SENTAP! GERAM 8 JAM.

Hal Ehwal Teh-Kini

Seperti yang telah dijangkakan, setiap peluang cuti hujung minggu yang panjang sudah seperti menjadi satu kewajipan untuk rakyat Singapura “menghilangkan diri” sekurang-kurangnya ke semenanjung Malaysia. Cuti perayaan Hari Kebangsaan minggu lalu, diikuti dengan cuti Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada hari Ahad memang sudah lama dinantikan. 

Ramai yang mungkin telah pergi bercuti ke destinasi yang lebih jauh dengan menaiki pesawat. Namun jauh lebih ramai yang hanya berkereta untuk menyeberangi Tambak Johor dan Linkedua untuk bercuti di Malaysia. 

Walaupun sudah dijangkakan setiap kali di musim perayaan, pusat-pusat imigresen di Singapura dan Malaysia akan penuh sesak dengan setiap kenderaan yang keluar negara. Ditambah lagi dengan pemeriksaan rapi setiap kenderaan oleh para pegawai yang bertugas. 

Mereka merupakan benteng pertama keselamatan negeri kita, yang bertungkus-lumus bekerja 24 jam untuk memastikan tiada percubaan menceroboh atau kes-kes penyeludupan.

 

Sumber: One Motoring

Sumber: JB Tracer

Sumber: Tuas Checkpoint

Penantian sekurang-kurangnya 4 hingga 8 jam telah banyak dikhabarkan di Facebook, Instagram dan Twitter sepanjang hujung minggu lalu. Memang penat. Memang benar-benar menguji kesabaran. Memang tidak sesuai untuk mereka yang panas baran, atau mereka yang sekejap-sekejap perlu mencari tandas. 

Kalau kita terfikir untuk keluar awal demi mengelakkan kesesakan, masih tetap ada ribuan keluarga lain yang berfikiran sama. Walaupun dirancang untuk merempuh trafik terlebih dahulu, akhirnya ramai yang tetap tersangkut di pusat-pusat immigresen Tuas, Woodlands dan Johor.

Yang berkereta mungkin lebih selesa berbanding mereka yang menaiki bas, yang terpaksa mengharungi lautan manusia yang beratur di kaunter-kaunter immigresen. Bersyukurlah dapat duduk, daripada berdiri berjam-jam macam sardin dalam tin. Bersyukur jugalah pusat immigresen di Johor telah (lama) dibesarkan untuk menampung lebih ramai pengunjung. Apa pun, bersyukurlah. 

Namun masih terdengar aduan dari beberapa inidividu yang tak sayang mulut, tentang kelembapan proses immigresen sepanjang cuti panjang lalu. Mulut-mulut yang mungkin tiada insurans mempersoalkan kaunter-kaunter yang tidak dibuka khususnya untuk menangani ribuan pengunjung pada cuti umum. 

 

Sumber: JB Tracer

Sumber: twitter.com/ilfyans

Ini lebih ketara pada awal hari Isnin di mana ramai telah membuat perancangan untuk pulang kembali ke Singapura. Ada yang mengesyorkan agar cuba sampai di pusat imigresen seawal jam 2 petang untuk mengelakkan kesesakan. Namun, mereka terpaksa bersabar dengan trafik yang merangkak sehingga tengah malam. 

Memang tiada gunanya untuk sesiapa yang hendak marah-marah lalu mencetuskan satu keadaan yang kacau-bilau. Hanya kerana ketidakpuasan seseorang individu akan hanya melambatkan lagi proses imigresen dan ia tentunya menjejas ribuan pengunjung yang lain.

Jika ada apa-apa pun perkhidmatan yang mungkin kita tidak puas, kita boleh buat pengaduan secara formal atau terimalah sahaja sebagai bukan rezeki atau hari kita. Selagi tidak melampaui batas-batas kemanusiaan.

 

Sumber: Dzar Ismail

Mujurlah setakat ini belum ada laporan tentang samseng jalan raya sepanjang masa penantian. Adegan potong memotong jalan tentunya biasa dan diharap tidaklah sampai tercetusnya pergaduhan. 

“Orang bodoh je pergi Malaysia. Dah tahu kesesakan 8 jam, lebih berbaloi pergi Australia, Jepun, Dubai…”

Janganlah angkuh, saudara. Mungkin saudara mampu. Tak semua yang berada dan berupaya. Biar lah mereka bercuti di mana sahaja mereka inginkan.

Seperti apa yang dikatakan personaliti Singapura Dzar Ismail di status Facebooknya, “Semoga mendapat JB yang mabrur.”

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments