SENTAP: MARAH BERPADA-PADA, CELUPAR JANGAN SEKALI

Hal Ehwal Teh-Kini

Bak kata pepatah, sarang tebuan jangan dijolok, buruk padahnya. Mengikut kajian saintifik, serangan tebuan lebih berbisa dan lebih membawa padah jika dibandingkan dengan sengatan lebah. Inilah pesanan orang-orang tua kita.

Kejadian yang ditularkan baru-baru ini yang melibatkan seorang guru yang telah merotan pelajarnya kerana telah memanggilnya dengan panggilan yang kurang sopan telah mendapat perhatian ramai. Kes itu mendapat sambutan hebat lebih-lebih lagi apabila ibu pelajar tersebut membuat laporan polis.

Warga maya serta merta memberikan sokongan kepada guru tersebut, diiringi dengan ramai bekas pelajarnya yang memberikan testimoni yang baik sepanjang pengalaman mereka belajar dengan guru tersebut.

Walau bagaimanapun, ada segelintir yang mendakwa bahawa tindakan guru tersebut telah melampaui batas kerana pelajar yang dirotan itu ialah seorang pelajar perempuan.

“Dia cakap sama you saja. Cakap. Dia ada pukul you, tak? Dah cakap sama you sorry, kenapa kamu nak… kalau dia ada pukul you, kamu pukul dia tak apa. Jangan macam ni,” kata ibu kepada pelajar tersebut yang telah merakamkan video berkenaan.

Ada pula warga maya yang segera membuat “kajian ala CSI” tentang latar belakang pelajar tersebut lalu memuat naikkan di lelaman-lelaman media sosial. Ini makin menyemarakkan kecaman terhadap pelajar tersebut.

Berikut peristiwa tersebut, siasatan lanjut telah dibuat. Akhirnya, kedua-dua pihak, guru dan ibubapa telahpun memohon maaf secara terbuka. Mereka telah mengakui kesilapan masing-masing.

Secara amnya, ramai yang membuat perbandingan tentang perbezaan cara mendispilinkan anak cara lalu dan cara sekarang yang dikatakan sebagai menyemai generasi lemah yang naik lemak. Ramai yang bersetuju bahawa hanya dengan cara yang tegas, seperti menggunakan rotan akan melahirkan generasi yang lebih sopan dan hormat terhadap ibubapa dan guru-guru.

Ramai juga yang mengatakan bahawa zaman telah berubah, cara pendidikan juga turut berubah, tidak boleh disamakan dengan cara zaman dahulu. Setiap generasi ada caranya tersendiri untuk menangani setiap cabaran.

Sebagai ibubapa, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik dan mendisiplinkan anak-anak kita. Ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi, agar mereka tahu sempadan dan bezakan baik dan buruk. Anak-anak pula akan mempelajari setiap tingkah laku dan tutur kata kita sama ada kita sedar ataupun tidak.

Mungkin naluri seorang ibu atau bapa yang serta merta mempertahankan anak sendiri jika berlakunya kes disiplin seperti ini. Anak lebih mudah menjadi mangsa dalam apa jua keadaan yang melibatkan orang dewasa. Sebagai seorang guru pula, tanggungjawabnya lebih berat kerana selalu diibaratkan sebagai seorang yang seharusnya lebih berpengalaman dan berdaya untuk mengawal emosi, bukan bertindak mengikut perasaan.

Namun, kesabaran seseorang manusia amat terbatas. Seorang guru yang penyabar tetap seorang manusia biasa yang berperasaan. Anak anda bukanlah satu-satunya seorang murid di bawah tanggungjawabnya, walaupun dia mungkin seorang anak tunggal yang ditatang dulang emas di rumah.

Namun, sebab nila setitik, rosak susu sebelanga. Tindakan guru tersebut boleh menyebabkan beliau diberhentikan walaupun dengan rekod pengalaman mengajar yang cemerlang.

Walaupun kejadian ini berlaku di negara jiran, ia juga pernah berlaku di Singapura. Dengan penggunaan media sosial, kejadian seperti ini tentunya segera mendapat perhatian umum, lebih-lebih lagi dengan kenyataan berat sebelah.

Sebagai warga maya yang bertanggungjawab, walaupun kita lebih cenderung  untuk berpihak kepada si mangsa, kita harus sedar bahawa kita memainkan peranan penting untuk tidak mengeruhkan keadaan dengan andaian-andaian yang tidak berasas.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments