SENTAP! – BIAR BERADAB BUKAN BIADAP

Hal Ehwal Teh-Kini, Sembang-sembang je

SYAWAL sudah hampir ke penghujungnya. Berkunjung rumah saudara–mara  dan sahabat handai masih belum habis nampaknya. Maklumlah, puasa sebulan, raya pun genapkan sebulan, katanya.

Memang digalakkan budaya kunjung mengunjung ini sesama kita. Walaupun sebenarnya kita tidak perlu tunggu hingga bulan Syawal. Ada kalanya saudara-mara jiran tetangga yang terdekat sebelah pintu, sebelah blok belum pun dikunjungi.

Kecoh benar minggu-minggu lalu tentang kisah-kisah tuan rumah yang menjadi mangsa serbuan tetamu yang datang berkunjung. Ada cerita tentang anak-anak yang jatuhkan TV baru, ada pula cerita tentang anak-anak yang mendera binatang peliharaan. Ada juga cerita tentang anak-anak yang dibiarkan bermain di bilik sendiri tanpa pengawasan ibu bapa sehingga berlakunya pergaduhan dan macam-macam lagi.

Sebagai tuan rumah, memang digalakkan menerima dan menyambut tetamu yang datang berkunjung. Namun, sebagai manusia biasa, seringkali tahap kesabaran kita akan tercabar jika ada tetamu yang melakukan perkara-perkara yang mengguris perasaan. Tidak mungkin kita tinggikan suara, lebih-lebih lagi di hadapan tetamu-tetamu lain. Tidak mungkin pula kita menghalau mereka keluar serta-merta.

Mungkin kita akan berasa serik untuk mengadakan sesi rumah terbuka untuk tahun hadapan. Serik untuk menjemput tetamu yang tidak bertanggungjawab atau golongan tetamu yang memang tidak seharusnya dijemput lagi atas sebab-sebab peribadi. Walaupun kita tahu tujuan sebenar ialah untuk mengeratkan silaturrahim sesama kita.

Tuan rumah yang perlu bertabah menghadapi “serangan” tetamu tiap tahun bukan sahaja perlu memikirkan tentang makanan yang lazat dan cukup yang perlu dihidangkan, malahan juga tentang pening, penat berkemas selepas tetamu yang terakhir pulang. Kita tidak perlu ditambahkan lagi dengan tekanan darah tinggi atau mungkin pengsan kerana tekanan darah rendah akibat barang-barang hiasan yang pecah atau hilang disamun tetamu.

Inilah antara sebab mengapa kita bertukar permaidani setiap tahun. Entah apa yang sudah tertumpah, air sirap, kuah lodeh, ayam goreng, sambal kicap dan sebagainya sudah menambahkan lagi petak-petak warna permaidani kita.

“Eh, tak mengapa lah. Nanti kita uruskan,” kata-kata tuan rumah sambil tersenyum ini tersirat seribu satu perasaan.

Namun, sebagai tetamu juga kita perlu peka. Hanya kerana itu bukan rumah kita, kita seharusnya lebih tertib. Anggaplah rumah mereka itu seperti sebuah muzium. Walaupun sekadar rumah adik beradik sendiri. Walaupun rumah mereka kelihatan macam tongkang pecah. Kita tidak perlu menambahkan hiasan yang tidak ada nilainya di rumah mereka.

Kita hanya perlu bertanggungjawab atas setiap perbuatan kita termasuk anak-anak kita yang sedang membesar. Kita lebih kenal dan peka akan karenah anak-anak kita sendiri. Kita seharusnya terlebih dahulu mendidik mereka dari rumah, atau sekurang-kurangnya mengingatkan mereka akan adab berkunjung ke rumah orang lain.

Walaupun ketika usia mereka baru 1-3 tahun. Mereka sekurang-kurangnya tahu perkara-perkara yang salah dan betul dan berasa malu apabila ditegur atau dimarahi ibu bapa mereka.

“Alah, biasalah. Anak-anaklah katakan. Dia memang begitu,” kata-kata beginilah yang mengesahkan bahawa kamu lepas tangan dengan setiap tingkah laku anak-anak kamu sendiri. Sikap lepas tangan inilah yang akan membawa padah kepada tuan rumah.

Malah, ia hanya mencerminkan kamu sebagai ibu bapa yang kurang mendidik anak-anak dengan cara yang beradab. Mungkin tidak keterlaluan juga jika ada teman-teman kamu yang mengatakan bahawa kamu sendiri tidak beradab.

Ukurlah baju di badan sendiri. Jika rasanya kita belum bersedia untuk menerima tetamu, tutuplah pintu. Kita tidak perlu menjadi hipokrit, menyumpah-seranah selepas setiap tetamu pulang. Sesungguhnya keikhlasan dan keimanan kita diuji setiap hari.

Jika rasanya kita belum bersedia untuk berkunjungan dengan anak-anak yang aktif, yang ‘tidak makan saman’, maka tunggulah sehingga mereka besar sedikit kelak. Sehingga kita berjaya mendidik mereka menjadi anak-anak yang peka dan prihatin akan keadaan sekeliling mereka.

Mungkin selama ini kita terbiasa dengan sikap kita yang sambil lewa, lebih-lebih lagi di kalangan adik beradik sendiri, kerana tiada siapa yang menegur, atau berani menegur. Atau mungkin sudah dipesan, ditegur tetapi kita yang masih belum sedar atau keras kepala.

Akibat kebiasaan ini, ia mungkin akan menjadi satu peristiwa yang tidak diingini jika ia benar-benar berlaku satu hari kelak. Elakkan selagi terdaya, selagi kita mampu dan sedar.

Selamat hari raya, bukan selamat haru-biru jadinya. Maaf zahir batin, sedangkan yang zahir itu pun ada kalanya susah dimaafkan, apa lagi yang batin, kan?

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments