SENTAP! KEKECOHAN KERJA KEDAI KOPI NTUC FOODFARE DITERANGKAN

Hal Ehwal Teh-Kini

CERITA kedai kopi masih hangat rupanya. Sejak berita tentang Pusat Penjaja Bersuara, bermacam-macam lagi cerita terbongkar. Baru-baru ini pula satu artikel menjadi viral tentang seorang pekerja warga emas yang meninggal dunia akibat serangan jantung semasa bekerja.

 

PEMILIK GERAI KERJA BERTERUSAN HINGGA MENINGGAL

 

Laporan awal mengatakan bahawa pegerai tersebut, yang tidak diberikan nama, telah bekerja dari 5 pagi hingga 11 malam setiap hari, menguruskan dua gerai makanan (gerai nombor 6 dan 7) kerana tidak mahu dikenakan “saman” $500 sehari jika gerainya ditutup. Pekerjanya dikatakan pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Beliau telah dikejarkan ke hospital lalu meninggal dunia akibat “terlebih banyak kerja” menurut doktor.

 

Pihak NTUC Foodfare telah mengeluarkan kenyataan di Facebook:

 

(Sumber: Facebook/Foodfare)

 

NTUC Foodfare tidak menerima sebarang permohonan untuk mengurangkan masa operasi daripada pegerai tersebut. Memandangkan pemergian pemilik gerai tersebut, NTUC Foodfare sedang membantu keluarga terlibat. Pihak NTUC Foodfare telah melepaskan cukai denda dan sedang dalam proses memulangkan kembali wang deposit keselamatan, hasil penjualan dan perkakas dapur.

 

PEMILIK GERAI LAIN DIDENDA $3500 WALAUPUN TERCEDERA

 

Namun, kekecohan drama pusat penjaja ini belum lagi berakhir bagi NTUC Foodfare kerana satu lagi artikel mengenai seorang lagi pemilik gerai menjadi viral.

 

Pemilik gerai nombor 4 tersebut telah dikenakan saman sebanyak $3500 dari NTUC Foodfare kerana tidak membuka gerainya akibat kecederaan pada kakinya. Walaupun telah diberikan alasan besertakan surat-surat dari hospital, akhirnya dia didenda kerana tidak membuka gerainya pada hari yang ditetapkan.

 

Beliau juga telah bekerja selama dua syif sehari di gerainya agar sentiasa beroperasi.

 

Pihak NTUC Foodfare mengeluarkan kenyataan di Facebook untuk membalas berita ini:

(Sumber: Facebook/Foodfare)

 

Kontrak asli NTUC Foodfare bersama pemilik gerai mengandungi persetujuan bahawa gerai itu harus beroperasi pada waktu tertera. Sebelum ini, terdapat dua kejadian di mana gerai itu harus ditutup akibat kecederaannya. Anaknya menutup gerai selama empat hari dan mujur NTUC Foodfare melepaskan denda yang sepatutnya dikenakan.

 

Kemudian, anaknya menutup gerai itu lagi selama dua hari. NTUC Foodfare berusaha untuk meringankan dendanya dan memohon kepada tuan tanah untuk memberikan pemilik gerai itu masa.

 

Selepas kejadian itu, pemilik gerai itu memohon untuk menamatkan penyewaan gerai itu pada waktu yang lebih awal daripada apa yang telah disetujui dan juga untuk  memindahkan hak pemilik gerai itu kepada orang lain. NTUC Foodfare setuju untuk membantunya.

 

Dalam waktu yang sama, pemilik gerai itu pula gagal untuk beroperasi sekali lagi disebabkan kakinya yang sakit. Anaknya telah memberitahu bahawa selepas cuti sakit bapanya itu, mereka akan membuka gerai itu tetapi janji ini tidak ditepati. NTUC Foodfare memaklumkan kepada anaknya untuk membuka gerai itu sebelum mereka terpaksa mengenakan denda $3,500. Namun, mereka tetap tidak beroperasi dan mereka akhirnya didenda.

 

SIAPA YANG BERSALAH – MAJIKAN TIDAK BERHATI PERUT ATAU PEKERJA TIDAK MENEPATI JANJI KONTRAK?

 

Menjalankan bisnes dalam industri pemakanan ini bukan mudah. Ramai netizens yang menyokong pemilik-pemilik gerai ini kerana mereka merupakan warga tua yang sudah menjangkau lewat umur dan kesihatan mereka amat rapuh berbanding dengan seseorang yang masih muda. Akhirnya, mereka terpaksa bekerja berjam-jam setiap hari demi memenuhi kontrak pusat penjaja yang telah ditandatangani.

 

Kontrak yang telah ditandatangani adalah satu perjanjian yang boleh dipertikaikan dan dibawa hingga ke mahkamah. Setiap individu tanpa mengira usia atau latar belakangnya harus membaca setiap terma dan syarat sebelum mereka menanda tangan dan terikat kepada perjanjian itu.

 

Selain menyokong pekerja-pekerja di pusat penjaja ini, NTUC Foodfare pula harus menjalankan operasi kerana mereka juga terikat kepada kontrak bersama tuan tanah itu. Tuan tanah berkenaan pada kes ini ialah Lapangan Terbang Changi.

 

Kesimpulannya, kita hanya inginkan yang terbaik bagi para pekerja. Semoga syarat dan terma baru dapat dikeluarkan untuk menjaga  kesejahteraan mereka yang kurang sihat dan tidak berupaya.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments