SENTAP! PESANAN BERHEMAH

Hal Ehwal Teh-Kini

Isu-isu yang hangat menjadi bahan berita sensasi zaman ini tidak lagi memerlukan laporan khas daripada wartawan. Dengan menularkan pendapat yang kurang popular, gambar-gambar atau video-video sensasi atau screenshot pesanan ringkas What’s App dan sebagainya seseorang itu boleh “break the internet” dalam hanya beberapa jam sahaja.

Apa yang telah berlaku baru-baru ini melibatkan seorang bekas guru yang meluahkan perasaan kurang senangnya terhadap segolongan ibu bapa yang tidak berusaha untuk mendidik anak-anak mereka membaca di rumah. Beliau telah menyatakan bahawa golongan ibu bapa ini terlalu sibuk bekerja sehinggakan tidak meluangkan masa walaupun 30 minit sehari untuk membaca bersama anak-anak mereka.

Di akhir pesanan itu, beliau berpesan agar mereka tidak seharusnya mempunyai zuriat kalau mereka tidak mahu bertanggungjawab dalam pendidikan anak-anak mereka.

Namun, beliau ada menyatakan bahawa ini tidak termasuk golongan anak-anak yang istimewa dan yang memerlukan bantuan istimewa. Beliau juga tidak menyatakan mana-mana bangsa dalam kenyataannya.

Rata-rata ramai pengguna FB yang sudah mempunyai anak-anak yang bersekolah tidak setuju dengan cara penyampaian pesanan beliau yang dianggap terlalu jujur tetapi celupar.

Sepanjang hari pos ini ditularkan kerana ia merupakan pos untuk umum, tidak terhad kepada lingkaran teman-teman beliau sahaja. Semakin ramai yang memberikan reaksi marah terhadap beliau dengan pandangan mereka sendiri. Ramai juga yang tidak berpuas hati kerana “ini bukan sikap seorang guru yang ikhlas mengajar”.

Namun, ada sekumpulan Netizen yang bersetuju akan kebenaran pendapat dan luahan hati beliau kerana mereka mungkin pernah mengalami pengalaman yang serupa sebagai guru atau mereka sedari kurangnya penglibatan mereka dalam pendidikan awal anak-anak mereka di rumah.

Pos ini kemudian telah dipadamkan lewat petang setelah dikatakan mendapat perhatian pihak sekolah di mana beliau mengajar. Namun, tangkapan skrin (screenshot) sebelum ia dipadamkan masih menular di media sosial. Ada yang menyarankan bahawa perkara ini terus dilaporkan kepada pihak MOE.

Malah, ada yang terus menggali maklumat peribadi beliau untuk dijadikan perbandingan.

Media sosial boleh dijadikan sebagai medan pertempuran pendapat. Setiap pengguna bertanggungjawab atas apa yang disebarkan, terutama sekali pendapat peribadinya sendiri. Seseorang itu perlu bersedia untuk menerima reaksi setiap pengguna lain yang membacanya, walaupun mereka tidak mengenali satu sama lain.

Kita harus sedar bahawa penggunaan media sosial zaman ini mendedahkan kita kepada ilmu, maklumat, dan pendapat-pendapat yang baharu. Kita tidak lagi, malah tidak seharusnya masih bersifat seperti katak di bawah tempurung dengan hanya menganggap hanya ada satu pendapat yang betul yang seharusnya diterima semua orang.

Namun, kita seharusnya mengamalkan sikap berhemah dan prihatin semasa menyampaikan sesuatu. Penggunaan bahasa mencerminkan peribadi seseorang itu. Ramai pengguna media sosial secara amnya akan menilai kita berdasarkan apa yang kita sampaikan. Walaupun niat kita murni dan ikhlas untuk “mengejutkan” masyarakat dengan luahan hati masing-masing, ini tidak menghalalkan cara kita yang terlalu mendesak, ekstrimis atau melampau.

Kita tidak tahu bila atau bagaimana pos kita di FB akan menjadi bahan tularan yang positif atau negatif. Namun kita tentunya tahu mengapa ia menjadi bahan percakapan orang ramai.

Peribahasa ada menyatakan; ibarat menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung tak bersepah.

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments