SENTAP! Pusat Penjaja “Bersuara”

Hal Ehwal Teh-Kini

Setiap kali hendak membeli makanan di pusat-pusat penjaja, pasti kita pernah merungut tentang kenaikan harga setiap hidangan.

Jarang sekali kita boleh dapatkan hidangan semangkuk mi rebus yang hanya berharga $1.50 lagi. Epok- epok sudah tidak dijual 3 untuk $1 lagi. Secawan the tarik pun sudah mencecah $1.20 di sesetengah tempat!

Berdasarkan kawasan dan kejiranan, banyak pusat-pusat penjaja telah diberi nafas baru dengan pelbagai kemudahan baru, termasuk khidmat mencuci pinggan mangkuk dan pembersihan yang lebih tersusun. Secara langsung, ia menjejas setiap pegerai yang beroperasi di pusat-pusat penjaja ini. Kadar sewa yang lebih mahal hanyalah sebahagian tanggungan bulanan mereka di samping kos operasi lain.

 
Purata yuran bulanan untuk beroperasi di pusat-pusat penjaja di bawah model pengurusan keusahawanan ini yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat swasta mencecah $4000. Antaranya pusat-pusat Penjaja Ci Yuan, Hab Tampines Kita, Taman Yishun, Jurong West, Bukit Panjang, Kampung Admiralty dan Pasir Ris Central.
Jika semangkuk mi rebus berharga $2.50, Makcik Salmah perlu menjual 1,600 mangkuk setiap bulan, atau purata 53 mangkuk setiap hari, termasuk hujung minggu, tanpa hari cuti! Ini tidak termasuk kos untuk bahan-bahan mentah dan pembelian barangan lain.

 
Menteri Negara Kanan, Dr Amy Khor “dikejutkan” dengan luahan seorang penggiat penjaja makanan KF Seetoh yang telah menulis surat terbuka pada 9 Oktober.

 
Antara perkara penting yang ditimbulkan ialah yuran bulanan seperti yang telah disebutkan. Peniaga yang telah menandatangani kontrak terikat dengan yuran $4000 sebulan, atau jika mereka hendak menamatkan kontrak awal, mereka masih perlu membayar purata $2000 sebulan sehingga mendapat pengganti. Kebanyakan pegerai seperti ini merupakan mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

 

Ini jauh berbeza dengan pusat-pusat penjaja lain yang beroperasi secara langsung di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). Seperti biasa, setiap pegerai perlu menyediakan dulang untuk setiap pelanggan mereka, namun mengikut kontrak, mereka juga perlu membayar harga $0.20 untuk setiap dulang yang dipulangkan pelanggan. Ini menambah lagi bayaran bulanan sebanyak $400-$800.

 
Mengikut kontrak, tuan tanah berhak untuk menaikkan bayaran perkhidmatan dan yuran sewa bila-bila masa melalui surat pemberitahuan kepada pegerai.

 
KF Seetoh menjelaskan bahawa ini merupakan satu cabaran bagi setiap pegerai, kerana mereka tidak berdaya untuk menambah jumlah pelanggan atau memastikan kenaikan keuntungan setiap bulan. Kontrak setebal 50 muka surat ini yang perlu ditandatangani juga harus dibayar oleh pegerai itu sendiri dengan harga $267.50.

 

Kebanyakan pegerai yang kita nampak di mana-mana pusat penjaja usia mereka dalam lingkungan warga emas. Mereka mengekalkan budaya penjaja ini secara turun-temurun, berabad berzaman lamanya. Kesungguhan dan semangat mereka untuk terus menghidangkan beraneka jenis juadah santapan memang tiada tandingan.

Malahan, Perdana Menteri kita sendiri yang mengusulkan bahawa budaya penjaja makanan ini akan dicalonkan dalam senarai UNESCO.
KF Seetoh amat mengharapkan bahawa Dr Amy Khor memberikan pertimbangan yang sewajarnya, atau kembalikan sahaja pusat-pusat penjaja seperti ini kepada NEA seperti sediakala. NEA masih menggunakan sistem pembidaan tender.

 

Selama seminggu perkara ini dibincangkan di lelaman sosial, kisah-kisah di sebalik tabir penyelengaraan pusat-pusat penjaja dibongkar.

 

1- Setiap penjaja perlu membuka gerai mereka selama 24 jam sehari dengan

hanya 2 hari cuti setiap bulan. Denda sebanyak $250 akan dikenakan untuk setiap hari cuti tanpa kebenaran dan notis seminggu kepada pihak pengendali. Itu pun atas persetujuan mereka, yang boleh mengenakan denda sebanyak $500 sehari! Bagaimana jika mereka jatuh sakit, atau ada kecemasan di kalangan ahli keluarga?

 

2- Kalori dalam setiap hidangan dihadkan mengikut carta yang disediakan. Mungkinkah ini salah satu sebab mengapa mi rebus tidak sesedap tempat lain?

 

3- Utamakan kebersihan, maka setiap pegerai perlu sentiasa medapatkan gred ‘A’ daripada NEA sepanjang masa. Mereka dikatakan melanggar kontrak jika gagal mendapatkan gred ‘A’.

 
Program pengurusan keusahawanan ini pada awalnya bertujuan untuk mempromosi budaya penjaja makanan ini di kalangan generasi baru agar tidak tidak pupus ditelan zaman, juga sebagai satu langkah agar setiap lapisan rakyat Singapura dapat menikmati hidangan seharian dengan harga yang berpatutan.

 

Jika perkara ini berlarutan tanpa kawalan, pihak swasta akan hanya melihat model pengurusan keusahawanan sosial ini sebagai satu sumber mudah untuk meraih keuntungan daripada pegerai.

 
Pegerai akan terus mengalami kerugian, malah rakyat Singapura sendiri yang akan membiayai harga makanan yang lebih tinggi. Dr Amy Koh merumuskan bahawa pihak NEA akan terus menyesuaikan model pengurusan ini dengan memastikan supaya rakyat Singapura terus mampu menikmati hidangan seharian manakala penjaja masih dapat “mencari nafkah”.

 
Di tengah-tengah kemelut ini, tidak pula kedengaran rungutan pegerai-pegerai berbangsa Melayu atau India. Apakah mereka tidak terjejas dengan perubahan ini? Apakah mereka ada jalan keluar sendiri?

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments