SENTAP! ADA UDANG (GALAH) SEBALIK BAZAAR!

Hal Ehwal Teh-Kini, Sembang-sembang je

RAMADAN 2019 belum pun bermula, tetapi drama tak tunggu masa. Drama yang tidak ditayangkan di saluran TV anda, ataupun Netflix atau Toggle. Sesungguhnya drama di media sosial berlaku 24/7.

 

Keluhan seorang pelanggan yang sudah mencuba hidangan udang galah yang menjadi bahan drama sempena pembukaan Bazaar di Geylang tahun ini. Indah khabar dari rupa, katanya. Dengan harga yang agak tinggi, $19 untuk hidangan yang besar, beliau sungguh tidak berpuas hati dengan mutu hidangan tersebut. Sungguh tidak berbaloi.

 

Sekelip mata, luahan perasaannya sudah lebih 1000 kali dikongsi, sekaligus menjadi bahan tular minggu lalu. Manakan tidak, ia mendapatkan seorang pemain bolasepak sebagai duta makanannya.

 

Komen-komen yang diterima biasanya selalunya mengecam pelanggan yang dikatakan sebagai menabur pasir ke dalam periuk nasi perniagaan orang. Perkara ini sebaiknya dilaporkan secara langsung kepada pegerai agar tidak memalukan mereka. Bukan dengan cara begini yang secara tidak langsung memboikot perniagaan.

 

Ada segolongan wargamaya pula yang mengecam pegerai / peniaga kerana mereka juga amat kecewa setelah membeli dan merasakan hidangan tersebut. Mereka menyalahkan pihak peniaga yang dikatakan mahu mengaup keuntungan besar dengan cara mudah dengan menyediakan hidangan yang sepatutnya jauh lebih murah dengan harga yang lebih tinggi.

 

Namun, ada segolongan wargamaya pula berpendapat bahawa mereka yang belum pernah berniaga makanan di bazaar selalunya lebih pantas mengecam tentang apa-apa sahaja tanpa mengetahui hal sebenar dalam perniagaan. Golongan ini yang mengharapkan harga makanan kekal seperti sepuluh, dua puluh tahun dahulu. Hakikatnya, harga yang ditetapkan peniaga termasuk perbelanjaan logistik dan bahan-bahan makanan, gaji pekerja dan bayaran sewa gerai yang kini mencecah ribuan dolar.

 

Secara umumnya, kita tidak boleh menghalang sesiapa untuk berikan sebarang maklum balas di media sosial. Kita juga tidak menyangka siapakah yang akan “membantu” menularkan luahan perasaan kita untuk dijadikan bahan cakapan oleh ribuan wargamaya yang lain.

 

Langkah pertama untuk mengurangkan perkara ini terjadi, ialah untuk pastikan bahawa kita menetapkan setiap pos hanya untuk tatapan kawan-kawan sahaja, bukan untuk tatapan umum. Namun ia masih boleh disebarkan sesiapa sahaja dengan fungsi tangkapan skrin di telefon bimbit. Ini akan lebih teruk jika disebarkan ke lelaman-lelaman berkumpulan di Facebook, terutama yang mempunyai ribuan anggota.

 

Tiba-tiba dapat 100 pemberitahuan. Nak marah pun tak guna. Nasi dah jadi bubur. Gara-gara entah siapa yang sebarkan dengan alasan kononnya mewujudkan kesedaran atau “create awareness”  di kalangan wargamaya walaupun itu bukan tujuan asal anda.

 

Lebih teruk lagi jika mereka sebulat suara mengecam anda. Peniaga yang terjejas turut mengambil tindakan. Anda tiada pilihan lain melainkan tutup akaun Facebook buat seketika, atau selamanya.

 

Tidak semua mentaliti awam itu benar-benar untuk menegakkan keadilan atau mendatangkan kebaikan. Ada yang menggunakan alasan untuk menyebarkan kekeliruan tanpa rasa malu dan segan. Walaupun sudah dikhabarkan dengan kenyataan dari pihak-pihak yang berwajib.

 

Siapa tak sentap, beb?

 

Drama ini boleh dijadikan sandaran untuk semua pihak, termasuk para peniaga. Ramai yang maklum bahawa bukan satu perkara mudah untuk menjalankan perniagaan makanan lebih-lebih lagi di bazaar. Walaupun hanya sekitar 30 hari sahaja.

 

Penelitian dalam perancangan itu terlalu penting untuk tidak kerugian. Bukan sekadar mempunyai idea hidangan yang dijangkakan menarik pelanggan, sedangkan setiap yang dihidangkan tidak menepati jangkaan, kerana kesuntukan masa dan kekurangan kakitangan.

 

Tidak semua hidangan makanan yang boleh dijual laris di gerai jika dibandingkan dengan restoran atau gerai makanan yang sempurna. Dengan keadaan ruang dapur yang amat terhad, sempit dan panas, banyak lagi faktor perlu diambil kira.

 

Tidak semua persiapan hidangan sama caranya dengan persiapan burger Ramly atau roti John. Jika persembahan makanan yang ditayangkan dalam iklan sungguh menggiurkan, setiap pelanggan akan mengharapkan taraf  yang sama. Sekurang-kurangnya secukup rasa, enak, lazat dalam sukatan yang berpatutan mengikut harga yang telah ditetapkan.

 

Bukan dengan sekali dua ngap, habis ditelan.

Sedangkan persiapan hidangan burger dari McDonalds pun boleh dipertikaikan, apatah lagi dengan hidangan dari gerai bazaar sebulan?

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments