SENTAP! – KISAH MENG”GRAB” HATI

Hal Ehwal Teh-Kini, Sembang-sembang je

SEDIH, sayu, pilu. Mungkin perlu siapkan tisu untuk drama minggu ini. Lagu Ziana Zain, Anggapanmu berkumandang di corong radio pada senja nan merah…

 

“Apakah hanya kerana saya seorang wanita Melayu / Islam yang bertudung, awak pandang saya takda mata, eh?”

 

BUKAN SEKALI kau suarakan… eh melalut pulak.

 

Namun, ramai di antara wanita Melayu / Islam kita yang seringkali disalah sangka sebagai seorang pekerja yang “biasa-biasa” sahaja oleh segolongan kaum di Singapura ini. Stereotaip sedemikian seperti sudah menjadi satu kebiasaan di kalangan masyarakat berbilang kaum di Singapura.

 

Perkara ini tidak asing lagi, kerana 90% daripada kita dibesarkan di estet-estet perumahan awam yang berbilang kaum. Sejak di bangku sekolah lagi kita telah didedahkan dengan sikap stereotaip. Malah, secara tidak sedar, mungkin kita sendiri bersikap stereotaip terhadap bangsa-bangsa lain.

 

Semakin kita dewasa, ramai di kalangan kita telah menerima sikap ini sebagai satu kebiasaan yang asalkan tidak keterlaluan, ia tidak akan merosakkan, mencemarkan atau mengganggu keharmonian kaum di Singapura.

 

Menurut kisah meng“grab” hati ini, seorang penumpang wanita Melayu telah ditanya oleh seorang pemandu Grab (atau GoJek) samada beliau seorang pekerja di sebuah kantin di ibu pejabat Google di Singapura.

 

Beliau tersentak dengan pertanyaan sedemikian, kerana ia merupakan contoh stereotaip yang masih wujud pada abad ke-21 ini. Perasaan marah, geram, dipersendakan bercampur-baur. Perjalanan pulangnya terus diiringi jengkerik.

 

“Krik, krik…”

 

Menurutnya lagi, ini tidak bermakna beliau merendahkan taraf pekerjaan sebagai seorang pekerja kantin, namun sikap stereotaip yang telah menjadi kebiasaan seperti ini,  akibat kurangnya kepekaan kita terhadap seseorang individu di sekeliling kita. Kita seharusnya lebih bersikap sensitif dengan memulakan perbualan yang tidak mengguris hati orang lain.

 

Penat, “berbuih mulut ini” jika kita asyik perlu menjelaskan pekerjaan sebenar kepada sesiapa yang bertanya.

 

Wanita Melayu bertudung / berhijab segera digambarkan sebagai seorang  makcik, yang mungkin melakukan pekerjaan bergaji rendah atau sederhana kerana kita semua tahu, memang jarang untuk diterima sebagai seseorang yang berjawatan, lebih-lebih lagi dalam perkhidmatan awam. Lebih-lebih lagi jika mereka mendapatkan perkhidmatan teksi dari kawasan CBD misalnya.

 

Lelaki Melayu juga tak kurang kena tempiasnya. Selalu mudah sangat disangkakan sebagai seorang pegawai keselamatan, atau despatch rider / FoodPanda / GrabFood (kerana ada motorsikal).

 

Kalau bekerja di lapangan terbang, pasti tidak lain, sebagai pegawai AETOS. Jangan haraplah sesiapa yang akan terfikir seorang Mat sebagai seorang juruterbang atau pegawai atasan.

 

Sebenarnya, jika kita ambil sedetik dua masa, memang benar, tak siapa pun akan tahu apa pekerjaan kita hanya berdasarkan apa yang mereka lihat seimbas lalu. Tak orang, tak kita. Mungkin kita pun pernah tersilap meneka pekerjaan seseorang, hanya berdasarkan penampilan sekilas lalu.

 

Sedetik dua masa, untuk bersangka baik, lalu menentukan sendiri samada soalan yang dikemukakan ikhlas kerana tidak tahu, atau sebagai pencetus perbualan mesra.

 

Sedetik dua masa, untuk kita sedar juga bahawa kita pun tidak kenal siapa yang bertanya. Apakah kita juga berfikiran sempit seminit, lalu turut sama bersifat stereotaip kerana “mempertahankan maruah” diri sendiri, walau tak siapa yang menyerang pun.

 

Sedetik dua masa, untuk kita tenangkan fikiran, ukirkan senyuman, mengiakan sahaja, kerana diam tak bermakna betul, tunduk tak bermakna patuh kerana perjuangan kita bukan dengan Ah Pek seorang.

 

“Is it because I’m a Malay?”

 

Buang masa.

 

Lebih mulia jika anda hidupkan Spotify, gunakan AirPod / Marshall noise cancelling headphones sepanjang perjalanan pulang sambil membaca artikel-artikel terkini oleh TehTarik.Sg.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments