SENTAP! – JAWAPANMU, KEMATANGANMU

Sembang-sembang je

“Eh, masih single lagi?
Bila nak kahwin?
Kawan-kawan kau semuanya dah ada keluarga.
Tak mungkin secantik ini pun masih belum berpunya lagi?”

 

“Dah bertahun kau kahwin, masih belum ada anak lagi?

Kawan-kawan kau semuanya dah ada seorang dua…”

 

“Satu sahaja anaknya?
Kasihan anak kau Tak berteman.
Cubalah sekali lagi. Manalah tahu,  dapat anak perempuan pula?”

 

Mungkin inilah senarai contoh soalan-soalan cepumas yang ‘menghantui’ sesiapapun semasa musim Hari Raya ini. Apakah soalan pedas yang kamu dapat tahun ini?

 

Sebenarnya, apa jenis soalan sekalipun, kita sebenarnya sedang diuji tahap kesabaran dan kematangan kita. Sesungguhnya, sabar itu separuh daripada iman. Namun kalau setiap rumah yang dikunjungi kita ditanyakan soalan yang sama, mood beraya pun boleh hilang. Mungkin ada rasa menyesal juga keluar berkunjungan, lebih-lebih lagi jika terpaksa menemani ibubapa kita.

 

Ada yang mungkin tidak boleh lari ke mana lagi, kalau ramai saudara mara yang datang berkunjung kerana masih ada datuk dan nenek yang tinggal bersama ibubapa kita. Terperuk dalam bilik sahajalah nampaknya. Biarlah orang hendak kata kita ni anti-sosial, asalkan telinga tak berdersing, hati tak bengkak, darah tak menyirap.

 

Husnuzon – kata mereka. Memang kita perlu bersangka baik terhadap sesiapa pun. Seringkali mungkin mereka hanya dapat berjumpa bertanya khabar berita setahun sekali sahaja. Mereka pun bukanlah ada Facebook atau akaun media sosial untuk mengetahui hal ehwal terkini tentang diri kita. Besar kemungkinan mereka dalam peringkat usia yang lebih tua daripada kita.

 

Soalan-soalan mereka biasanya sekadar ingin tahu, atau menyapa secara santai, sebagai memulakan perbualan. Secara lumrah, sebagai tetamu atau tuan rumah, pastinya ada yang hendak dibualkan. Seorang yang berhemah tidak mungkin akan bertanyakan soalan-soalan peribadi di hadapan khalayak ramai.

 

Andainya ada soalan sedemikian, mungkin kerana mereka benar-benar bimbang dan ingin membantu. Itu pun, bergantung kepada kemesraan hubungan kita dengan mereka. Mungkin sebagai contoh, seorang yang kita anggap rapat sebagai seorang ayah atau ibu kedua, misalnya.

 

Namun, ada kalanya tajuk perbualan yang mulanya sebagai gurauan menjadi terlalu peribadi, kita masih ada cara yang sopan untuk tidak memalukan atau melukakan sesiapa. Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut badan binasa.

 

“Eh, kau masih belum kahwin lagi?”
“Eh Makcik, jaga mulut tu sikit eh! Makcik belum nak mati lagi?”

 

Bawalah bertenang. Istighfar. Pasanglah AirPods atau gunakan headphones Marshall atau Beats sekaligus. Teruskan makan atau minum, tambahkan lontong, ketupat, rendang sampai tak sempat untuk menjawab soalan-soalan seperti itu lagi.

 

Biar naik 2-3 kilo, jangan naik loktang.

 

Kalau naik 2-3 kilo, memang orang mengata, namun selagi kita tidak susahkan sesiapa, kita masih sihat, insya Allah kita bahagia. Kita mampu ketawa bersama mereka, kita juga boleh ketawakan mereka!

 

Satu kali kita naik loktang, orang akan ingat sampai bila-bila, menjadi satu peristiwa hitam setiap hari raya. Semakin jadi bahan ketawa, mana nak letak muka?

 

Suara memainkan peranan penting dalam setiap perbualan. Diam tidak bermakna kita kalah, tetapi kita mengalah, kita ‘kasi chance’. Sampai bila? Sampai mereka jauh dari kehidupan kita, atau semoga kita dijauhkan orang-orang seperti mereka.

 

Namun, soalan-soalan ini tidak akan berhenti dan seolah-olah tidak akan ada penghujungnya. Secara tidak langsung, tanpa kita sedari, kita pula akan bertanyakan soalan-soalan yang serupa kepada orang lain. Oops!

 

Kesimpulannya, kita tak boleh baca malahan kita tak mungkin tahu niat hati seseorang yang bertanya. Pertanyaan mereka mungkin jujur, atau menyindir dan kita tidak akan dapat menutup mulut mereka. Mulut tempayan mungkin masih ada penutupnya, inikan mulut manusia.

 

Apa-apa yang di luar kawalan kita, kita hanya mampu lemparkan senyuman, bukan lemparkan batu, kayu dan sebagainya. Lebihkan sedekah dengan senyuman yang termanis. Semoga sedekah kita, dengan hati yang benar-benar ikhlas dapat diterima dan dibalas dengan iringan doa mereka yang benar-benar memahami perasaan kita.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments