SENTAP! HUKUMAN MATI, PASTI?

Hal Ehwal Teh-Kini

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB untuk Asia Tenggara (UN Human Rights Southeast Asia) telah mengutuk pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang warganegara Malaysia, Prabu N. Pathmanathan atas kesalahan berkaitan dadah pada 26 Oktober lalu.

Malah, sebanyak 8 orang penjenayah telah menjalani hukuman mati sepanjang tahun 2017, semuanya bersabit kesalahan berkaitan dadah.


Encik Prabu telah ditangkap pada tahun 2014 bagi kesalahan menyeludup dadah diamorphine, sejenis dadah heroin yang tulen, sebanyak 227.82 gram.


Menurut undang-undang Singapura, sesiapa yang didapati bersalah mengimport, mengeksport, atau memiliki dadah diamorphine melebihi berat 15 gram boleh dikenakan hukuman mati.


N Surendran, peguam yang mewakili Prabu, berkata Pejabat Presiden Singapura menghantar surat kepada keluarga Prabu yang menyatakan bahawa “proses pengampunan telah dimuktamadkan”.


Turut dilaporkan bahawa menteri-menteri Kabinet Malaysia telah berhubung secara langsung dengan pemimpin-pemimpin Singapura dalam usaha untuk menangguhkan pelaksanaan
hukuman mati itu, tetapi tidak berhasil.


Antara kes jenayah melibatkan dadah yang mengakibatkan hukuman mati di Singapura adalah:


• Johannes van Damme seorang jurutera Belanda merupakan warga Eropah yang pertama dikenakan hukuman mati di Singapura pada tahun 1994. Beliau ditemui dengan dadah heroin seberat 4.32 kilogram.

• Shanmugam “Sam” Murugesu dikenakan hukuman mati pada tahun 2005 setelah didapati bersalah menyeludup 1.03 kg dadah heroin ke Singapura. Beliau tiada rekod jenayah sebelum ditangkap.

• Iwuchukwu Amara Tochi seorang warganegara Nigeria juga dikenakan hukuman mati pada tahun 2005. Beliau didapati cuba mengedar 727 gram dadah diamorphine. Beliau ditangkap di Lapangan Terbang Changi.

Kesemua pesalah ini telah ditolak permohonan pengampunan daripada Pejabat Presiden Singapura.


Malah, sejak kemerdekaan Singapura pada tahun 1965, hanya 6 permohonan pengampunan telah diberikan. Kali terakhir diberikan oleh Presiden Ong Teng Cheong pada tahun 1988.


Setiap kali terdapat berita kemungkinan seorang penjenayah itu dikenakan hukuman mati dengan tidak mendapat pengampunan, terdapat banyak permintaan dan rayuan oleh beberapa pihak agar pemerintah Singapura tidak meneruskan dengan hukuman tersebut. Selama ini, setiap rayuan telah ditolak walaupun terdapat kecaman yang hebat.

 

Di seluruh dunia, hukuman mati dianggap sebagai satu hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan telah melanggar hak manusia untuk hidup. Malah, 106 negara telah memansuhkan hukuman mati atau langsung tiada hukuman mati dalam undang-undang mereka bagi semua kesalahan.

 

Baru-baru ini kerajaan Malaysia juga dilaporkan akan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.


Namun, ramai di kalangan rakyat Singapura bersetuju bahawa dengan adanya hukuman keras seperti ini amat berkesan untuk mengurangkan kejadian jenayah di negara ini, yang dikatakan sebagai salah satu negara yang paling aman dan selamat di dunia.

 

Perlukah kita memansuhkan hukuman mati satu hari nanti, “atas dasar perikemanusiaan?”

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments