SENTAP! BERNAS, BERNANAH?

Hal Ehwal Teh-Kini

Akhirnya Nuseir Yassin, atau lebih dikenali sebagai pengacara Nas Daily sampai ke Singapura. Menyusuli ketibaannya, beliau telah mengadakan satu pertemuan dengan peminat-peminatnya di Singapore Botanic Gardens pada 20 April lalu.

 

Temanitanya, yang juga seorang pengacara blog Alyne Tamir, telah mengumumkan bahawa mereka akan berhijrah ke Singapura. Mereka memilih Singapura setelah 3 tahun mengembara untuk mencari “tempat yang paling sesuai di dunia” untuk menubuhkan dan mengembangkan syarikatnya, Nas Daily Media Company.

 

Sejak 2016, Nusier telah mengacara serta memuat-naik 1000 video-blog Nas Daily di YouTube. Kebanyakan video-blognya mengenai usaha-usaha individu atau kumpulan dari serata dunia yang menarik dan unik yang bersifat kemasyarakatan. Seramai 12 juta peminat Nas Daily di seluruh dunia tertarik dengan genre video dokumentari yang santai dan berinspirasi.

 

Singapura telah beberapa kali direncanakan dalam video-video blognya. Setiap rencana tentang Singapura selalunya bersifat positif dari sudut pandangan yang berbeza.

 

Namun, tidak semua daripada kita yang menerima cara persembahannya secara terbuka. Sebahagian besar yang meragui tujuan sebenar Naseir dengan setiap persembahan video yang dikatakan “terlalu baik” tentang Singapura. Lebih-lebih lagi salah satu video-blognya besertakan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

 

Lantas, beliau telah dikatakan sebagai “tetamu terhormat” yang “diberikan keistimewaan”. Malah, ramai yang mempertikaikan begitu mudahnya beliau mendapatkan kemudahan untuk mengumpulkan peminat-peminatnya di SBG.

Namun, Nuseir telah menjelaskan bahawa beliau telah mendapatkan khidmat sebuah syarikat pengacara dan peguam untuk menjalankan sesi pertemuan itu. Ini termasuklah mendapatkan keizinan pihak polis dan sijil kelulusan pekerjaan. (Employment Pass)

 

Namun, dalam era digital zaman ini, beliau merupakan antara pelopor yang berjaya menarik perhatian masyarakat sedunia dengan penggunaan video yang berbentuk dokumentari sebagai satu wadah yang berkesan untuk membuka minda generasi baru terhadap perkembangan yang sihat dan positif di sekeliling dunia.

 

Setiap video yang disampaikan selama lebih kurang seminit sahaja ini padat dengan maklumat dan disampaikan dengan cara yang santai yang mudah diterima ramai. Keberkesanan video-video Naseir tidak dapat dinafikan. Menurutnya, beliau tidak ditaja mana-mana pihak atau pemerintah sepanjang usahanya mengacarakan video-videonya.

 

Mungkin kita meragui setiap usaha Nasier selama ini. Mungkin kita ada tidak setuju dengan setiap pendapatnya tentang apa jua yang dikemukakannya. Mungkin kita tidak dapat menerima kehadirannya di sini. Mungkin kita percaya ada udang galah sebalik semangkuk mi.

 

Berapa ramaikah di antara kita yang hampir setanding, atau mungkin sudah melebihi usaha-usaha beliau? Adakah kita terlalu berwasangka sehinggakan kita menghukum dan memperkecilkan usaha orang lain, hanya kerana kita berbeza pendapat dengannya? Apakah kita berfikir secara bernas, atau mengikutkan perasaan yang bernanah?

 

“Sekiranya benar saya dapat lakukan semua ini untuk wang, tentunya saya mempromosikan Coca Cola dalam setiap penerbitan video saya,”

 

Mungkin kita perlu semak semula hati kita.
This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments