SENTAP! SEJENIS CABARAN MASYARAKAT

Sembang-sembang je

 

“ASTARGFIRULLAH HALAZIM….” seorang Mak cik urut dada melihatkan video tular terbaru yang melibatkan hubungan sejenis sepasang lelaki yang Melayu, Faliqh dan Kaal.

 

Hubungan mereka yang kini sudah 7 tahun lamanya, dikatakan mendapat restu ibu Kaal, yang berpesan kepada mereka agar “bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan asalkan mereka lakukan yang betul…”

 

Video temubual selama 4 minit itu memaparkan bagaimana mereka hidup secara berpasangan, seperti  pasangan heteroseksual yang lain, bergurau senda, menonton TV dan sebagainya. Video ini dimuatnaik oleh lelaman Facebook ‘Dear Straight People’ pada 11 Febuari lalu dan juga telah mendapat perhatian daripada negara jiran Malaysia.

 

Ramai penonton “meluat” dan menyatakan rasa tidak puas hati mengapa video ini perlu ditayangkan kepada umum.

 

“Itu hak mereka, tapi kami tak perlu tahu. Kami tak mahu tahu pun apa yang mereka lakukan. Jangan pengaruhi generasi muda dengan mengatakan kehidupan pasangan sejenis ini ialah normal…”

 

Namun, ramai juga yang merasakan mereka berani tampil ke hadapan dan mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut. Ramai juga yang saling menasihati agar mereka tidak dikecam atau diganggu kerana ini pilihan kehidupan masing-masing.

 

“Haram tetap haram, semoga mereka bertaubat dan kembali ke jalan yang benar…”

 

Isu-isu seperti ini menjadi kontroversi kerana ia sukar diterima masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu yang seringkali dikaitkan dengan agama Islam. Namun, kita harus sedar tidak semua yang berbangsa Melayu itu beragama Islam, dan penganut Islam tak semestinya hanya di kalangan masyarakat Melayu sahaja.

 

Inilah cabaran masyarakat kita zaman ini. Kita perlu ambil iktibar, malah ini boleh dijadikan satu sentapan minda bahawa ia boleh berlaku di kalangan sesiapa sahaja. Kita perlu lebih berwaspada agar anak-anak kita disemai dan dipupuk dengan nilai-nilai murni dan yang lebih penting sekali asas ilmu agama yang teguh.

 

Kita tidak boleh menerima kehidupan mereka sebagai pasangan sejenis kerana kita dilindungi dengan hidayah dan ilmu bahawa ia tidak diterima agama.

 

Mereka pula tidak perlu menayangkan kehidupan mereka kepada masyarakat yang secara umumnya di Asia Tenggara ini, masih sensitif dan bersikap konservatif.

 

Selama 7 tahun mereka bersama, selama ini hubungan mereka tidak diketahui sesiapa, kini telah mencetuskan pelbagai tanda tanya. Apakah dengan sikap keterbukaan mereka, masyarakat diharapkan agar lebih bersifat terbuka juga?

 

Apakah ini satu cerminan bahawa masyarakat Melayu di Singapura sudah boleh menerima gaya kehidupan pasangan sejenis atau secara umumnya, masyarakat berbudayakan LGBT?

 

Apakah ada banyak lagi pasangan sejenis seperti Faliqh dan Kaal yang masih belum diketahui?

 

Apakah selama ini mereka tidak menerima teguran, bimbingan atau nasihat daripada keluarga atau kawan-kawan mereka yang terdekat? Apakah sebagai masyarakat umumnya, kita telah gagal untuk memastikan perkara ini tidak berlaku?

 

Apakah ia akan tetap berlaku kerana stigma masyarakat yang akan mengecam dan mencemuh mereka, lalu menjadikan mereka lebih memencilkan diri lalu terjerumus ke dalam lembah kehinaan seperti ini?

 

Melentur buluh, biar dari rebungnya. Maka secara umumnya, kita perlu tingkatkan usaha menyemai, memupuk dan mendidik generasi mendatang dengan nilai-nilai murni yang berasaskan agama.

 

Semoga setiap keluarga kita dibawah lindungan-Nya. Amin.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments