Poligami Hanya Untuk Mereka Yang Mampu

Sembang-sembang je

Semasa bersembang dengan seorang teman dari seberang baru-baru ini, perbualan kami menyentuh tentang trend nikah kahwin dan beliau memerhatikan jarang mendengar tentang orang lelaki di Singapura yang mempunyai lebih daripada seorang isteri.

 

“Adakah poligami bagi orang Islam tidak dibenarkan di sini,” tanya beliau yang lazim melihat lelaki beristeri lebih daripada satu di negaranya.

 

Biarpun Singapura tidak melarang poligami bagi lelaki Islam, proses mendapat kebenaran berpoligami bukan mudah.

 

Laman Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) ada memberi penjelasan.

 

Menurut laman itu perkahwinan berpoligami adalah istilah yang digunakan untuk lelaki yang berkahwin dengan lebih daripada satu isteri (menurut syariah Islam maksimum ialah empat isteri pada satu masa).

 

Terdapat juga beberapa panduan bagi mereka yang berniat berpoligami. Misalnya poligami dilakukan oleh mereka yang mempunyai keupayaan untuk memberikan kehidupan yang seimbang dalam kesejahteraan kewangan, fizikal dan emosi isteri-isterinya.

 

Mereka yang mahu berpoligami juga harus mempunyai kehidupan perkahwinan yang baik, keadaan perkahwinan yang buruk tidak seharusnya dijadikan sebab untuk berpoligami.

 

Terdapat juga sebab tertentu seperti manfaat yang mana perkahwinan pertamanya tidak dapat menyediakan tetapi perkahwinan kedua mungkin dapat memenuhi manfaat itu. Dalam konteks ini, cinta bukan salah satu manfaat.

 

Laman ROMM juga menerangkan proses pentadbiran bagi mereka yang ingin berpoligami.

 

Pemohon perlu mengisi borang permohonan, membayar bayaran pendaftaran sebanyak $380 dan mengemukakan borang yang telah diisi kepada Kadi untuk pertimbangannya.

 

Setelah meneliti borang permohonan, Kadi akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan isteri pertama, pemohon dan calon isteri kedua. Janji itu akan diberi dalam tempoh sebulan dari tarikh permohonan.

 

Ini bermakna suami tidak boleh menyembunyikan keinginan beliau beristeri lagi daripada isterinya yang pertama.

 

Dalam wawancara yang berasingan, semua kenyataan dan bukti akan dirakamkan oleh Kadi. Di akhir wawancara, pihak yang terlibat akan menandatangani pernyataan mereka.

 

Berdasarkan pernyataan dan bukti yang dikemukakan semua pihak dan dengan merujuk kepada Undang-Undang Syariah, Kadi akan membuat penilaiannya.

 

Keputusan bertulis akan dikirimkan kepada pemohon, dengan salinan yang dihantar kepada isteri pertamanya dan calon isteri kedua.

 

Jelas, biarpun Singapura tidak melarang poligami bagi lelaki Islam, bernikah lebih daripada satu bukan urusan yang mudah. Pihak lelaki harus renungkan dahulu sebelum membuat keputusan untuk menyara kehidupan seorang isteri lagi.

 

 

 

This article is written by our writer. Feel free to share. 

Comments