SENTAP! SATU PEMERGIAN, SERIBU TANDA TANYA

Hal Ehwal Teh-Kini

PEMERGIAN seorang anggota kerahan tentera, Aloysius Pang, minggu lalu menjadi perbualan hangat di kalangan rakyat Singapura. Beliau merupakan seorang pelakon drama di Saluran 8 Mediacorp yang sedang menjalani latihan kerahan tentera di New Zealand apabila ditimpa kemalangan semasa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah meriam.

 

Beliau mengalami cedera teruk lalu segera dirawat di sebuah hospital. Namun beliau tidak dapat diselamatkan walaupun menjalani pembedahan dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 23 Januari lalu.

 

Kematiannya merupakan satu tragedi yang pertama pada tahun ini. Sebelum ini, ada 9 lagi kematian di kalangan anggota tentera kerahan dan sepenuh masa sejak 2017.

 

MINDEF telah dilaporkan akan membuat penyiasatan lebih lanjut manakala langkah-langkah keselamatan akan terus dikaji semula agar tragedi tidak berulang.

 

Sementara itu, ribuan peminat beliau termasuk barisan pelakon drama di Saluran 8 turut bersedih. Mereka telah hadir untuk penghormatan terakhir sebelum beliau dikebumikan.

 

Seribu satu soalan timbul angkara peristiwa hitam ini. Ramai yang marah-marah sambil menuduh bahawa latihan-latihan tentera yang merbahaya dikatakan tidak mengikut peraturan keselamatan. Ini disahkan lagi dengan luahan terbuka beberapa anggota tentera yang pernah terlibat dalam latihan yang serupa.

 

Channel NewsAsia telah melaporkan dengan klip video tentang bagaimana kemalangan itu mungkin berlaku. Beberapa orang pula mengambil kesempatan untuk membuat kesimpulan mereka dengan memberikan pendapat profesional walaupun mereka tidak pernah terlibat dengan latihan tersebut secara langsung.

 

Ramai juga yang bising-bising mengulangi saranan agar dihapuskan latihan tentera dan perkhidmatan negara seluruhnya. Segolongan ibubapa pula naik berang kerana besar kemungkinan kes ini akan ditutup sebagai satu kemalangan, seperti kes-kes kematian yang lain. Tiada pegawai atasan yang akan didakwa akibat kemalangan ini.

 

Setakat ini, MINDEF hanya menghentikan latihan IPPT buat sementara waktu.

 

Sementara itu, walaupun ramai yang meluahkan rasa simpati terhadap keluarga mendiang, ada juga sebilangan yang bersetuju bahawa kita perlu menerima ajal seadanya. Jika benar kematian ini akibat kemalangan yang terbukti tidak dapat dielakkan, ia akan tetap berlaku walaupun dengan peraturan keselamatan yang ketat.

 

“SAYA, (nama dan nombor kad pengelanan) berikrar bahawa… dengan seluruh jiwa ragaku!”

Laungan ikrar tentera ini pertama kali diucapkan oleh setiap rekrut semasa mereka menyertai pasukan pertahanan pada usia remaja mereka. Maka dengan ini, setiap ibubapa warganegara Singapura seharusnya redha menerima “seruan negara”.

 

MINDEF secara keseluruhannya tidak mungkin dapat memastikan setiap latihan tentera akan bebas dari kemalangan untuk setiap anggota tenteranya. Malah, setiap peraturan keselamatan kerap diperbaharui tahun demi tahun untuk memastikan keselamatan setiap anggota. Kita hanya dapat berharap peristiwa hitam ini tidak akan berulang lagi untuk generasi akan datang.

 

Peristiwa ini seharusnya mengingatkan kita bahawa nyawa setiap anak lelaki kita yang menyarungkan pakaian seragam tentera amatlah berharga.

 

Bersyukurlah, bahawa mereka yang akan dikerahkan untuk mempertahankan ibu pertiwi satu hari nanti. Mereka yang buat masa ini, berkorbankan masa sekurang-kurangnya 2 tahun menjalani perkhidmatan negara sepenuhnya dan 10 tahun sebagai anggota kerahan.

 

Hanya dengan penuh sifat kesyukuran, luahan penghargaan kita sebagai rakyat Singapura kepada mereka, agar pengorbanan mereka tidak sia-sia.

 

Hentikanlah cemuhan terhadap mereka yang hanya inginkan tempat duduk di dalam pengangkutan awam akibat kepenatan semasa pulang dari kem.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments