Joey heng bahawa pelajar-pelajar dari aliran Ekspress sering memandang rendah terhadap mereka, menganggap mereka kurang bijak, bodoh dan tidak setanding.

“Their English so powerful, my English jialat…”

 

Namun, jika diberikan peluang untuk belajar bersama di dalam satu kelas, “…kami amat berharap, jika mereka bersedia untuk membimbing.”

 

Kenyataan ini tidak dipersetujui oleh Maniyar kerana menurut beliau, “…ini tidak mungkin berhasil jika mereka (pelajar-pelajar lemah) terus berputus asa, lalu hanya melebarkan jurang antara pelajar di dalam kelas.”

 

Kenyataan candi seperti ini yang membuktikan punca jurang sebenar antara pelajar-pelajar di Singapura. Pedas, mungkin kerana terdapat kebenaran dalam kenyataannya. Juga dikatakan kurang sensitif, atau bersikap pasif, kerana dia seharusnya boleh memberikan sedikit semangat kepada pelajar-pelajar ini agar sama-sama berjaya seperti dirinya.

 

Kita sebagai penonton yang lebih dewasa tentunya boleh membuat tafsiran sendiri, tetapi bolehkah kita membuat tafsiran yang seimbang, berdasarkan latarbelakang peribadi kita masing-masing?

 

Apakah kenyataan-kenyataan ini tetap benar, jika semua pelajar itu sebangsa?

 

Apakah yang kita boleh pelajari?

 

Kesimpulannya, ibubapa di Singapura tetap memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mereka untuk membesar dalam suasana yang seimbang di dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama.

 

Sebijak mana si anak itu, mereka perlu memahami bahawa ular menyusur akar takkan hilang bisanya. Mereka masih perlu didedahkan kepada kawan-kawan sekeliling yang amat memerlukan bimbingan, dan bukan untuk menyisihkan mereka. Mereka perlu sedar bahawa kehidupan mereka bukan sekadar mengejar impian sendiri demi secebis kertas pengiktirafan.

 

Selemah mana si anak itu, mereka tidak boleh berputus asa untuk terus mengejar ilmu dengan mendampingi mereka yang berilmu agar mereka lebih berkeyakinan untuk membina wawasan yang lebih jauh, bukan sekadar sikap cukup makan seharian. Mereka perlu sedar akan kelemahan diri dan gigih berusaha untuk memperbaiki dengan sokongan positif ibubapa.

 

Hanya dengan memeroleh keseimbangan dalam kehidupan masyarakat, tidak mengira bangsa dan agama, kita dapat maju bersama untuk generasi akan datang.

 

Jika kita tetap, dan masih menganggap wawancara ini bersifat rasis, maka kita telah gagal untuk melihat perkara yang sebenarnya di luar tempurung ini.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments