SENTAP! BENARKAH WARGA ISLAM DI SINGAPURA KURANG RASA BERSYUKUR?

Sembang-sembang je

Tiada negara yang mempunyai sistem keagamaan yang sempurna. Malah, setiap ketua negara dan agama di seluruh dunia kerap melakukan perbincangan untuk memperbaharui dan memperbaiki sistem agar mereka sentiasa kekal relevan dalam membimbing rakyat Islam sebaik mungkin.

 

Di Singapura pula, kita dikurniakan dengan pelbagai keistimewaan untuk mempraktikkan agama Islam tanpa rasa takut, apatah lagi tanpa menempuhi pelbagai halangan dan bahaya. Mungkin ramai di antara kita lupa betapa selesanya dan untungnya umat Islam di Singapura dengan sistem yang ada.

 

Adakah ini bermakna umat Islam kurang rasa bersyukur kerana kita sudah terlalu selesa?

 

Sudah menjadi lumrah manusia untuk kerap mendahagakan lebih daripada yang disediakan dan ini bukanlah sesuatu yang patut dibimbangkan. Malah, Teh Tarik faham dengan rasa ‘dahaga’ ini, kita boleh menggunakannya untuk terus memperbaiki kekurangan cara hidup Islam.

 

Tujuan Teh Tarik ialah untuk kita sama-sama muhasabah diri dan menggunakan sepenuh peluang kita untuk mengambil kesempatan dalam memaksimumkan keistimewaan-keistimewaan yang disediakan.

 

  1. Terdapat Lebih 65 Masjid-Masjid di Seluruh Singapura

Masjid Yusof Ishak yang dibina pada tahun 2017, adalah salah satu
daripada 65 masjid di Singapura.

 

Setiap kawasan perumahan di Singapura terdapat sekurang-kurangnya satu masjid untuk kita memanfaatkan dari segi kegiatan beribadah, pendermaan, sesi kuliah dan sebagainya. Tambahan lagi, masjid-masjid di Singapura juga sering menggabungkan ciri-ciri keislaman dalam kegiatan harian seperti mempromosikan gaya hidup sihat, memupuk sifat kekeluargaan dan menyediakan ruang untuk berkongsi ilmu-ilmu kemahiran untuk mempertingkatkan lagi mutu pekerjaan. Kita juga boleh mendaftar diri untuk menjadi sukarelawan di masjid berdekatan dan menyumbangkan tenaga untuk pelbagai aktiviti demi mengeratkan lagi hubungan agama dan masyarakat kita.

 

 

  1. Solat Terawih, Aidilfitri dan Aidiladha diperluaskan setiap Ramadhan dan Syawal.

Sumber: The Straits Times
Umat Islam berkumpul di Masjid Darul Makmur di Yishun untuk menunaikan solat Hari Raya Haji.

 

Teh Tarik akur meskipun Singapura mempunyai banyak masjid-masjid untuk kita mudah kunjungi, ruang solat di masjid-masjid ini juga masih kurang mampu untuk menampung seluruh umat Islam untuk mengerjakan solat-solat khas seperti Terawih, Aidilfitri dan Aidiladha. Setiap tahun, terdapat sekurang-kurangnya 100 lokasi tambahan di kolong blok dan kawasan tanah lapang yang diusahakan masjid-masjid dan para sukarelawan. Meskipun ruang ini disediakan, saf-saf solat berjemaah juga kadang-kala tidak dipenuhi. Kalau bukan kita yang mengambil kesempatan atas kemudahan-kemudahan yang disediakan, siapa lagi, bukan? Jangan cakap masjid-masjid tak payung pakcik, makcik oi…

 

  1. Ruang Musollah Semakin Banyak

Sumber: https://musollahsg.weebly.com/blog/international-plaza-musollah
Musollah yang tersembunyi di dalam International Plaza.

 

Kita hanya perlukan kemahiran berGoogle, ataupun berYouTube untuk membuat kajian lokasi-lokasi ruang Musollah di tempat membeli-belah ataupun lokasi umum. Sekarang, terdapat aplikasi musollah.com untuk kita mencari lokasi untuk mengerjakan solat dengan mudah. Kebanyakan dari musollah ini menyediakan keperluan solat seperti sejadah, kain pelekat, dan telekung. Sebahagian daripada lokasi ini juga menyediakan memudahkan untuk anda berwudhu tanpa perlu ke tandas. Apa lagi nak complain, kan? Kemudahan wajib untuk anda beribadah dah pun tersedia. Syukur…

 

  1. Sesi Kuliah Kian Canggih

Sumber: Facebook Masjid Darful Ghufran
Pergunaan teknologi telah mempermudahkan cara kita mengikuti agama.

 

Teh Tarik yakin kita semua semakin bijak menggunakan teknologi dan media sosial. Teh Tarik juga pasti bahawa ramai di antara kita perasan akan pembaharuan dari segi penyampaian sesi kuliah oleh masjid-masjid yang menggunakan fungsi LIVE di Facebook. Sesi-sesi ini juga memberi peluang para jemaah untuk mengikuti majlis ilmu di rumah. Kita juga boleh mengajak seluruh keluarga kita menontonnya bersama di mana-mana lokasi dengan hanya adanya komputer dan telefon bimbit bijak. Jadi, tiadalah alasan lagi untuk kita tidak meningkatkan lagi ilmu agama sekiranya perjalanan ke masjid menjadi masalah, bukan? Malah, ibu-ibu yang harus menjaga anak kecil di rumah juga boleh menggunakan manfaat ini agar tidak ketinggalan.

 

  1. Umat Islam di Singapura Terus Diberi Manfaat sama-rata seperti Agama Lain

Sumber: http://thenexcarnival.sg/2018/08/07/the-nex-carnival-celebrates-national-day/
Ia adalah tanggungjawab kita untuk melindungi keharmonian Singapura. 

 

Menjadi seorang muslimin dan muslimat di Singapura tidak menyekat kita daripada menikmati manfaat perumahan, pekerjaan dan perubatan yang disediakan oleh pemerintah. Meskipun sistem pemerintah tidak sempurna seratus-peratus, umat Islam tetap meraih keuntungan (dan merasakan kekurangan) yang disediakan untuk setiap warga negara Singapura tidak kira agama, jika dibandingkan dengan negara lain. Singapura adalah antara negara yang bukan Islam yang telah diberi pelbagai kebebasan untuk mempraktikkan agama kita tanpa perlunya rasa takut, tergugat ataupun teraniaya. Sekurang-kurangnya pemerintah mempunyai sistem keselamatan yang teguh untuk melindungi rakyat Singapura dari ancaman dan bahaya.

 

Teh Tarik rasa warga Islam di Singapura harus menyedari betapa untungnya kita setiap kali kita memenuhi tuntutan agama di negara ini. Janganlah kita terlalu taksub untuk memperbetulkan apa yang kurang sehinggakan terlupa untuk menyempurnakan yang wajib. Janganlah kita keliru dengan hak kita sebagai rakyat Singapura dan hak kita sebagai umat Islam kerana kewajipan dan tuntutan masing-masing berbeza. Dengan pelbagai manfaat dan keistimewaan yang ada di negara Singapura, sebuah negara bukan Islam ini, menunjukkan muslimin dan muslimat tetap mudah untuk menjadi seorang hamba yang cemerlang, InsyaAllah.

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

 

Comments