SENTAP! SATU BANGSA, SATU WARNA?

Hal Ehwal Teh-Kini

Mungkin sekarang anda sudah peka apa yang baru berlaku sepanjang dua minggu yang lalu. Sekiranya anda masih di bawah tempurung, sila rajin-rajinkan diri untuk dapatkan vitamin D sekali sekala. 

IKLAN VIRAL ‘BROWNFACE’ 

Sumber: sg.style.yahoo.com

 

Iklan eNets telah dikecam oleh sebilangan masyarakat kerana memaparkan seorang pelakon berbangsa Cina, Dennis Chew yang telah memegang peranan sebagai 4 jenis watak berbilang bangsa di Singapura. Beliau telah menggelapkan dirinya sebagai seorang lelaki India bernama K Mutusamy, lengkap dengan rambut kerinting yang berminyak dan sedang memegang sepinggan roti prata.

Beliau juga telah berpakaian sebagai seorang muslimah – seorang makcik bertudung yang sedang memegang sepinggan nasi ayam.

Menurut sumber rasmi, beliau telah terpilih untuk peranan tersebut berdasarkan lakonannya yang serba boleh sebagai watak-watak untuk drama Cina di Saluran 8, antaranya yang popular sebagai Aunty Lucy. 

Tujuan asal iklan tersebut ialah untuk menggalakkan lebih ramai pengguna berbelanja menggunakan bayaran elektronik. Namun sebilangan besar masyarakat tidak dapat menerima peranan seorang bangsa Cina untuk memainkan peranan watak-watak bangsa India dan Melayu. 

Dengan menggelapkan dirinya – yang dinamakan “brownface” – ia amat menghina masyarakat yang berkulit gelap. Soalan ramai yang tidak terjawab sehingga kini ialah mengapa pihak agensi iklan tidak menggunakan watak-watak asli daripada masyarakat bangsa lain itu sendiri?

 

VIDEO REAKSI YOUTUBER TEMPATAN

Sumber: Channel News Asia

Menyusuli bantahan terhadap iklan tersebut, dua orang adik beradik personaliti tempatan Preetipls dan Subhas Nair telah memuat naikkan sebuah lagu rap yang secara langsung dikhususkan untuk masyarakat Cina yang mengambil remeh tentang perkara brownface ini. Video mereka telah dianggap sebagai lucah dan berbahaya kepada keharmonian kaum di Singapura. 

Sebenarnya ia merupakan remix lagu Iggy Azalea yang telah disesuaikan dan ditukarkan liriknya mengikut konteks bantahan terhadap iklan tersebut. 

Sebuah laporan polis telah dibuat sejurus selepas video itu ditularkan. Dalam masa beberapa jam sahaja video tersebut tidak boleh ditonton lagi kerana sudah diturunkan atas arahan Ministry of Home Affairs. 

Menurut sumber berita rasmi, video tersebut telah melampau batas-batas keharmonian kaum kerana terdapat kata-kata lucah untuk meluahkan kemarahan terhadap masyarakat Cina. Video tersebut memang harus dikekang agar tidak dicontohi oleh mana-mana pihak yang boleh menggunakan wadah tersebut sebagai satu cara untuk menyuarakan bantahan terhadap sesuatu isu. 

Jika video seperti itu juga dihasilkan untuk menghina budaya, kaum dan agama lain, tidakkah buruk padahnya kelak?

 

Sumber: instagram.com/preetipls

Akhirnya, semua pihak telah meminta maaf secara formal kepada semua pihak yang telah tersinggung akibat iklan dan video tersebut. 

Apakah semudah itu perkara ini dapat diselesaikan? Ramai anggota masyarakat mula bersuara pendapat masing-masing.

Sumber: facebook.com/alfiansaat

Termasuk juga, penulis tempatan Alfian Sa’at telah panjang lebar meluahkan perasaannya menerusi lelaman Facebook dengan kesimpulan #penatlah. Beliau hampa kerana selama ini, segala usaha untuk mencelikkan masyarakat telah dianggap remeh oleh sesetengah individu mahupun sebilangan besar masyarakat yang tidak mengendahkan suara minoriti. 

Sumber: instagram.com/tabithanauser

Sumber: instagram.com/anitakapoor

 

Begitu juga kenyataan daripada sebilangan selebriti tempatan yang secara amnya bersetuju bahawa isu ini boleh ditangani dengan lebih baik lagi. Ia juga sebagai pengajaran dan peringatan bahawa keharmonian kaum di Singapura tidak boleh diambil ringan. 

Selagi ada golongan seperti ini yang mengambil berat tentang keharmonian dan kehormatan antara kaum, kita masih lagi ada harapan bagi Singapura untuk terus membangun bersama-sama rakyatnya. 

 

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments