SENTAP! – NAK KENA KOMPANG!

Sembang-sembang je

Satu “pertempuran sengit” telah berlaku minggu lalu. Mujurlah, tiada siapa yang terkorban. Tiada mangsa yang dikejarkan ke hospital pun. Hanya sekadar satu kenyataan yang telah menimbulkan tengkarah di Facebook (mana lagi?).

 

Seorang wakil sebuah kumpulan kompang setempat telah menyatakan rasa tidak puas hati akibat layanan yang diberikan oleh pihak tuan rumah di sebuah majlis perkahwinan baru-baru ini. Kumpulan kompangnya dikatakan telah dihalang oleh pihak katering daripada menjamu selera sementara menunggu pengantin bersiap sedia atau selepas membuat persembahan.

 

Nama syarikat katering itu tidak disebut. Namun kenyataan seorang wakil dari sebuah syarikat katering telah menyemarakkan lagi isu tersebut. Beliau memberikan satu senarai panjang sebab-sebab mengapa kumpulan kompang tidak seharusnya makan bersama-sama tetamu jemputan yang lain.

 

Antara beberapa perkara yang diketengahkan;
1-  sikap ahli kumpulan yang “makan berlonggok” mengambil lauk-pauk dan kuih-muih sepuas hati, lebih-lebih lagi yang sedap-sedap

2- bilangan ahli kumpulan yang melebihi 10 orang, lalu menjadikan tempat hidangan makanan sesak, giliran untuk beratur yang panjang. Seharusnya tetamu undangan tuan rumah yang diberikan keutamaan

3- kekurangan gelas-gelas minuman dan pinggan makanan akibat ahli kumpulan yang menggunakannya tetapi tidak kembalikan, gelas-gelas dibiarkan di sekeliling majlis termasuk hujung kolong blok, di taman permainan dan sebagainya

4- makanan di “live-station” habis “disapu” ahli kumpulan kompang. Difahamkan makanan yang disediakan untuk “live station” amat terhad untuk para tetamu
Kenyataan-kenyataan ini tidak disambut baik oleh masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang sudah lama berkecimpung dalam majlis-majlis perkahwinan. Sejauh ini, belum ada pendapat yang menyokong atau bersetuju dengan perkara-perkara tersebut.

 

Secara umum, inilah reaksi mereka;

 

“Mengira betul syarikat katering ini!”

 

“Setakat 10 orang sahaja, HANYA 1% tetamu yang dijemput!”

 

Ada wakil kumpulan kompang secara berseloroh berpesan kepada bakal pengantin mereka agar memberitahu nama syarikat katering yang ditempah agar mereka alas perut sebelum membuat persembahan.

 

Rasanya tidak manis kalau kumpulan kompang terpaksa membuat pesanan makanan FoodPanda atau GrabFood kerana tidak dibenarkan makan di majlis perkahwinan.

 

Difahamkan bahawa selalunya perkhidmatan katering akan menyediakan makanan yang lebih sedikit daripada jumlah tetamu yang dijanjikan. Misalnya, jika dikatakan tetamu jemputan 1000 orang, mereka akan sediakan sekurang-kurangnya makanan untuk 1200 orang, termasuk nasi bungkus. Malah setiap syarikat katering ada cara tersendiri untuk menganggarkan jumlah tetamu yang tiba agar mereka boleh membuat persediaan makanan yang mencukupi.

 

Maka dengan itu, agak mustahil jika makanan tidak mencukupi untuk tetamu hanya kerana “budak-budak kompang” yang makan.

 

Malahan, tidak semua yang akan makan nasi minyak jika ada pelbagai pilihan makanan yang lain. Jika terdapat kuih-muih yang dihabiskan tetamu, apakah kita tahu siapa yang makan beberapa biji?

 

Bukankah lebih baik jika tiada pembaziran makanan di akhir majlis?

 

Setiap perkhidmatan untuk majlis perkahwinan seharusnya bergotong-royong antara satu sama lain agar majlis berlangsung dengan lancar. Kesempurnaan sesuatu majlis bergantung kepada semua pihak yang terlibat pada hari itu. Maka setiap pihak perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan sempurna agar tidak mengganggu kelancaran majlis.

 

Tanggungjawab pihak katering memastikan mutu dan jumlah makanan dan minuman yang mencukupi sebelum majlis berakhir. Tanggungjawab pihak kendarat memastikan ada tempat untuk ahli kumpulan kompang makan sebelum atau selepas persembahan mereka.

 

Tanggungjawab ketua kumpulan kompang menjaga imej ahli kumpulan di majlis perkahwinan, dari hujung rambut ke hujung kaki.

 

Semoga dengan kerjasama semua pihak yang terlibat, setiap titik peluh kepenatan pasti berbaloi di akhir majlis itu nanti, dengan senyuman manis terukir oleh tuan rumah, dan pada setiap tetamu yang hadir.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments