SENTAP! SEMANGAT MENYENGAT FANDI

Hal Ehwal Teh-Kini

13 Mei 2018 merupakan detik bersejarah untuk Singapura apabila Fandi Ahmad, 56 tahun, dilantik FAS untuk menjadi jurulatih kebangsaan untuk pertandingan bolasepak Piala AFF Suzuki 2018.

Rakyat Singapura, lebih-lebih lagi peminat bolasepak tempatan, mengalu-alukan perlantikan ini walaupun ramai yang meragui prestasi Singapura dalam arena bolasepak antarabangsa. Fandi mengambil-alih tugas V. Sundramoorthy yang telah memegang jawatan ini selama 2 tahun.

Walau bagaimanapun, tugas Fandi sebagai jurulatih pasukan Singapura hanya sehingga akhir tahun ini sahaja. Fandi masih jurulatih utama pasukan kebangsaan bawah 23 tahun dan pasukan Young Lions dalam Great Eastern-Hyundai Singapore Premier League.

Perlawanan pertama di Stadium SportsHub pada 9 November menentang Indonesia berakhir dengan kemenangan tipis 1-0, namun ia mendapat sorakan gemuruh seramai 30,783 peminat yang membanjiri stadium untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Namun, pasukan Singapura tewas di tangan Filipina 0-1 di Stadium Panaad seminggu selepas kemenangan tersebut.

Kemenangan terbesar Singapura 6-1 mengatasi pasukan Timor Leste pada 21 November mengembalikan keyakinan para penyokong. Safuwan Baharudin mendapat hat-trik 3 gol sementara Ikhsan Fandi menyumbatkan 2 gol. Faris Ramli turut menyumbangkan 1 gol.

Ini merupakan kejayaan terbesar Singapura setelah menang 11-0 menewaskan pasukan Laos pada tahun 2007. Noh Alam Shah menjaringkan 7 gol pada malam itu.

Namun impian Singapura untuk melanjutkan ke peringkat separuh akhir tidak kesampaian setelah kecundang 0-3 di tangan pasukan Thailand.

Peminat pasukan Singapura menyambut baik usaha Fandi sebagai jurulatih pasukan kebangsaan yang telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan dengan corak permainan yang lebih positif. Mereka lebih banyak melakukan serangan demi serangan dengan bantuan pertahanan yang stabil.

Seramai 7 orang pemain muda, merupakan kali pertama mereka menyarungkan jersi kebangsaan. Ini termasuk dua orang anak Fandi sendiri, Ikhsan dan Irfan Fandi. Beberapa orang pemain yang lebih berpengalaman seperti Shahril Ishak, Khairul Amri dan Baihakki Khaizan turut disertakan dalam skuad pasukan. Gandingan pemain-pemain muda dan baharu ini telah menunjukkan permainan yang lebih agresif yang selama ini diharapkan peminat-peminat bolasepak.

Peminat-peminat yang menyaksikan setiap perlawanan secara keseluruhan berpuas hati dengan pemilihan para pemain. Sepanjang perlawanan berlangsung, ramai bersetuju bahawa permainan pasukan Singapura masih banyak yang boleh ditingkatkan lagi.

Pasukan Singapura tentunya mahu melupakan pengalaman pahit 15 kekalahan dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa semenjak tahun 2016. Mereka hanya mengecapi 3 kemenangan dan 5 perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Perlawanan AFF Piala Suzuki ini telah memberi nafas baru untuk mereka kembali ke tahap kecemerlangan sebelumnya.

Peminat bolasepak akan terus menyokong pasukan kebangsaan dengan barisan pemain yang menunjukkan kegigihan dan kesungguhan dalam setiap perlawanan mereka. Jurulatih juga memainkan peranan penting untuk mengatur strategi setiap perlawanan untuk menewaskan pihak lawan.

Malangnya, khidmat Fandi sebagai jurulatih berakhir hujung tahun ini. Apakah kita dapat terus menyokong pasukan kebangsaan dengan pimpinan jurulatih baru? Ataupun kita mengharapkan Fandi Ahmad untuk memegang jawatan ini seterusnya?

#gojer #golionsgo

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments