SENTAP! SARANG TEBUAN JANGAN DIJOLOK

Hal Ehwal Teh-Kini

BAGAIMANAKAH kisah $10 boleh menjadi isu hangat minggu lalu? 

Seperti yang kita semua maklumi, Ramesh Erramalli telah bertengkar dengan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium gara-gara tidak mahu membayar yuran $10 untuk meletak kereta di bangunan tersebut. Pertengkaran itu telah dirakamkan lalu dimuatnaik ke lelaman Facebook.

Di dalam rakaman itu, beliau bermegah dan mengumumkan bahawa beliau telah membeli unit tersebut dengan harga $1.5 juta – yang tiada kena mengena langsung dengan isu yuran meletak kereta.

 

Menurut pengawal keselamatan tersebut, yang sedikitpun tidak meninggikan suaranya sepanjang pertengkaran itu, yuran itu dikenakan jika terdapat pengunjung selepas 11 malam, mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Namun Ramesh terus meninggikan suaranya dengan berdegil agar pengunjungnya terus meletakkan keretanya di tempat meletak kereta. Beliau terus mencabar agar pihak pengurusan menelefonnya untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Beliau terus mencabar agar pihak pengurusan menelefonnya untuk menyelesaikan perkara tersebut.

 

 

 

Sekelip mata, video yang ditularkan mendapat sambutan hangat oleh wargamaya yang tidak puas hati dengan sikap Ramesh. Ini bukan pertama kali seseorang telah membuli seorang pengawal keselamatan warga Singapura yang hanya menjalankan tugas.

 

Seorang warga Britain telah menumbuk seorang pegawal keselamatan dalam insiden yang berasingan di Roxy Square pada April lalu. Beliau telah dihukum penjara selama seminggu.

Ibarat api disimbah minyak.

Wargamaya segera membuat “siasatan CSI” untuk mendapat lebih banyak maklumat tentang Ramesh. Beliau dikatakan mendapat gaji bulanan sebanyak $60 ribu dolar, sebagai seorang pengurus di JP Morgan. Maklumat ini kemudiannya didapati tidak tepat kerana mereka telah mendapatkan maklumat daripada Encik Ramesh yang berlainan.

Isu Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA) pun turut diketengahkan oleh wargamaya setelah mereka mendapat tahu bahawa Encik Ramesh bukanlah warga asal Singapura. Dengan “siasatan CSI” lanjut, kelulusan dan pendidikan Encik Ramesh diragui malah turut menimbulkan seribu pertanyaan tentang kesahihan kelulusan beliau. 

Bagaimanakah beliau berjawatan tinggi dengan sijil sijil kelulusan palsu? Adakah ramai lagi seperti beliau? Itulah yang menjadi persoalan dan ketidakpuasan wargamaya. 

 

Malah, Menteri Kanan Encik Tharman Shanmugaratnam sendiri telah menegur sikap angkuh tersebut. Beliau mengakui profesionalisme pegawai keselamatan itu semasa bertugas.

Akhirnya, laporan polis telah dibuat oleh kedua-dua pihak. Beliau mengingati orang ramai supaya menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa. 

Encik Ramesh juga telah memohon maaf secara peribadi kepada pegawai keselamatan tersebut semalam. 

Berikut adalah petikan skrin dari Facebook page syarikat pengawal keselamatan tersebut:

Jika kita renungkan kembali peristiwa ini, ia tidak hanya melibatkan mana-mana bangsa atau masyarakat secara khususnya. Perasaan marah pastinya timbul jika terdapat sesuatu perkara yang tidak berpihak kepada diri kita. Begitu cepat kita akan mengikut emosi lalu secara tidak langsung menyemarakkan perasaan tersebut melalui media sosial. 

Ini diburukkan lagi dengan tindakan yang mungkin melampaui batas sehinggakan setiap butir peribadi seseorang itu dibongkar dan diusulkan agar beliau dipecat jawatannya dan disuruh “balik ke negeri asal”. Tindakan tersebut mungkin boleh menjadi padah jika akta POFMA dikuatkuasakan. 

Sikap angkuh yang ditunjukkan ibarat menjolok sarang tebuan. Namun, bukankah orang kita lebih matang jika kita menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak?

 

 

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments