SENTAP! AL-KISAH PMD

Hal Ehwal Teh-Kini

Mulai 5 November 2019, pengguna-pengguna Alat Mobiliti Peribadi (PMD) tidak dibenarkan lagi menggunakannya di setiap lorong pejalan kaki yang ada sekarang.

 

SINGKAP KISAH DAHULU

(Sumber)

Pada 1 September lalu, larangan tersebut hanya berkuatkuasa di kolong-kolong blok HDB untuk mengekang penyalahgunaan penggunaan PMD demi keselamatan penduduk.

Pendaftaran untuk pemilik PMD bermula seawal tahun ini, 2 Januari 2019. Antara syarat-syaratnya, pemilik dan pengguna harus berusia lebih 16 tahun. Yuran $20 akan dikenakan untuk pendaftaran selepas 31 Mac 2019.*

Pendaftaran juga termasuk pemeriksaan PMD dengan kelulusan jenis bateri yang selamat digunakan – UL2272. Antara lain, PMD tersebut tidak boleh melebihi berat 20kg, kelebaran 70cm dan mempunyai kelajuan tidak melebihi 25km sejam.

Ramai pengguna PMD telah berdaftar menurut undang-undang seperti yang telah ditetapkan. Harga keseluruhan untuk sebuah PMD yang mengikuti ketetapan LTA boleh mencecah lebih $1000. Ada pengguna yang dikatakan telah membayar secara ansuran untuk mendapatkan sebuah PMD.

 

PERIUK NASI ATAU NYAWA DAN KESELAMATAN KITA?

Pengguna-pengguna PMD di Singapura terdiri daripada golongan belia, pekerja penghantaran dan sesiapa sahaja yang ingin kenderaan mudah untuk bergerak dari lokasi ke lokasi.

Menurut sumber rasmi, ada sekitar 7000 pengguna PMD menyertai khidmat penghantaran makanan GrabFood, FoodPanda atau Deliveroo – tiga khidmat penghantaran makanan yang popular di Singapura – yang selama ini begitu berkesan sekali untuk penghantaran makanan dalam jarak terdekat, sekurang-kurangnya 5km dari kedai-kedai makanan. Syarikat-syarikat ini juga telah memastikan bahawa setiap pengguna PMD yang bekerja dengan mereka harus mematuhi peraturan LTA.

Namun, walaupun peraturan untuk pengguna PMD telah dikuatkuasakan dan dipantau oleh pegawai-pegawai LTA yang melakukan pemeriksaan di estet-estet perumahan, semakin banyak laporan berita dan di media sosial tentang kemalangan yang melibatkan pejalan kaki sehingga ada mangsa yang terkorban. 

 

Penyalahgunaan PMD merupakan paling ketara. Video-video yang dimuatnaikkan di lelaman media sosial menunjukkan pengguna-pengguna yang tidak bertanggungjawab tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri yang membahayakan pengguna jalan raya. 

Sebuah video yang ditularkan baru-baru ini menunjukkan seorang pengguna PMD yang hanya mengambil masa kurang 5 minit untuk sampai ke Ang Mo Kio dari Yishun. Beliau telah dirakam ketika menggunakan PMD di jalan raya tanpa sebarang peralatan keselamatan.

 

 

Kebakaran di rumah-rumah flat yang berkaitan dengan PMD ketika dicaj turut meningkat. Lebih 100 kebakaran telah dilaporkan sejak 2017, dengan peningkatan laporan kebakaran setiap tahun. Sejak bulan Januari sehingga Jun 2019 sahaja, sebanyak 54 kes kejadian telah dilaporkan.

Pemerintah akhirnya membuat keputusan untuk melarang penggunaan PMD di laluan pejalan kaki bermula pada 5 November 2019. 

 

 

APAKAH KESUDAHANNYA?

Walaupun ramai yang mengalu-alukan keputusan ini demi keselamatan masyarakat, ada juga yang berpendapat bahawa masih ada jalan tengah untuk menyelesaikan perkara tersebut, tanpa menjejas periuk nasi mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan. 

Dengan itu, baru-baru ini juga kedengaran tentang Pakej Bantuan Peralihan (TAP) di mana pemilik PMD yang masih ingin bekerja boleh menukar alat sedia ada mereka kepada bentuk pengangkutan lain seperti basikal, Basikal Bermotor (PAB) atau Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) supaya mereka boleh teruskan kerja mereka.

Warga maya juga bersuara untuk menasihatkan mereka yang terjejas dengan undang-undang baru ini supaya mereka cekalkan hati dan cuba ikhtiar jalan untuk terus mencari rezeki ataupun mendapat kemahiran baru. Usah disebabkan satu PMD, kita tidak berupaya langsung untuk mencari kerja lain.

Tidak mungkin kita mengutamakan PMD lebih daripada keselamatan dan nyawa masyarakat kita sendiri. Kita terima sahaja lah lumrah kehidupan ini.

 

 

 

 

 

 


This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments