SENTAP! BACALAH, SERUMPUN SEKAMPUNG

Sembang-sembang je

PESTA BUKU MELAYU SINGAPURA akan berlangsung hujung minggu ini, 16 dan 17 Mac 2019. Ia dianjurkan oleh para penerbit tempatan dan disokong oleh gerakan #BuySinglit, yang dipimpin industri untuk meraikan penulisan-penulisan tempatan.

 

Malah, Pesta Buku Melayu Singapura merupakan hanya sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan ramai orang meneroka dan menyokong para penulis tempatan dengan membeli karya-karya mereka. Bermacam-macam kegiatan telah dirancangkan untuk masyarakat umum di sekitar 50 lokasi di merata Singapura.

 

Wisma Geylang Serai merupakan lokasi paling sesuai untuk acara ini, yang akan diterajui oleh syarikat penerbitan buku tempatan, Pustaka Nasional. Ia turut dianjurkan oleh PERSAMA, Unggun Creative dan Ungu Pen.

 

“Pada dasarnya,  budaya membaca bermula dari rumah dan sejak kecil, sebelum diteruskan di sekolah-sekolah serta melalui wadah-wadah sosial yag lain. Gerakan-gerakan dan kempen yang dianjurkan hanya mampu mencapai sasaran yang terhad sekiranya budaya membaca tidak disemai secara aktif pada usia muda,” kata Maria Mahat, pengasas Ungu Pen di ruangan KOMENTAR, Berita Harian.

 

Apakah benar, masyarakat Melayu kita tidak ada budaya membaca?

 

Secara umum, dalam kehidupan kita 24 jam sehari, sejujurnya memang tidak terpegang pun senaskah buku, tidak kisahlah buku Melayu atau buku Inggeris. Mungkin kali terakhir semasa di bangku sekolah, itu pun hanya kerana mata pelajaran yang perlu menggunakan buku teks.

 

Sastera bukanlah satu mata pelajaran yang wajib di kalangan pelajar, malahan hanya beberapa peratusan yang kecil sahaja di setiap sekolah akan menduduki peperiksaan sastera di peringkat GCE ‘O’ nanti.

 

Suratkhabar tempatan dikatakan sebagai bahan bacaan “untuk orang dewasa” oleh golongan muda, sementara majalah-majalah terbitan tempatan pula semakin pupus sejak mereka beralih penerbitan dalam talian.

 

Walaupun terdapat perpustakaan di setiap sekolah dan institusi pengajian, serta 24 perpustakaan umum yang selesa dan berhawa dingin di serata Singapura, dengan pinjaman buku melebihi 30 juta naskah pada tahun 20171 masyarakat Melayu masih belum terbiasa dengan budaya membaca.

 

Antara bukti nyata di kalangan kita sendiri ialah pendedahan awal anak-anak kecil kepada penggunaan alat-alat elektronik seperti tablet dan telefon bijak yang lazimnya 99% akan menayangkan video untuk kanak-kanak untuk ditontoni sendirian.

 

Walaupun terdapat faedah anak-anak ini belajar sesuatu menerusi video, pembelajaran secara visual, pendengaran dan pertuturan misalnya, mereka  kekurangan daya imaginasi sendiri kerana telah diwarnai oleh rakaman yang berwarna-warni besertakan lagu-lagu nyanyian yang tersedia.

 

Imaginasi seorang pembaca berbeza berdasarkan pemahamannya terhadap apa yang dibaca sementara dia secara bebas membayangkan setiap susunan perkataan menjadi satu gambaran yang dilukiskan sendiri oleh mindanya yang pesat berkembang.

 

Sebagai contoh, lebih ramai peminat Harry Potter setuju bahawa membaca novel bersirinya lebih menyeronokkan daripada menonton filem di pawagam2. Mereka akur bahawa setiap filem hanya sebagai pelengkap imaginasi mereka secara visual, bukan sebagai pengganti.

 

Peminat-peminat novel cinta juga akan bersetuju dengan kenyataan ini, lebih-lebih lagi mereka sendiri yang akan menghidupkan setiap watak yang dibaca dalam imaginasi mereka, sementara mereka menjadi watak utama dalam cerita tersebut. Mungkin boleh mengalahkan pelakon-pelakon wanita selebriti di kaca TV dan pawagam.

 

Jika anak-anak kita diberikan sesuatu bahan untuk dibincangkan, mereka akan lebih cekap berhujah dan mengutarakan pendapat-pendapat yang lebih bernas kerana penguasaan bahasa mereka akibat banyak membaca.

 

Budaya membaca ini memang seharusnya disemai sejak anak dalam kandungan lagi. Malah, jika sekitaran dalam rumah dihias selesa seperti sebuah perpustakaan (ok, ini dah melampau) atau setidaknya ada sudut bacaan, secara langsung seisi keluarga akan sendirinya minat membaca dan menjadi inspirasi kepada setiap tetamu yang datang berkunjung.

 

Namun kenyataannya, ramai di kalangan masyarakat kita lebih suka menghiasi ruang tamu setanding pawagam Golden Village Gold Class atau CashBox Studio.

 

Memang tak salah memilih cara hiburan masing-masing. Yang penting happy.
“Ayo! Ada nggak ada, yang penting kita ketawa… ada nggak ada yang penting kita gembira…”

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments