Sediakah Masyarakat Kita Hadapi 3 Cabaran Utama Ini?

Hal Ehwal Teh-Kini

Singapura tidak boleh lari dari ancaman pengganasan dan radikalisasi, sedangkan beberapa bulan lalu, dunia digempar dengan berita serangan ganas di London, Manchester dan Kabul. Inilah tindak tanduk para radikal yang terpengaruh oleh pegangan agama Islam yang ekstrim, yang disebarkan oleh kumpulan seperti Al-Qaedah dan ISIS. Pada masa yang sama, ekonomi global juga sedang berubah dengan hebat. Bersedia kah masyarakat Singapura untuk hadapi cabaran yang dikaitkan dengan agama Islam? Akankah masyarakat kita tenggelam dibawa arus pemodenan?

Inilah yang disentuh Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, penasihat Majlis Penyelaras Kumpulan-Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), yang juga Menteri Sekitaran Sumber Air, di dalam ucapannya di jamuan malam sempena ulang tahun ke-40 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) pada Ahad lalu.

Berikut adalah isu yang diketengahkan beliau:

  1. Fahaman agama ekstrim boleh membawa kepada pengganasan

Baru-baru ini, seorang pekerja pusat jagaan kanak-kanak ditahan. Sudah jelas yang kumpulan pelampau mensasarkan golongan yang mudah terpengaruh dan berpotensi melakukan aksi merbahaya dan kerosakan besar. Imej agama Islam kini tercemar dan orang Islam pula menjadi sasaran serang balas di negara Barat.

Di Singapura, kita berjaya menahan mereka yang mempunyai niat ganas. Tetapi apa yang kita tidak tahu ialah reaksi masyarakat yang bukan Islam, jika pengganasan benar-benar berlaku hingga orang tersayang mereka cedera atau terkorban. Pihak berkuasa berusaha gigih untuk mengelak sebarang kejadian berlaku.

Masyarakat Islam harus mengambil langkah untuk pastikan supaya Islam yang diajar dan dipraktikkan di negara kita tetap sederhana dan menggalakkan kehidupan harmoni antara berbilang kaum dan agama. Jika anda kenali sesiapa yang jelas terpengaruh oleh ajaran tegar, rujuk kepada pihak berwenang supaya kita elakkan mereka daripada terjerumus menjadi radikal dan ganas. Ini akan buktikan dan memberi keyakinan kepada masyarakat Singapura supaya kepercayaan masyarakat negara ini tidak akan goyah.

  1. Akankah pengaruh tersebut melemahkan budaya kita?

Untuk sebarkan ajaran Islam tegar mereka, golong pelampau tahu mereka harus meruntuhkan keyakinan kita terhadap pengamalan agama dan budaya sebelum digantikan dengan fahaman mereka. Dulu, budaya tradisi Melayu terancam akibat kehidupan yang semakin moden. Sekarang, budaya tradisi Melayu terancam akibat pengaruh agama tegar pula yang mempamerkan budaya Timur Tengah yang dianggap Islamik.

Lihat sahaja orang mempersoalkan amalan budaya kita sekarang. Acara persandingan dilabel pengaruh Hindu. Amalan kenduri arwah dikatakan amalan yang dilarang agama. Sampai baju jubah orang Arab pun boleh lebih tinggi martabatnya daripada baju Melayu kita sendiri. Masing-masing saling mencari dan membeli pengaruh di merata dunia. Dengan Internet juga, golongan muda kita boleh tertarik mempelajari amalan agama dan budaya negara asing dengan mudah.

Jangan benarkan agama Islam yang mendokong keharmonian kaum dan budaya digantikan dengan sifat eksklusif dan ta’asub. Sifat yang buruk ini menolak kewujudan masyarakat Singapura yang berbilang budaya dan agama, lalu mencetuskan rasa benci pada kaum dan agama lain.

Seperti apa yang disampaikan oleh Mufti Dr Fatris Bakaram semasa khutbah Aidilfitri lalu, bahawa Islam mengajar insan bahawa kecintaan seseorang kepada agamanya tidak bercanggah dengan cintanya pada negara, bangsa dan budayanya. Seseorang itu boleh hidup sebagai Muslim yang baik Islamnya di mana sahaja beliau berada, dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.

Cinta kita kepada bahasa dan budaya kita boleh menjadi benteng kuat yang dapat mencegah sebaran ajaran Islam yang tegar. Kita masih mengenakan pakaian baju Melayu ketika menyambut Hari Raya. Masyarakat kita masih bangga gunakan bahas Melayu bila berbual. Berita Harian, Suria, Ria dan Warna masih berkembang. Maka, kita masih berupaya untuk kekalkan bahasa dan budaya kita.

  1. Ekonomi dunia menjejas pekerjaan seluruh dunia

Ekonomi dunia sedang berubah dengan hebat dan pesat hingga menjadi satu gangguan. Pekerjaan biasa pun boleh terancam kerana teknologi dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) yang semakin canggih. Golongan yang terjejas adalah terutama sekali golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) masyarakat kita.

Apa yang boleh dilakukan? Tingkatkan kemahiran dan pendidikan sepanjang hayat. Sektor baru yang kekurangan tenaga mahir dapat menawarkan peluang pekerjaan baik bagi masyarakat Melayu/Islam kita. Jangan hilang haluan kerana terpengaruh oleh ajaran yang bertujuan mempersiapkan kita untuk ambil bahagina dalam konflik di Timur Tengah.

Dalam menghadapi semua cabaran ini, Mesra, Muis dan Mendaki – 3M akan berusaha menjadi tunjang masyarakat kita. Pemerintah juga selaras berusaha supaya yang majoriti menerima kaum minoriti dalam segala aspek sebagai sebahagian daripada cara hidup ‘masyarakat inklusif’. Kini, tiba masanya untuk kita bersatu menggalakkan integrasi antara kaum dan hadapi cabaran-cabaran ini.

Sumber: Berita Harian

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments