SENTAP! DRAMA MELAYU “LIVE”

Sembang-sembang je

Dunia hiburan digegarkan lagi dengan cerita hangat tentang seorang artis tempatan yang dikatakan “terkenal” dengan masalah rumahtangganya. Beliau dikatakan telah keluar berpesta di sebuah kelab malam dengan seorang pelakon wanita hingga larut malam.

 

Dua tahun lalu, beliau turut menimbulkan kontroversi apabila dikatakan telah keluar berkaraoke dengan seorang lagi pelakon wanita, semasa isterinya dalam pantang setelah baru melahirkan anak lelaki mereka.

 

Kenyataan isterinya di InstaStory telah menarik banyak perhatian umum. Ada yang menggesa agar beliau meninggalkan sahaja rumahtangga seperti itu. Ada juga yang mendoakan agar beliau diberikan kekuatan menempuhi cabaran berumahtangga.

 

Walau bagaimanapun, ada segolongan yang berpendapat bahawa isu rumahtangga seperti ini tidak perlu ditonjolkan di media sosial. Kenyataan yang diberikan oleh mana-mana pasangan selalunya berat sebelah yang hanya akan mengundang lebih banyak persoalan daripada khalayak ramai.

 

Secara umumnya, orang ramai pula akan lebih berpihak kepada mangsa keadaan, walaupun mereka tidak tahu hal sebenar. Berdasarkan sedikit informasi yang ada, mereka akan menggembar-gemburkan cerita, selalunya mengaitkan dengan sejarah lampau pihak yang bersalah. Ada pula yang mengaitkan dengan pengalaman sendiri, kerana “semua lelaki / perempuan jahat.”

 

Secara tidak sedar, kita menjadi ahli persatuan makcik-makcik bawang.

 

Sementara itu, mungkin kita pernah terbaca kisah-kisah rumahtangga yang didedahkan tanpa nama. Ruangan ala “Aunt Agony online” ini merupakan sumbangan individu secara sukarela, yang bertujuan untuk mendapatkan reaksi maklum balas atau penyelesaian daripada masyarakat umum. Malah, ruangan seperti ini pernah wujud lama sebelum terciptanya wadah media sosial, di ruangan majalah-majalah bulanan.

 

Bezanya sekarang, dengan kemudahan teknologi, ia menarik lebih ramai orang untuk menyumbang pendapat dan pandangan dengan segera. Malah, setiap pendapat dan pandangan juga akan ditambah oleh individu lain, samada untuk menyokong atau membantah pendapat tersebut. Ada juga yang sekadar nasi tambah, atau sengaja untuk mengapi-apikan suasana.

 

Ada kalanya, isu-isu yang diketengahkan merupakan sesuatu yang pantang di kalangan masyarakat kita, seperti kes curang di kalangan wanita atau kes penderaan fizikal yang dilakukan oleh isteri terhadap suaminya. Ada juga isu-isu yang terlalu sensitif atau terlalu remeh, yang rasanya tidak perlu dikongsi langsung pun.

 

Kemudahan wadah dalam talian ini juga begitu mudah disalah gunakan. Setiap luahan masalah yang dikemukakan boleh mengundang 1000 reaksi “likes” yang menyokong, atau 1000 reaksi bantahan yang marah-marah.

 

Persoalannya sekarang, apakah setiap individu yang bermasalah itu, akhirnya dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, atau sekadar untuk mengumpulkan “likes” semata-mata?

 

Masalah tetap ada, tetap tidak terhurai, malah lambat laun diketahui juga siapa yang disebutkan itu.

 

Berbalik kepada isu rumahtangga artis tadi, apakah sumbangan pendapat masyarakat umum dan peminat-peminat akan dipertimbangkan oleh mereka suami isteri?

 

Apakah kita bertanggungjawab seandainya rumahtangga mereka benar-benar musnah, kerana kita yang telah mengesyorkan agar mereka berpisah? Apakah kita akan bersorak gembira jika ia benar-benar berlaku sementara kita terus mengutuk kecurangan dan menyokong mangsa keadaan?

 

Bagaimana pula dengan pasangan yang bertengkar secara “live” di media sosial untuk tatapan khalayak ramai? Adakah mereka dikatakan sebagai pasangan yang matang?

 

Adakah kita, sebagai pemerhati, atau peminat perlu campur tangan dalam hal peribadi atau rumahtangga mereka, sibuk menjaga tepi kain mereka, hanya kerana mereka artis?

 

Bagaimana pula jika hal peribadi dan rumahtangga kita menjadi tumpuan masyarakat?

 

Memang tidak salah menegur, atau memberikan sokongan namun perlu ada cara yang lebih matang dan sesuai tanpa melibatkan sekampung, seluruh estet HDB atau seluruh negara, agar tidak menjadi bahan gelak Zed Zaidi.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments