SENTAP! LEBIHKAN SAYANG, BUKAN SERANG

Hal Ehwal Teh-Kini

“Ini jelas terbukti sebagai satu serangan pengganas.”
– Jacinda Adern


Kenyataan tegas ini dibuat secara umum oleh Perdana Menteri New Zealand, hanya beberapa jam selepas peristiwa hitam di Christchurch pada 15 Mac 2019 yang telah menggegarkan dunia minggu lepas.
Seramai 50 jiwa telah terkorban akibat serangan seorang pengganas pelampau di dua buah masjid semasa solat Jumaat sedang berlangsung. Tindakan pengganas tersebut telah dikecam hebat sehinggakan Puan Jacinda tidak akan menyebutkan namanya lagi.

 

Malah, penularan video yang dirakam dan dimuat naikkan oleh pengganas tersebut telah diharamkan oleh pemerintah. Sesiapa yang memiliki atau masih menularkan video kejadian tersebut akan dihukum menurut undang-undang keselamatan dalam negeri. Sejauh ini dua orang rakyat New Zealand telah didakwa kerana menularkan video keganasan tersebut.

 

Menyusuli peristiwa hitam itu, Puan Jacinda juga telah mengumumkan rancangan untuk mengharamkan semua jenis senjata api separa automatik dan senapang di negara itu.

 

“Tindakan ini dilakukan untuk kepentingan nasional dan isu keselamatan.”

 

Namun, keistimewaan Puan Jacinda Arden sebagai seorang Perdana Menteri ialah tindakan segeranya untuk bertemu dengan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dalam peristiwa hitam tersebut. Beliau mengenakan pakaian muslimah untuk meluangkan masa bersama masyarakat Islam yang kebanyakannya pendatang atau pelarian luar negara.

 

“Mereka telah memilih untuk menetap di sini, dan di sinilah mereka, bersama kami. Mereka adalah sebahagian daripada kami.”

 

Setiap tindakan Puan Jacinda mencerminkan pendiriannya terhadap rakyatnya, sebagai seorang ketua negara yang bertanggungjawab melindungi mereka dengan sifat lembut dan penyayang, tetapi tegas menentang sebarang tidakan keganasan. Beliau tidak membuat sebarang tindakan keras atau tergesa-gesa untuk memerangi pengganas, malah beliau lebih menumpukan perhatiannya terhadap mangsa-mangsa peristiwa tersebut, agar seluruh rakyat turut dapat berasa simpati dan bersifat kemanusiaan antara satu sama lain.

 

Akibatnya, rakyat New Zealand yang tampil untuk memastikan masyarakat Islam berasa inklusif dan selamat di samping mereka. Wanita-wanita di New Zealand menyarungkan tudung kepala pada Jumaat lalu untuk menunjukkan sokongan mereka.

 

Azan Zuhur untuk solat Jumaat berkumandang di Christchurch diikuti dengan 2 minit berdiam diri sebagai tanda hormat memperingati peristiwa hitam tersebut diikuti dengan khutbah oleh Imam Gamal Fouda, yang turut berterima kasih kepada Puan Jacinda sebagai contoh untuk para pemimpin dunia.

 

Setiap tindakan positif yang diambil oleh Puan Jacinda amat dihargai dan dirasakan sebagai satu cara yang lebih berkesan ketika berhadapan dengan musibah yang menimpa. Beliau tidak menyemai atau menambahkan rasa kebencian terhadap pengganas tersebut, malah tumpuan beliau lebih kepada menyatukan rakyatnya dalam suasana yang lebih aman.

 

Malah beliau menggesa bahawa masyarakat tidak harus berikan peluang di sekeliling kita untuk sebarang tindakan pengganas. Ini hanya akan berjaya dengan mengukuhkan keharmonian walaupun terdapat perbezaan agama, bangsa dan budaya.

 

Bukankah ini cara kita dibesarkan di Singapura, dilafazkan melalui ikrar negara setiap hari zaman persekolahan sehingga tertanamnya sifat-sifat kemanusiaan.

 

Oleh itu, kita seharusnya lebih peka dan prihatin bahawa kita tidak boleh memperlekehkan perkara-perkara sensitif sehingga menjadi satu tindakan anti sosial sehingga menjadi kemudaratan. Walaupun Singapura mengharamkan semua jenis senjata api, ini tidak bermakna pengganasan tidak mungkin boleh berlaku. Malah beberapa percubaan keganasan telah dapat dipatahkan walaupun sekadar di tahap rancangan sahaja.

 

Cukuplah dengan peristiwa Maria Hertogh pada tahun 1950 dan rusuhan semasa upacara Maulid pada tahun 1964. Rusuhan di Little India pada tahun 2013 juga tidak seharusnya berlaku.

 

Memang bukan senang untuk seorang individu untuk memelihara keharmonian berbilang kaum di sebuah negara sekular seperti Singapura. Ia memerlukan seluruh lapisan masyarakat untuk berganding bahu bersama melindungi satu sama lain untuk mengekalkan keselamatan hari ini untuk generasi akan datang. Ia tanggungjawab kita bersama.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments