SENTAP! #10YEARCHALLENGE – Sejauh Mana Kita Terbuka Dengan Cabaran Ini?

Hal Ehwal Teh-Kini

TREND CABARAN terkini di media sosial – #10yearchallenge menjadi isu hangat sepanjang minggu lalu. Asal usul cabaran sebenarnya merupakan perbandingan wajah profil anda di Facebook 9 tahun lalu (2009) dengan wajah anda sekarang (2019).

 

Tujuan cabaran ini sebenarnya untuk menunjukkan bagaimana proses penuaan menjejas rupa dan imej anda.

Secara amnya, cabaran ini sekadar untuk hiburan semata-mata, hanya di kalangan teman-teman dalam senarai Facebook. Tentunya ramai yang berkongsi gambar-gambar mereka yang lalu yang mungkin melucukan. Perbezaan dahulu dan sekarang yang ketara menjadi bahan ketawa di kalangan teman-teman.

 

Malah, cabaran ini juga menular di Twitter di kalangan selebriti Hollywood dan juga seluruh dunia. Syarikat-syarikat media massa turut memainkan peranan untuk menyertai cabaran ini kerana mereka memiliki ribuan gambar-gambar selebriti sepanjang zaman.

 

Semakin ramai pengguna, semakin banyak kepelbagaian dalam cabaran ini. Ada yang membuat perbandingan tentang perubahan iklim yang semakin teruk.

 

Di kalangan pengguna tempatan pula membuat perbandingan tentang pemilik kenderaan di Singapura apabila tamatnya COE 10 tahun.

Sumber: https://www.facebook.com/mrbrownlah/

 

CABARAN media sosial seperti ini bukanlah sesuatu yang wajib yang perlu dilakukan oleh sesiapa. Cabaran ini boleh dianggap sebagai satu inspirasi, terutama sekali jika ada yang menunjukkan perbezaan yang positif secara keseluruhan. Misalnya, sudah mendapat kerjaya idaman, atau dapat mengurangkan berat badan, akhirnya dapat mendirikan rumahtangga dan sebagainya.

 

Pencapaian peribadi masing-masing yang dikongsi bersama di media sosial mungkin dapat menjadi contoh teladan dan inspirasi kepada teman-teman. Cabaran ini juga boleh membantu lebih mengeratkan silaturrahim, manalah tahu sebenarnya sepuluh tahun lalu, kita pernah berjumpa atau bersekolah / bekerja di tempat yang sama.

 

Namun, seolah-olah menjadi kebiasaan di kalangan “makcik-makcik bawang” dan “ustaz ustazah” Facebook mengambil kesempatan untuk berdakwah “sebagai peringatan sesama umat Islam.”

 

Walaupun mesej-mesej ini ditularkan secara umum, namun ia secara langsung menyindir mereka yang dahulunya jahil agar tidak “membuka aib” sendiri untuk tontonan umum.

 

Apakah setiap segala di sekeliling kita harus dijadikan bahan untuk “membawang”? Apakah mata kita pedas melihat perbezaan atau pencapaian seseorang itu, lalu segera “menghukum” masa lampau mereka?

Sesiapa sahaja yang berkongsi gambar-gambar silam mereka mungkin tidak berniat seperti mana yang kita sangkakan. Kita hanya dapat melihat gambar-gambar tersebut hanya kerana kita merupakan sebahagian daripada senarai kawan-kawan mereka.

 

Maka, sebagai seorang kawan, walaupun kawan jauh atau kawan baru, kita diberikan kepercayaan untuk tidak menghampakan mereka dengan sikap kita yang begitu mudah sekali menghukum mereka berdasarkan apa yang kita lihat, yang belum tentu kita ketahui latar belakangnya.

Jika kita tidak dapat menghargai mereka yang sudi berkongsi walaupun sekadar hiburan semata, kita sebenarnya tidak layak untuk berkawan dengan mereka.

 

Cabaran seperti ini terbuka, tiada paksaan. Kalau kita tidak mahu menyertainya kerana melanggar prinsip hidup, elok jangan sertai dan jangan menghukum mereka yang menyertainya.

 

Melainkan cabaran yang berbahaya sehingga boleh membawa kemudaratan dan maut seperti cabaran Bird Box. Cabaran ini berdasarkan sebuah filem Bird Box di Netflix yang melibatkan pengguna menutup mata dengan tuala sambil melakukan perkara-perkara seharian yang boleh mendatangkan bahaya seperti memandu kenderaan dan sebagainya.

Seorang remaja di Amerika telah memandu sebuah lori dalam keadaan menutup mata semasa menyahut cabaran Bird Box ini. Walaupun terlibat dalam kemalangan, beliau tidak mengalami kecederaan teruk.

Sesungguhnya kita diberikan nikmat akal untuk digunakan secara waras.

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments