Sebab Teknikal Punca Sijil Halal Delifrance, Fish & Co Tidak Diperbaharui

Om Nom Nom, Sembang-sembang je

Berita yang menjadi tular baru-baru ini mengenai restoran makanan popular Delifrance dan Fish & Co tidak dapat memperbaharui sijil halal masing-masing nampaknya telah diberi sorotan di luar konteks oleh warga siber.

 

Ramai warga siber malangnya mengheboh-hebohkan berita bahawa Delifrance dan Fish & Co  ‘tidak lagi halal’. Dakwaan tersebut sebenarnya diambil di luar konteks..

 

Jika kita pertimbangkan secara rasional, kededua restoran popular itu sememangnya berniat meneruskan pengiktirafan sijil halal namun akibat sebab teknikal, pembaharuan itu tidak dapat diluluskan mengikut jadual.

 

Biar demikian, kededua Delifrance dan Fish & Co telah mengesahkan makanan yang mereka hidangkan tetap halal.

 

Berikut adalah petikan skrin status Facebook mereka:

 

 

Malangnya ramai warga siber tetap marah akan kegagalan restoran itu mendapatkan sijil halal.

 

Namun sebelum kita melahirkan rasa marah wajar kita merenung sejenak. Ayuh kita lihat dua senario berikut dan pertimbangkannya reaksi yang sewajarnya.

 

Senario pertama:

Sebuah restoran yang dikenali secara tiba-tiba menukar menunya dan menjual makanan tidak halal.

 

Senario kedua:

Sebuah restoran yang dikenali yang telah mendapatkan sijil halal sejak 2002 gagal memperbaharui sijil halal mengikut jadual yang ditetapkan akibat sebab-sebab teknikal yang di luar kawalan, sedangkan makanan yang dijual di restoran itu tetap halal.

 

Jika dibandingkan, senario ­­pertama jelas satu perkembangan luar biasa yang perlukan reaksi yang serius daripada masyarakat Muslim.

 

Namun senario kedua pula memerlukan reaksi yang sederhana daripada masyarakat – pendek cerita masyarakat perlu bertindak berdasarkan konteks keadaan.

 

Terdapat perbezaan yang ketara antara perbuatan menjual makanan tidak halal dengan kegagalan pemerolehan sijil halal. Pemerolehan sijil halal adalah proses pentadbiran yang memerlukan pemohonnya melaksanakan pelbagai kriteria. Menjual makanan halal hanyalah salah satu daripada kriteria untuk mendapatkan sijil halal. Terdapat banyak lagi kriteria pentadbiran lain yang perlu dipenuhi sebelum sijil halal diluluskan.

 

Dalam konteks Delifrance dan Fish & Co, apa yang penting ialah makanan yang dijual di kedua-dua restoran itu tetap halal. Restoran itu juga mempunyai niat yang jelas mahu meneruskan pengiktirafan halal di restoran masing-masing. Tidak dinafikan, kegagalan kededua restoran tersebut memperbaharui sijil halal masing-masing membuat ramai masyarakat Muslim bimbang kerana kededua restoran itu amat terkenal dalam kalangan masyarakat.

 

Akibat isu itu, ada yang enggan melanggani restoran itu sehingga sijil halal diluluskan. Tidak kurang pula yang melahirkan rasa kecewa restoran itu gagal melaksanakan pentadbirannya dalam memperbaharui sijil halal masing-masing. Namun masih ada yang terus melanggani restoran itu.

 

Terdapat beberapa pemerhatian yang boleh diraih daripada kejadian tersebut.

 

Pertama, ramai dalam kalangan masyarakat Muslim yang amat menitik beratkan sijil halal. Justeru restoran yang mahu mendapatkan sijil halal perlu memastikan segala langkah diambil bagi memastikan segala proses pentadbiran yang dikehendaki dipenuhi agar sijil dapat diluluskan mengikut jadual yang ditetapkan.

 

Kedua, sebagai masyarakat kita juga perlu bertindak dengan wajar mengikut konteks.

 

Sebelum menularkan sesuatu berita, pastikan ia sahih.

 

Mungkin perlu juga kita bersikap memahami terhadap sebarang kekurangan pada pihak restoran dalam menjalankan proses memperbaharui sijil halal.

 

Sebagai manusia kita semua tidak lari daripada melakukan kesilapan.

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments