Sebelum anda salahkan guru, cuba tonton video asli betul-betul

Hal Ehwal Teh-Kini

Kes Guru sambilan & Anak murid Northbrooks Bertekak

Hai, perkara seperti ini terjadi lagi. Sudah banyak sangat kejadian seperti ini berlaku di sekolah. Tetapi kes yang ini sangat berbeza.

Jika anda semua tonton video asli yang dimuat-naikkan ke youtube , anda akan dapati, terlalu banyak lapisan isu yang diketengahkan.

Psst.. kami tak sanggup embed video ni kerana terlalu banyak maki hamun daripada yang tukang upload – Popo AsphyxiatesPanda

Tetapi, oleh kerana kami ingin tahu apa sebenarnya berlaku, kami tonton dan amati video asli sampai penghujungnya.

Inilah komen dan huraian yang boleh TehTarik sampaikan mengenai hal ini:

A) Kita tidak tahu apa yang terjadi sebelum guru sambilan itu melenting. Walaupun dia tidak sepatutnya menggunakan perkataan CB itu (kerana dia seorang guru), apa yang membuatnya terpekik bersama anak murid itu masih menjadi tanda tanya. Seorang guru tetap tidak boleh memaki hamun walau dalam apa jua keadaan. Namun ini memang sukar dilakukan – hanya seorang yang mempunyai kesabaran tahap tinggi yang boleh menahan keadaan yang seperti itu.

B) Anak murid yang mula menggunakan perkataan CB itu. Ini sudah terang kerana gurunya bertanya “Apa CB?” kemudian… okay anda dah melihat sendiri…Walaupun kita tidak tahu apa yang menyebabkan anak murid itu mula melontarkan perkataan selucah itu, tidakkah kita terasa hairan mengapa seorang anak murid cepat sangat menggunakan perkataan kesat terhadap gurunya – iaitu seorang yang lebih tua daripadanya. Apa dah jadi dengan anak-anak murid kita di sekolah! Heran betul! Tak boleh ke cakap baik-baik?! Manalah datang hantu yang merasuknya sampai terkeluar kata-kata kesat macam tu? Dulu kita nak lawan cakap guru pun tak berani.

C) Yang upload video ni….. Popo. Okay yang ni TehTarik rasa kita mesti lihat tujuan dan muslihatnya yang sebenar mengapa dia upload video tu. Mula-mula bila ditonton video tu, TehTarik rasa dia macam benar-benar ingin menyampaikan mesej kesedaran bahawa perkara ini berlaku. Dia ingin semua orang tahu perkara sebenar dan dia ingin ketengahkan kesalahan guru sambilan itu. Tetapi di penghujung video itu (sekitar 5:43), jika anda sampai ke sana, Popo AsphyxiatesPanda ada juga membuat “shout out” mengatakan dia ada berita baik untuk semua orang. Dia ada menjual iPhone Cable untuk semua! OMG! Dia kata $2 untuk satu kabel! Ini dah kira mengambil kesempatan. Mungkin dia sudah dapat menjangkakan bahawa video ini akan menjadi viral, lalu dia selitkan pesanan komersil yang boleh membantu penjualan iPhone Cable untuk keuntungan dirinya sendiri. Jadi, apa eh sebenarnya tujuan dia menyebarkan video ini ? Kesedaran atau keuntungan???! Jadi sebelum kita kongsi video dia dan salahkan mana-mana pihak, kita tengok dulu betul-betul siapa yang menyampaikan berita ini dan apa sebenarnya yang ingin disampaikan.

D) Satu lagi perkara yang memeranjatkan TehTarik, dalam video tu, Popo ada menerangkan bahawa masih ada isu perkauman di sekolah (4:39). Ini sangat penting untuk kita renungi. Walaupun Popo mungkin ada muslihat lain bila menyebarkan video ini, perkara perkauman yang beliau sebutkan itu harus kita selidik dan ambil perhatian. Kerana jika generasi muda kita berdepan dengan isu perkauman di sekolah pada usia yang sangat muda, kita mungkin akan ada masalah yang lebih besar daripada perkataan-perkataan kesat antara guru sambilan dan murid itu tadi. Ada baiknya, pihak sekolah (dan bukan saja Sekolah Northbrooks) mencari jalan untuk menghuraikan masalah perkauman dahulu – itu sangat penting.

 

TehTarik.sg rasa hal ini sebenarnya terbongkar kerana ada sesuatu yang tidak kena di sekolah Northbrooks. Baik muridnya, tenaga kerja sambilan dan mungkin isu-isu lain. Ini bukan saja hal guru sambilan yang kelihatan memaki kembali muridnya, tetapi ada masalah yang lebih mendalam.

Diharapkan pihak-pihak yang terlibat dapat mengawal dan mengatasi perkara ini.

 

Comments